Video| e-Arif Aiman, e-Corbin, e-Safee Sali gegarkan padang digital global! Kerjasama FAM, Konami!
Published by.
KHALAYAK e-sukan (sukan elektronik) pasti telah biasa dengan permainan video FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang saban tahun dinaik taraf dan dikemaskinkan terutama apabila tibanya Piala Dunia pada setiap empat tahun genap.
Sebuah pasukan e-bola
sepak (bola sepak elektronik) kebangsaan yang digelar eRimau juga telah ditubuhkan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang beraksi pada Piala Negara-negara eFIFA 2023 dan Sukan SEA
Vietnam 2022.
Malah Ahmad Muhaimin Abd. Razak atau nama pemain e-bola sepaknya, Minbappe membanggakan Malaysia dengan muncul juara Piala Dunia FIFAe bagi kategori Mudah Alih di Riyadh, Arab Saudi pada 12 Disember 2024 lalu.
BARISAN tonggak Harimau Malaya yang digrafikvideokan ke padang digital menerusi kerjasama FAM dan Konami eFootball. - Kredit foto: PSI
Kepesatan dan lonjakan kejayaan e-bola sepak di padang skrin maya ini turut mendorong satu kerjasama FAM dan syarikat
multinasional hiburan dan permainan video Jepun, Konami dalam menjalinkan bola
sepak dengan dunia digital sukan ini di Malaysia.
Lembaran baharu bola
sepak negara FAM-Konami eFootball yang disingkap pada tanggal 17 Disember 2024 di sebuah
hotel di Damansara, Kuala Lumpur ini, membuka gelanggang khalayak e-sukan ‘menyarung
jersi’ pasukan kebangsaan kita, Harimau Malaya.
Minda dan sepasang tangan mereka akan mewakili aksi-aksi tonggak negara yang digrafikvideokan di padang digital seperti Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Faisal Halim atau digelar Mickey, Dion Cools dan Dominic Tan mahupun legenda juara dan penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali.
BARISAN pegawai kanan FAM dan Konami eFootball antaranya Noor Azman Rahman, Yusoff Mahadi dan Michio Takahashi serta Safee Sali menunjukkan isyarat bagus selepas sidang media di ibu negara. - Kredit foto: PSI
Hadir sama pada majlis pengumuman kerjasama FAM dan Konami eFootball ini ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Pengarah Urusan Konami Digital Entertainment Ltd., Michio Takahashi berkata dalam siaran media: “Konami bertekad menyediakan cara yang bermakna dan inovatif bagi para peminat melibatkan diri dengan e-bola sepak sambil memupuk kecintaan sejagat terhadap sukan yang melangkaui sempadan.
“Kerjasama dengan FAM dan ikon Harimau Malaya ini bakal membolehkan kami meraikan tenaga bola sepak Malaysia yang dinamik sambil memberi peluang unik kepada para pemain e-bola sepak untuk menghubungkan diri dan mewakili kebanggaan serta semangat Harimau Malaya di pentas global.”
AHMAD Muhaimin Abd. Razak atau 'Minbappe' (ala jagoan Perancis, Kylian Mbappe) membanggakan Malaysia selaku juara Piala Dunia FIFAe (Mudah Alih) 2024 di Riyadh. - Kredit foto: FAM
Konami dan FAM juga bakal melancarkan kempen eksklusif dan interaktif untuk menghubungkan e-bola sepak bersama komuniti peminat di Malaysia yang merangkumi pengaktifan khas, pertandingan dan acara yang direka secara unik serta menyerlahkan semangat yang menakrifkan budaya bola sepak Malaysia.
Lebih menarik ialah Konami eFootball memperkenal kad status EPIC khas untuk Safee bagi meraikan sumbangan terbilangnya kepada sukan ini iaitu sebahagian daripada siri Harimau Malaya Stars, menonjolkan legasi berkekalannya dan menunjukkan komitmen kerjasama ini terhadap penghormatan kepada kecemerlangan bola sepak Malaysia.
SAFEE Sali mendapat penghormatan khas status Kad EPIC atas pencapaian silamnya dengan Harimau Malaya terutama ketika membantu menjulang Piala AFF 2010. - Kredit foto: FAM
Ulas Safee: “Saya amat berbangga menerima kad status EPIC ini dalam e-bola sepak malah inilah detik membanggakan bola sepak Malaysia.
“Saya menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyertai permainan ini dan bermain sebagai wira kebangsaan kita — Arif, Dominic dan saya sendiri.
“Ayuh kita tunjukkan kepada dunia, apa yang bola sepak Malaysia mampu capai dan terus menyemarakkan semangat para peminat di mana sahaja.” - KitaReporters