KUALA Lumpur bergembira besar meraikan kejayaan menjuarai Piala Tun Razak 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: KHM


LALUAN getir menanti tuan rumah, Johor apabila diundi dengan juara bertahan, Kuala Lumpur dalam Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak Ke-62 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru dari 2 hingga 12 Oktober 2024.  

Kuala Lumpur juga merupakan pemenang terbanyak piala kebangsaan ini iaitu 21 kali, manakala kali akhir Johor menjulangnya ialah 2007 selain 1988 dan 2006, dipetik daripada laman sosial Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 30 September 2024.

Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Perlis dan Singapura melengkapkan Kumpulan A, sementara Kumpulan B dianggotai naib juara 2023, Melaka yang ditewaskan oleh Kuala Lumpur 4-2 di samping Perak, Angkatan Tentera (ATM), Polis (PDRM), Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabah.

Namun Perak turut dianggap antara pasukan pilihan Kumpulan B kali ini dengan reputasinya selaku juara Piala Tun Abdul Razak 13 kali iaitu pada 1966, 1973, 1985, 1987, 1990 (bersama Tentera), 1992, 2013, 2014, 2017, 2018, 2020, 2021 dan 2022.


AKSI sengit perlawanan akhir edisi ke-61 Piala Tun Abdul Razak yang dijuarai Kuala Lumpur (jersi merah) menewaskan Melaka 4-2 di Bukit Jalil. - Kredit foto: KHM


Kemampuan Johor kendalian Mohd. Nor Aqmal Abdul Gaffar juga wajar diberi perhatian kerana diperkasa empat pemain kebangsaan iaitu Faiz Helmi Jali, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Shafiq Hassan dan Alfarico Lance Liao Jr.

Bekas pemain skuad Piala Dunia Belia 2013 di New Delhi ini memburu siri kejuaraan keduanya selepas menghadiahi Persatuan Hoki Johor-Majlis Sukan Negeri Johor (JHA-MSNJ), juara Divisyen Satu Liga Hoki Remaja Malaysia 2024.

Selaku tuan rumah, Johor juga pasti mengidam pencapaian yang lebih baik daripada sekadar tempat kelima dan keempat pada 2023 dan 2022 dengan sasaran JHA kali ini ialah antara tiga teratas.


ANIL Sandhu (kiri) dan Pengarah Kejohanan, Norakma Hashim menunjukkan Piala Tun Razak untuk kategori lelaki dan wanita dalam pengumuman undian kumpulan edisi ke-62 dan kesembilan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: KHM   


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, turut dipertanding ialah kategori wanita edisi kesembilan yang disertai 11 pasukan namun tanpa juara bertahan, Sabah.

“Sabah tidak dapat menyertai kerana kekurangan dana. Turut tiada kali ini ialah Polis (PDRM),” katanya yang juga Naib Presiden KHM dan Presiden Persatuan Hoki Sabah.

Sabah mencipta sejarah selepas menjuarai kejohanan wanita buat kali pertama pada 2023 setelah menundukkan Selangor 2-1.

Walau bagaimanapun kategori ini bakal diperhangat dengan kehadiran skuad bawah 21 tahun (B-21) negara, Harimauwati Muda yang menjadikannya sebahagian persediaan menghadapi Piala Asia Remaja di Oman pada Disember 2024.

Tanpa Sabah, Selangor selaku naib juara 2023 menjadi pilihan utama Kumpulan A sambil dicabar oleh Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Johor , manakala Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Terengganu, Tentera (ATM) dan Harimauwati Muda membentuk Kumpulan B.


AKSI final kategori wanita 2023 yang dimenangi Sabah (jersi biru) mengalahkan Selangor 2-1. - Kredit foto: KHM


SABAH yang tidak dapat mempertahan gelaran wanita Piala Tun Razak kerana masalah kewangan. - Kredit foto: KHM 

9
9
0
3
0

Copy Link: