Pikul harapan menggunung penyokong bola! Dollah jadi Michel Platini FAM? Zainal jaga Pestabola?
Published by
MOHD. Joehari Mohd. Ayub (barisan depan, tiga dari kiri) berpelukan dengan Hamidin Mohd. Amin pada Kongres FAM Ke-61 di Subang Jaya, Selangor pada 15 Februari 2025. Zainal Abidin Hassan (barisan belakang, tiga dari kanan). - Kredit foto: FAM
DATUK Dollah Salleh telah digelar Pablo Dollah sejak mengemudi Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2014.
Ada yang mengatakan kerana persamaan kemahiran gelecekan
bola dan sentuhan gol mereka walaupun pemain Argentina itu lebih junior dan
gelaran itu muncul secara spontan di Singapura.
Dollah, 62, juga pernah membantu Johor kali pertama menjulang
Piala Malaysia 1985, manakala Aimar, 46, menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT)
FC yang menjuarai Liga Super 2014 yang juga gelaran sulung Harimau Selatan.
Kejayaannya muncul Naib Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) dalam Kongres pemilihan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) penggal
2025-2029 di Subang Jaya, Selangor tanggal 15 Februari 2025 seolah-olah mencetuskan
satu lagi julukan menarik.
Mengapa tidak Dollah juga digelar ‘Michel Platini FAM’?
Legenda Perancis itu memuncak dengan trofi Kejuaraan Eropah 1984 dan bergelar
Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada 2007.
Platini menewaskan Lennart Johansson 27-23 bagi kerusi No. 1 badan induk benua itu dan Dollah yang beroleh 16 undi mengatasi seorang lagi calon berkaliber Ahli Exco FAM yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar (sembilan undi).
“Tidak kisahlah ‘Platini’ Dollah Salleh ke, saya
sudah duduk di sini (FAM). Matlamatnya bukan pembaharuan tetapi peningkatan
untuk Harimau Malaya,” katanya ketika ditanya tentang gelaran baharu tersebut.
“(Bola sepak) dalam jiwa ini dan sudah sebati dengan saya. Sudah pastinya saya sentiasa bersedia dan tidak ragu-ragu dengan tugas yang diberikan kepada saya dengan melakukan yang terbaik mengikut pengalaman bola sepak 30, 40 tahun (seperti) apa yang diinginkan oleh persatuan dan rakyat Malaysia,” ujarnya.
ZAINAL Abidin Hassan (kiri) dan Dollah Salleh bersedia menunjukkan keserasian mereka dalam Exco FAM 2025-2029 seperti mana ketika zaman karier pemain negara era 80-an hingga 90-an. - Kredit foto: FAM
Dia dan Datuk Zainal Abidin Hassan muncul legenda bola sepak negara pertama menyertai Exco FAM menerusi Kongres pemilihan dengan penyerang kembarnya dalam skuad kebangsaan, Selangor dan Pahang itu turut memenangi kerusi Ahli Exco dengan beroleh 18 undi terbanyak.
“Macam tak percaya jugalah. Dari mula sampai akhir
(karier pemain kemudian ketua jurulatih-pengurus), kami dapat bersama. Maklumat
awal orang luar jangkakan saya di tempat kedua atau ketiga itu tidak penting,
yang penting saya telah terpilih.
“Perancangan pun memang ada. Saya selalu cakap dengan
Zainal, kami ada perancangan membantu Harimau Malaya (menerusi Exco FAM). Kalau
kami terpilih (sebelum ini), boleh ketengahkan (idea-ideanya).
“Orang tengok Zainal dan Dollah sudah masuk (tentu
mereka) hendak ada perubahan (dalam FAM dan bola sepak Malaysia).
“Insya-Allah, saya akan berusaha dan memberikan
idea yang boleh kami membantu untuk meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.
Biarlah (pucuk pimpinan FAM) tentukan (bentuk tugas atau jawatankuasa tetap)
kami,” katanya.
Perasaan apabila berada di pentas Exco FAM buat julung
kalinya yang kini diketuai Presiden baharu, Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub?
“Fuuuh! Mula-mula saya tidak rasa apa pun tetapi apabila saya duduk tengah (pentas Exco) tadi, ya Allah kali pertama aku macam begini,” jelas anggota skuad juara Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan Pestabola Merdeka 1986 dengan Zainal ini.
MOHD. Joehari Mohd. Ayub (dua dari kanan) menjawab soalan dalam sidang media selepas Kongres pemilihan FAM 2025-2029. Dari kiri, Timbalan Presiden FAM (Datuk S. Sivasundaram dan Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi) serta Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman. - Kredit foto: FAM
Joehari menang tanpa bertanding sebagai pengganti Tan Sri Hamidin Mohd. Amin yang tidak mempertahan kerusi panas FAM yang dipegangnya sejak 14 Julai 2018 itu.
Zainal, 64, pula meluahkan rasa gembira dan amat terkejut kerana mendapat sokongan yang penuh bermakna daripada 18 perwakilan ahli gabungan FAM, sekali gus menyifatkan kepercayaan mereka yang amat tinggi kepadanya.
“Di sini banyaklah tugasan yang harus saya lakukan dengan kepercayaan yang diberi. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada kesemua persatuan yang mengundi saya.
“Inilah satu benda yang baharu bagi saya sekarang (sebagai Ahli Exco persatuan) untuk memajukan bola sepak negara selepas menjadi pemain, jurulatih, pengurus pasukan,” katanya.
Zainal menyedari pada tahap ini, para ahli gabungan inginkan pengalamannya dan Dollah dalam bidang teknikal bola sepak yang sedia dibantu dan dicurahkan semula untuk kebaikan bola sepak Malaysia.
“Saya perlu membuktikan kepada seluruh persatuan yang memilih saya bagi membantu perubahan dan peningkatan bola sepak kita. Apa rancangannya? Kita kena tunggu daripada FAM. Kami pun ada perancangan sendiri, kalau tidak, kami tidak berada di sini,” katanya lagi.
DOLLAH Salleh (kiri) dan Zainal Abidin Hassan (kanan) berkemungkinan besar dilantik dalam Jawatankuasa Pertandingan FAM yang mengendalikan Pestabola Merdeka. Bekas kapten negara, Datuk Soh Chin Aun (dua dari kanan) pernah menyertai Exco FAM 2007 tetapi secara lantikan. - Kredit foto: FAM
Untuk sampai ke tahap setinggi Exco FAM tidak pernah terbayang pada fikiran tetapi kejayaan dipilih ahli-ahli gabungan itu satu penghargaan untuk memberi balik apa yang kami ada, kepada bola sepak, ujar Zainal.
Ditanya sama ada Jawatankuasa Pertandingan FAM bakal menjadi portfolionya dan Dollah memandangkan mereka kerap diundang sebagai tetamu legenda Pestabola Merdeka 2023 dan 2024, katanya, “saya tidak tahu lagi apa tugas yang harus kami jalankan.
“Pestabola ini satu piala yang diagung-agungkan di seluruh Asia dan tertua malah melahirkan kebanyakan pemain (handalan). Kita akan majukan lagi Pestabola, itulah satu piala milik kita di Asia,” katanya.
Mengulas kebanjiran pemain warisan dan naturalisasi dalam Harimau Malaya sejak era ketua jurulatih Tan Cheng Hoe hingga Kim Pan-gon dan kian pasti bersama Peter Cklamovski, katanya, “kita kena kembali melahirkan ramai pemain tempatan yang hebat seperti zaman saya (bermain).
“Di sini banyak ruang dan benda yang bukan dikatakan ketinggalan tetapi tidak menyerlah seperti pembangunan belia, akademi dan terus kepada pemain senior selain liga-liga yang harus diperkuat,” katanya. - KitaReporters
HAMIDIN Amin (kiri) dan Mohd. Joehari Mohd. Ayub berbincang ketika Kongres FAM Ke-61. - Kredit foto: FAM
SENARAI PRESIDEN FAM
1933: Sir Andrew Caldecott
M.B. Shelley
Dr. J.S. Webster
S.D. Scott
R. Williamson
?? - 1940: Adrian Clark
1947: J.E. King
1948: H.P. Byson
1949-1951: Dr. C.P. Rawson
1951-1975: Tunku Abdul Rahman Putra
1975-1976: Tun Abdul Razak Hussein
1976-1984: Tan Sri Hamzah Abu Samah
1984-2014: Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar
2014-2018: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
2017-2018: Tunku Ismail Sultan Ibrahim
2018-2025: Tan Sri Hamidin Mohd. Amin
2025 - : Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub
HAMZAH Abu Samah menerajui FAM pada zaman kegemilangan pasukan kebangsaan akhir 70-an dan awal 80-an. - Kredit foto: FAM
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar selama sepenggal mulai 2014 hingga 2018. - Kredit foto: FAM
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (kiri) dan Hamidin Amin ketika menyerahkan dan menerima tugas Presiden pada Kongres FAM 2018. - Kredit foto: FAM