Gila Hindustan| Berakhirnya satu era kegemilangan! Studio & Filem R.K. dirobohkan selepas tujuh dekad
Published by.
Jentolak menjalankan kerja merobohkan Studio dan Filem R.K. di Chembur, Mumbai pada 2017 menandakan berakhirnya era kegemilangan studio tersebut dalam perfileman Bollywood.
STUDIO & Filem R.K. (R.K. Films & Studios), merupakan simbol ikonik perfileman India, khususnya fiem-filem Hindi. Studio ini menjadi saksi kepada era gemilang Bollywood dari akhir tahun 1940-an sehingga tahun 1980-an.
Namun setelah hampir tujuh dekad mewarnai dunia perfileman Bollywood, studio yang berdiri megah di Chembur, Mumbai (dahulu dikenali sebagai Bombay), studio ini diroboh pada 2017. Yang tinggal hanya cebisan studio yang diabadikan sebagai bahan warisan.

Studio & Filem R.K. yang begitu gah suatu ketika dahulu kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah.
Diasaskan oleh Raj Kapoor - pelakon, pengarah dan pengeluar filem tersohor - Studio Filem R.K. ialah lambang kemegahan Keluarga Kapoor, satu nama besar dalam industri perfileman Bollywood.
Bermula daripada bapa Raj Kapoor, iaitu Prithviraj Kapoor, keluarga ini melahirkan ramai bintang Bollywood.
Prithviraj sendiri ialah seorang tokoh bangsawan dan filem. Tiga anaknya iaitu Raj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor merupakan bintang ternama Bollywood.

Wajah-wajah yang mewarnai filem Bollywood untuk beberapa dekad. Bapa Keluarga Kapoor, mendiang Prithviraj Kapoor (dua dari kiri) bersama anak-anaknya Raj Kapoor (kiri), Shammi Kapoor (tiga dari kiri) dan Shashi Kapoor.
Saat kegemilangan Studio & Filem R.K. yang menjadi kebanggaan Keluarga Kapoor. Empat beranak yang menjadi nadi kejayaan studio, Raj Kapoor (dua dari kiri) dan anak-anaknya dari kiri Randhir Kapoor, Rajiv Kapoor dan Rishi Kapoor.
Isteri Rishi Kapoor ialah pelakon Neetu Singh. Anak mereka, Ranbir Kapoor adalah antara bintang top Bollywood masa kini.
Kejayaan Keluarga Kapoor dalam filem, dan berdirinya Studio Filem R.K. meletakkan Keluarga Kapoor pada mercu keagungan, disegani dan disanjung sebagai keluarga yang banyak menyumbang kepada kemajuan filem Bollywood.

Pelakon, pengarah dan pengeluar filem Raj Kapoor ialah pengasas Studio & Filem R.K. serta membawanya ke puncak kejayaan pada era kegemilangannya.
Sejarah Studio Filem R.K. bermula pada 1948 apabila Raj Kapoor membeli tanah seluas dua ekar (0.809 hektar) di Chembur dengan harga 3 lakhs Rupees (RM15,230). Di atas tapak ini dibangunkan studio berkenaan, seterusnya menghasilkan filem ikonik seperti ‘Aag’ (1948) dan ‘Barsat’ (1949).
Setelah itu, Studio Filem R.K. terus mengukuhkan kedudukan sebagai studio filem unggul di
Mumbai, menghasilkan pelbagai filem hebat. Tahun 1950-an hingga 1970-an
dianggap era gemilang studio tersebut.
Sepanjang era
ini, studio tersebut menerbitkan filem hebat seperti ‘Awaara’ (1951), ‘Shree
420’ (1955), filem box-office ‘Sangam’ (1964) ‘Mera Naam Joker’ (1970) dan
filem blockbuster ‘Bobby’ lakonan Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia pada
1973.
Selain itu, antara filem popular lain ialah ‘Satyam Shivam Sundaram’ (1978), ‘Prem Rog’ (1982) dan ‘Ram Teri Ganga Maili’ (1985) yang merupakan filem terakhir arahan Raj Kapoor. Mendiang meninggal pada Jun 1988.
Kejayaan filem-filem yang dikeluarkan oleh Studio Filem R.K. memahatkan nama Raj Kapoor sebagai pengarah dan pengeluar filem yang disegani, bukan sahaja di India tetapi juga luar negara di mana filem Hindi ditayang.

Filem box-office cinta tiga segi,'Sangam', membariskan Raj Kapoor, Rajendra Kumar dan Vyjayanthimala antara filem hebat keluaran Studio & Filem R.K. pada tahun 1964.

Rishi Kapoor dan Dimple Kapadia dalam 'Bobby', filem blockbuster arahan Raj Kapoor keluaran Studio & Filem R.K. pada tahun 1973.
Namun langit tidak selalu cerah. Kegemilangan Studio Filem R.K. mula meniti era suram pada tahun 1980-an. Ini berikutan filem-filem keluaran studio tersebut banyak yang gagal di pasaran, tidak seperti zaman kegemilangan.
Menambah derita
ialah kos pengeluaran filem meningkat sedangkan filem kurang mendapat sambutan. Selain itu saingan daripada
pengeluar filem lain menambah parah derita studio milik Keluarga Kapoor itu.
Anak-anak
Raj Kapoor - Randhir, Rishi dan Rajiv - cuba menyelamatkan studio kebanggan
keluarga itu. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan, ia
menemui jalan buntu sedangkan kedudukan kewangan kian meruncing.
Benarlah,
setiap yang indah akan berakhir jua. Inilah yang terjadi kepada Studio Filem R.K.
Pada 2017, Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC) mengeluarkan perintah
merobohkan studio kepada Keluarga Kapoor.
Alasannya, studio itu didirikan tanpa kebenaran, dan struktur bangunan rosak. Ini berikutan kebakaran pada 2017 yang memusnahkan sebahagian besar studio tersebut. Peliknya, setelah beberapa dekad baharu pihak perbandaran memaklumkan ia dibina tanpa kebenaran.

Kebakaran pada 2017 memusnahkan sebahagian besar Studio & Filem R.K. dan akhirnya dirobohkan terus.
Namun perintah tetap perintah. Tanpa peduli bantahan, sebahagian besar studio tersebut, termasuk logo Studio Filem R.K. dirobohkan pada September 2017. Bangunan kebanggan itu akhirnya menyembah bumi.
Walaupun runtuhnya
studio berkenaan menandakan berakhirnya era Studio Filem R.K., legasi studio
berkenaan terus hidup sebagai kenang-kenangan kepada generasi akan datang.
Sedikit struktur
yang tidak diroboh dilapor telah diisytihar sebagai tapak warisan. Keluarga
Kapoor dikatakan bercadang membina memorial atau muzium sebagai penghormatan
kepada Raj Kapoor di tapak studio. Namun ada pula maklumat mengatakan tapak tersebut
telah dijual.
Studio Filem R.K. telah tiada. Prithviraj Kapoor, Raj Kapoor, Shammi Kapoor, Shashi Kapoor dan Rishi Kapoor juga sudah tiada. Tetapi sumbangan besar studio milik keluarga, serta sumbangan Keluarga Kapoor kepada dunia perfileman akan diingat sepanjang zaman. - KitaReporters