Tiada lagi sorakan, pujian! Dulu di podium, kini pencuci kain! Nasib malang bekas jaguh perahu naga!
Published byLeni Haini
Bekas atlet perahu naga Indonesia, Leni Haini pernah ingin menjual pingat yang dimenangi pada pertandingan peringat antarabangsa bagi membiayai kos rawatan anaknya yang mengalami penyakit kulit rapuh dan mudah terbakar. - Kredit foto: Kompas.com
Benarlah kata pepatah bahawa 'kehidupan ini ibarat roda, ada kala di atas dan ada kala di bawah'. Selain itu pepatah lain juga menyebut 'langit tidak selalunya cerah' bagi mengambarkan kehidupan ini bukan selamanya berada dalam keadaan senang, sebaliknya dugaan selalu datang tanpa terduga.
Begitulah juga nasib yang menimpa bekas jaguh perahu naga negara jiran, Indonesia, Leni Haini yang terpaksa mengharungi kehidupan sebagai buruh pencuci selepas bersara pada akhir tahun 1999.
Kegemilangan masa berada di puncak tidak selamanya bersinar bagi atlet pemenang pingat emas perahu naga Sukan SEA 1997 dan 1999, kejohanan Perahu Asia 1996, kejuaraan dunia di Hong Kong 1997 dan kejuaraan Asia di Taiwan 1998 itu.
Leni Haini bersama anak bongsunya, Habibatul Pasehah yang menderita penyakit Epidermolysis bullosa. - Kredit foto: Kompas.Id
Habibatul Pasehah yang menderitai penyakit Epidermolysis bullosa memerlukan kos rawatan yang tinggi.- Kredit foto : Liputan 6.com
Memerik laporan Indek Media, Leni yang hanya lulusan peringkat sekolah dasar (sekolah rendah) tidak mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan pekerjaan dan terpaksa bekerja sebagai buruh pencuci kain bagi menampung kehidupan selepas tidak lagi bergelar atlet.
Lebih malang anak bongsunya, Habibatul Pasehah mengidap penyakit Epidermolysis bullosa (Eb) iaitu kulit rapuh dan mudah terbakar yang memerlukan kos rawatan yang tinggi.
Mendepani situasi tersebut, Leni pada tahun 2012 dikatakan berniat untuk menjual pingat-pingat yang pernah dimenanginya sepanjang menyertai pertandingan perahu naga pada peringkat antarabangsa bagi menampung kos rawatan anaknya.
Leni Haini bersama sebahagian pingat yang dimenangi pada peringkat antarabangsa sepanjang bergelar atlet perahu naga Indonesia sebelum bersara pada tahun 1999. - Kredit foto: Detail.Id
Namun dalam mengharungi kehidupan yang muram ketika itu mujur ada insan-insan merasa prihatin dengan apa yang terpaksa dilaluinya dan bermurah hati menghulurkan bantuan, sekali gus mampu menutup kekurangan tersebut.
Tidak kurang juga yang berharap kerajaan memberi perhatian dan menghulurkan bantuan bukan sahaja kepada Leni, malah bekas-bekas atlet lain yang pernah berjasa dan mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi sebelum ini.
Leni Haini banyak melakukan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk membersihkan sampah sarap di Danau Sipin yang mana mampu menjadi sebahagian sumber pendapatannya. - Kredit foto: Mongabay
Leni Haini sedang membersihkan sampah sarap di Danau Sipin, Kota Jambi, Jambi, Indonesia.-Kredit foto : Radio Idola Semarang.
Menjengah dalam ruangan komen ternyata ramai yang memberi sokongan terhadap Leni.
"Semoga para pahlawan negara ini mendapat penghargaan hidup selayaknya, syukur sekiranya lebih cepat mendapat bantuan," tulis Widayat Budiasto.
Kisah Leni seharusnya mampu menerbitkan kesedaran dalam kalangan atlet bahawa masa gemilang yang mereka lalui tidak kekal selamanya dan perlu ada perancangan ekonomi sebelum melangkah ke alam persaraan, yang sama sekali berbeza dengan kehidupan rutin seorang atlet yang ada kalanya penuh glamor dan warna.
Semoga Leni dan atlet lainnya mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang dengan adanya sokongan pelbagai pihak agar segala dedikasi serta pengorbanan mereka selama ini akan sekurang-kurangnya dapat merasa jasa mereka dihargai.
Selain itu sebarang bantuan atau sokongan daripada pihak berwajib mampu memberi motivasi generasi muda untuk berusaha mencapai prestasi terbaik dengan keyakinan bahawa masa depan mereka terjamin. - KitaReporters
Leni Haini menunjukkan salah satu anugerah yang diterima hasil kerja kemasyarakatan membersihkan Danau Sipin. -Kredit foto: Radio Idola Semarang.
Selepas bersara sebagai atlet perahu naga, Leni Haini masih berdayung, tetapi kali ini berdayung membersihkan sampah sarap di Danau Sipin, Kota Jambi. -Kredit foto: CNN Indonesia.