Lagu Cinta Kita bukan agensi cari jodoh! Kamal Adli, Ain Edruce kini berpasangan untuk LCK3!
Published by"KAMI bukan agensi mencari jodoh, semua itu kerja Allah SWT"! Itu penegasan komposer dan penyanyi Ajai yang merupakan salah seorang juri tetap program Lagu Cinta Kita Musim ke-3 (LCK3) bakal kembali di TV3 bermula 31 Oktober 2021 ini.
Ajai berkata demikian pada sidang media ‘LCK3’ secara virtual (maya) pada 24 Oktober 2021 yang turut dihadiri seorang lagi juri tetap iaitu penyanyi dangdut popular, Mas Idayu serta pengacara baharu LCK3, Kamal Adli bersama pasangannya, Ain Edruce.
Menurut Ajai atau nama penuhnya Mohd Faizal Maas, kriteria dicari melalui program LCK3 adalah pasangan serasi yang 'bercinta' dalam lagu dan sekiranya ditakdirkan berkahwin seperti beberapa peserta sebelum ini ia adalah jodoh telah ditentukan-Nya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Lagu Cinta Kita
Kamal Adli (kiri) bersama Ajai.
"Kami mencari keserasian pasangan ketika menyanyi, jika mereka dan andai ada peserta berkahwin setelah berkenalan melalui program LCK3 ini, itu dah jodoh mereka.
"Format pertandingan kali ini, pada pusingan awal LCK3 seramai 20 peserta akan digandingkan menjadi 10 pasangan duet pada episod satu dan dua. Mereka 'dipadankan' mengikut pilihan lagu yang sama di mana pada awal persembahan akan menyanyi di dua pentas berbeza.
"Mereka memerlukan undian daripada juri tetap dan juga juri awam untuk mengalihkan pemisah di antara pentas mereka. Kemudian barulah peserta dapat melihat wajah pasangan duet mereka.
"Selepas itu, persembahan mereka perlu mendapatkan undian daripada kesemua juri supaya pentas dicantumkan dan mara ke pusingan seterusnya. Sesi penyingkiran akan ada pada setiap episod," katanya.
Sementara itu, Mas Idayu yang lebih mersa disapa Mummy berpendapat setiap peserta harus bijak ‘bercinta dalam lagu’.
“Sekiranya mereka berjaya menipu pihak juri bahawa mereka ‘bercinta’ dalam lagu dan kami terpedaya, bermakna mereka berjaya,” ujarnya.
Naqi dan Ayuni. - Kredit foto: hotfm.audio.
Erul dan Naufa bersama anak mereka. - Foto kredit: @ayuni.sapuan dan @naufatieha.co.
Terdahulu, LCK1 yang disiarkan dalam saluran YouTube TV3 pada 2019 berjaya menemukan jodoh dua pasangan peserta iaitu juaranya, Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan serta rakan finalis mereka, Erul (Khairulnizam Omar) dan Naufa (Nor Fatihah Taib).
Kembalinya LCK3 direalisasikan selepas Lagu Cinta Kita musim ke-2 disiarkan di TV3 mencatat rekod kadar tontonan tinggi serta trending ketika bersiaran pada era pandemik Covid-19 tahun 2020 dan LCK sebenarnya diadaptasi daripada program popular Korea Selatan, ‘Love At First Song’ terbitan CJ ENM.
Program ‘hybrid music dating’ dinamakan sebagai 'Lagu Cinta Kita' untuk versi Malaysia ini bakal bersiaran selama 8 episod setiap hari Ahad pukul 9 malam bermula 31 Oktober 2021, malah boleh di strim live HD di www.tonton.com.my dan YouTube TV3 Malaysia Official.
Seperti musim lalu, para peserta ‘Lagu Cinta Kita’ tidak akan mengetahui siapakah pasangan duet masing-masing sehingga berada di atas pentas.
Pencarian peserta musim ketiga yang terbuka kepada warga negara Malaysia yang masih bujang antara 18 hingga 35 tahun telah berlangsung secara dalam talian dari 24 Julai hingga 25 September 2021.
Mereka yang berminat telah muat naik video nyanyian dalam akaun Instagram masing-masing dengan menggunakan #LaguCintaKita3 dan hanya 100 peserta disenarai pendek daripada jumlah penyertaan dalam talian untuk hadir ke sesi uji bakat tertutup untuk memilih 20 peserta terbaik.
Juara Lagu Cinta Kita 3 bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000, manakala tempat kedua berjumlah RM30,000 dan tempat ketiga berjumlah RM20,000.
LCK3 bakal menyaksikan gandingan buat pertama kalinya Kamal Adli dan Ain Edruce sebagai hos program menggantikan pengacara pada musim kedua, Elly Mazlein dan Azwan Ali.
Ain Edruce
Bagi Ain Edruce, gandingannya bersama Kamal Adli bukan sesuatu yang baharu memandangkan antara mereka pernah digandingan berlakon bersama.
“Kami pernah berlakon bersama dan ada keserasian cuma saya berharap janganlah bandingkan kami dengan pengacara lama kerana kami ada cara tersendiri,” ujar Ain Edruce.
Manakala, bagi Kamal Adli juga mengakui rasa gementar tetap ada dalam dirinya meskipun pernah mengacarakan program hiburan.
“Gemuruh juga bila hendak berhadapan dengan juri yang hebat seperti Ajai dan Mummy," ujar Kamal.
Khabarnya, tunang pelakon Uqasha Senrose ini sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka namun mengakui tidak akan dilangsungkan dalam tempoh LCK3 belum berakhir sehingga bulan Januari tahun 2022.
“Kami masing-masing sibuk dengan penggambaran tetapi persiapan tetap dilakukan,” tambah Kamal yang masih membisu berhubung tarikh pernikahan mereka. - KitaReporters