TERUKIR namanya dalam industri hiburan muzik perdana boleh dikira baharu dan jika penyanyi muda seangkatannya memperkenalkan diri melalui penerbitan ‘single’ namun penyanyi emo-rap, Yonnyboii melakar sejarah dengan menampilkan album EP mengandungi 9 buah lagu dengan judul namanya ‘Yonny’. : KitaReporters



Lagi kisah-kisah berkaitan Yonnyboii:

https://kitareporters.com/search?search=yonnyboii


Sarat dengan pelbagai adunan emosi, pemilik nama sebenar, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, berasal Perak ini menganggap  album EP-nya itu sebagai hadiah tidak ternilai bukan sahaja buat peminat-peminatnya bahkan sebuah karya mukadimah atau pengenalan dirinya kepada khalayak umum tentang siapakah Yonnyboii sebenar. 



“Saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri saya sebenar dengan menyatakan kejujuran setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung menerusi lagu-lagu yang saya sampaikan. 

“Apa saya boleh nyatakan, album ini sarat merencanakan warna-warni seni Yonny, bak pelangi. Sebuah penceritaan sebelum dan selepas, ibarat rangka yang dibina untuk mengukuhkan pelengkap karya dalam album penuh selepas ini,” ujar Yonny.

Mengambil masa kurang  empat minggu ketika musim pandemik, sebanyak 80 peratus lagu-lagu dalam album EP ini merupakan lagu-lagu yang pernah dirakamkan tetapi digubah semula dengan sentuhan penambahbaikan kualiti rakaman luar biasa. 

Enam orang penerbit berbakat besar seperti Adam E, Freddie Laut,  Zachsutton, Vincent88, Mingaling dan Wolfie menjadi tunjang kepada pembikinan lagu-lagu seperti Salahku, Salahku 3.0, Pelikk, Bayang, Hidup Giler, Sheenta, Sheenta With Shee, Boleh Bla, Aku Itu Aku



Wah! Ramai sungguh  penerbitnya, kenapa agaknya Yonny mengumpul enam penerbit untuk sebuah EP?

“Sesunguhnya, terus-terang saya nyatakan kalau boleh saya nak buat semuanya sendiri, susah sebenarnya sebelum ini kerja-kerja seni saya dapat sentuhan orang lain. 

"Namun selepas pengalaman kejayaan lalu, serta kualiti yang ada pada produser-produser ini menepati kehendak saya, saya rasa tidak salah untuk membina keyakinan dan mencipta semula kejayaan seperti sebelumnya,” jawab Yonny. 

Lagu 'Bayang' misalnya mendapat sentuhan penerbit Adam E, penggubah lagu muda yang telah banyak menerbitkan lagu-lagu hit Yonnyboii sehingga menjadi siulan anak muda hari ini.

Sebagai bintang mega yang telah mencatatkan pencapaian sejarah industri hiburan sebagai lagu paling banyak dimainkan menerusi pelantar digital, Yonnyboii seakan sudah arif dengan selera pendengar sekarang. 

Tidak mustahil dengan kemunculan album EP ‘Yonny’ bakal sekali lagi memukau peminat industri hiburan tanah air kerana magis yang ada pada dirinya.

Menariknya lagi, album EP ini menampilkan kelainan apabila Yonny menggarapkan elemen cinta dalam lagu ‘Sheenta’, sebuah lagu yang berkisahkan seorang yang sudah angau dan mabuk cinta pada seorang gadis yang telah mencuit hatinya. 

“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya. Menerusi lagu 'Sheenta' juga dia mengisytiharkan rasa cinta pada buah hatinya itu dengan penuh rasa ikhlas dan tulus,” jelasnya tersenyum. 



Terdapat dua versi lagu 'Sheenta' iaitu versi asal dan versi penampilan bersama bakat baru, Shee, seorang influencer media sosial yang turut menyumbang suara dalam lagu cinta luar biasa ini. 

Berbeza dengan lagu-lagu hits garapannya, 'Sheenta' pastinya akan menjadi batu pengukur terhadap kehebatan Yonnyboii menghasilkan karya secara versatile mengikut acuannya sendiri. 



“Harapan saya tidaklah terlalu tinggi, saya cuma minta pendengar menghayati sendiri setiap karya terhasil untuk mengenali siapa Yonnyboii. 

"Setiap album baik album EP sekalipun terkandung kisah perjalanan cerita hidup saya diterjemahkan dalam bentuk muzik, tersusun rapi untuk dikongsi secara eksklusif kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong saya. There’s story behind everything!” bicaranya lanjut dengan cukup teruja.

Album EP ‘Yonny’ yang diterbitkan syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia sudah berada di semua pelantar muzik. Dengarkan, dan nilai sendiri ya! - KitaReporters

6
1
0
0
0

Copy Link: