Tarvisio misi baharu Aruwin! Kurang 1.82s raih gangsa Asia! Kilannya Olimpianita Salji pertama negara!
Published by
ARUWIN Idami Salehhuddin (kanan) menerima cenderamata penghargaan khas daripada Mohamad Norza Zakaria atas pencapaian tempat keempatnya dalam meluncur ski Alpine Sukan Asia Musim Sejuk Kesembilan, 2025 di Harbin, China. - Kredit foto: MOM
KALAULAH lagi 1.82 saat dapat disamakan, mungkin Aruwin Idami Salehhuddin mengukir sejarah sebagai atlet Malaysia pertama yang menaiki podium Sukan Asia Musim Sejuk 2025 di Harbin, China, menerusi meluncur ski Alpine (meluncur menuruni bukit salji).
Sekalipun
mungkin berkongsi pingat gangsa dengan Phicayaporn Thipkesorn dari Thailand,
kejayaan itu sudah menjadi satu bonus yang membanggakan anak Timbalan Ketua
Kontinjen negara ke temasya ini, Salehhuddin Ayob apatah lagi Malaysia.
Walau
bagaimanapun apakan daya, rezekinya hanya beralamat tempat keempat daripada saingan 45 atlet di Stadium Luncur
Ski Alpine dan Slalom, Yabuli, Heilongjiang tanggal 9 Februari 2025 lalu dengan pingat emas dan peraknya menjadi milik Talullah Proulx dari Filipina dan Karyssa
Vasavanont juga dari Thailand.
Aruwin,
21, mencatat seminit 36.74 saat untuk hanya tewas tipis kepada Phicayaporn dalam perlumbaan tersebut yang turut disertai tiga lagi peluncur ski rantau Asia Tenggara –
negara beriklim Khatulistiwa yang tidak mengalami salji.
Dia merakamkan kepantasan 49.12 saat dalam larian pertama sebelum menguranginya ke 47.62 saat bagi larian kedua dan secara keseluruhan berkesudahan di tempat keempat.
SALEHHUDDIN Ayob (dua dari kiri) dan Aruwin Idami Salehhuddin (lima dari kiri) menganggotai kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Musim Sejuk Kesembilan di Harbin, China dari 7 hingga 14 Februari 2025 lalu. - Kredit foto: MOM
Anak kepada bekas Olimpian 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat ini juga pernah bergelar Olimpian wanita pertama Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Ke-24 di Beijing pada 2022.
“Saya
amat gembira kalau dapat masuk antara 10 terbaik pun (di Harbin). Saya mahu terus bersikap
positif dan sentiasa bersemangat tinggi.
“Memanglah
ada naik dan turunnya (prestasi) tetapi saya tidak akan menyerah untuk mengejar impian
saya dalam sukan musim sejuk ini yang saya anggap atlet negara kita tetap punya masa depan yang cerah,” katanya.
Salehhuddin
yang menetap di Amerika Syarikat, kata Aruwin, sentiasa menjadi tokoh teladan dan
pembawa pengaruh besar dalam karier atlet luncur skinya.
Bapanya memiliki pencapaian terbaik berada antara 22 terbaik dalam Piala Dunia Kanu Pertama, 2000 di Penrith, Australia dan seperti Aruwin, hanya kekurangan satu lagi tempat untuk ke pusingan akhir.
“Saya sentiasa mahu mengikut jejak bapa menjadi atlet Malaysia,” katanya, dipetik daripada laman sosial Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
ARUWIN Idami Salehhuddin hanya kekurangan 1.82 saat untuk menaiki podium gangsa meluncur ski Alpine Sukan Asia Musim Sejuk 2025 di Stadium Luncur Ski Alpine dan Slalom, Yabuli, Heilongjiang. - Kredit foto: FB HY
Sementara itu Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyampaikan tahniah buat Aruwin dengan pencapaian hebatnya hanya dalam penampilan sulungnya pada Sukan Asia Musim Sejuk.
“MOM amat
bangga dengan pencapaian tempat keempatnya yang hanya kurang dua saat daripada
pemenang pingat gangsa di Yabuli.
“Dia
bukan hanya menjadi atlet wanita pertama Malaysia layak ke Sukan Olimpik Musim
Sejuk tetapi kini yang pertama bertanding dalam sukan sama (luncur ski Alpine) pada
Sukan Asia Musim Sejuk,” katanya yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA)
Rantau Asia Tenggara.
MOM
menurut Norza, akan mengutus surat kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar menimbangkan
sokongan kewangan tambahan dalam membantunya layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk
Milano-Cortina Ke-25, 2026 mahupun Sukan Asia Musim Sejuk Ke-10, 2029 di Neom, Arab Saudi.
“Dia punya masa depan yang cerah kerana baru berusia 21 tahun," tambahnya.
Aruwin yang mulanya bergiat dalam luncur ais berbunga (figure skating dewan), pernah menjuarai perlumbaan Remaja Kebangsaan Itali di Sapada dan meraih tempat kelima Piala Asia Timur Jauh di Korea Selatan pada Januari 2025.
Misinya seterusnya ialah Kejohanan Belia Dunia Bawah 21 Tahun (B-21) Persekutuan Ski dan Papan Luncur Salji Antarabangsa (FIS) di Tarvisio, Itali dari 1 hingga 7 Mac 2025.
ASHLEY Chin Sook Hui peluncur ais pecut jarak pendek Malaysia yang juga pembawa bersama Jalur Gemilang pada majlis perasmian Sukan Asia Musim Sejuk Harbin tanggal 7 Februari 2025 lalu. - Kredit foto: MOM
SENARAI pencapaian dua lagi atlet negara dalam Sukan Asia Musim Sejuk Harbin 2025. - Kredit foto: MOM
Seorang lagi atlet negara dalam Sukan Asia Musim Sejuk Harbin, Tang Wei Yan menduduki tempat ke-39 daripada 45 peserta luncur ski merentas desa pecut klasik lelaki dan ke-43 daripada 47 peserta 10 kilometer acara bebas.
Anggota-anggota lain kontinjen Malaysia pada temasya edisi kesembilan ini ialah Muhammad Ameer Iman Mohd. Fadzli dan Ashley Chin Sook Hui dalam luncur ais pecut jarak pendek.
Turut beraksi untuk melengkapkan lapan atlet kontinjen kita ialah Low Chun Hong, Fang Ze Zeng, Afrina Diyanah Mohammad Oryza Ananda dan Goh Kai Er.
Wei Yan
dan Ashley menjadi pembawa bersama Jalur Gemilang ketika majlis pembukaan
rasminya tanggal 7 Februari 2025 lalu, manakala giliran Ze Zeng melakukannya dalam penutupan rasmi 14 Februari 2025 lalu.
Inilah penampilan keempat Malaysia di gelanggang Sukan Asia Musim Sejuk anjuran OCA selepas Changchun (China) 2007 dengan 21 atlet, Astana-Almaty (Kazakhstan) 2011 diwakili 22 atlet dan Sapporo (Jepun) 2017 mempertaruhkan 35 atlet. - KitaReporters
BAKI anggota kontinjen Malaysia ketika majlis penutupan rasmi Sukan Asia Musim Sejuk 2025 di Harbin dengan pembawa Jalur Gemilangnya, Fang Ze Zeng (depan, tiga dari kiri). - Kredit foto: MOM