Libasan Kiwi landa Bihar! Menang sulung perlawanan Piala Dunia! Allan Dumbong dari Sabah arkiteknya!
Published byALLAN Guin Dumbong (kiri) bersama-sama Kiwi Sepak Takraw (dari kiri), Pan La Bu, Morgan Floyd Thomas, Reh Oo dan Sine Myo Oo di hotel penginapan pasukan di Bihar. - Kredit foto: AGG
BAYANGKAN kalau digabungkan bekas pelarian Myanmar, pendatang Filipina dan pemastautin kelahiran Malaysia dalam sebuah pasukan sepak takraw New Zealand?
Ditambah
pula ‘Mat Salih’ dan warga suku kaum asli Maori dalam ‘Kiwi Sepak Takraw’ yang
berbilang bangsa dan budaya dengan sokongan padu agensi kerajaan seperti Sukan
New Zealand mahupun Jawatankuasa Olimpik New Zealand (NZOC) Inc.
Mungkin juga ‘gempak’ jika ada unsur tarian perang Hakka Maori macam pasukan ragbi All Blacksnya, turut
mewarnai penampilan Kiwi Sepak Takraw.
Pasti mereka turut mampu jadi lebih berdaya saing khususnya dalam Divisyen Dua Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand (King’s Cup) atau Piala Dunia Istaf yang membabitkan negara-negara membangun sepak takraw.
PAN La Bu menanduk bola ke kawasan lawan dalam saingan kuadran Kumpulan D Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Kompleks Sukan Patliputra, Bihar. - Kredit foto: SI
Wawasan besar ini sering berlegar dalam minda Allan Guin Dumbong, pengurus pasukan Kiwi Sepak Takraw pada Piala Dunia Istaf 2025 di Kompleks Sukan Patliputra, Kankarbagh, Bihar, Patna, India.
Potensinya semakin meyakinkan anak jati Keningau, Sabah ini ekoran kemajuan anak-anak buahnya daripada kalah kesemua perlawanan peringkat kumpulan King’s Cup 2024 di Korat kepada meraih satu kemenangan Piala Dunia di Bihar.
“Kiwi Sepak Takraw menewaskan Amerika Syarikat 17-16, 10-15, 15-10 dalam acara kuadran Kumpulan D di Bihar. Satu kejutan dan peningkatan apatah lagi Persekutuan Sepak Takraw New Zealand (NZSF) Inc. baru ditubuhkan pada Januari 2024.
“Dua
lagi perlawanan kami kalah dengan Iran 9-15, 10-15 dan India 7-15, 10-15 (di
tempat ketiga kumpulan dan gagal ke suku akhir),” kata Allan, 61, yang juga
Naib Presiden NZSF ketika diwawancara oleh KitaReporters di kompleks tersebut pada
21 Mac 2025 lalu.
Kiwi Sepak Takraw membariskan Sine Myo Oo (tekong), Pan La Bu (perejam), Morgan Floyd Thomas dan Reh Oo (pengumpan) yang turut dikalahkan tuan rumah 1-15, 5-15 dan berdepan Amerika lagi dalam acara regu Kumpulan B.
“Ada hanya seorang orang putih (mat saleh). Kebanyakan pemain dengan NZSF berasal dari
Myanmar dan Filipina (wanita). Yang datang sini (Bihar asalnya) Myanmar iaitu
pelarian UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-bangsa Bersatu).
“Sebab ada sengketa politik di sana. Negara maju ambil mereka sehingga jadi warganegara New Zealand. Presiden NSZF, Sine Myo Oo juga dari Myanmar,” jelasnya.
KIWI Sepak Takraw di Bihar (dari kiri), Sine Myo Oo, Morgan Floyd Thomas, Pan La Bu dan Reh Oo yang kebanyakannya bekas pelarian UNHCR dari Myanmar. - Kredit foto: AGG
Namun atas minat mendalam dan hasil latihan menggilap asas sepak takraw sejak di kem pelarian di Thailand lagi, maka lahirlah NZSF dan Kiwi Sepak Takraw – julukan pasukan sukan seperti mana All White/Serba Putih (bola sepak) dan All Blacks/Serba Hitam (ragbi).
Bagaimana bapa kepada empat anak berusia 21 hingga 29 tahun ini boleh tercebur ke dalam perkembangan sukan warisan bangsa Melayu ini di sana?
“Saya diminta Sine membantu mereka dalam hal-ehwal menyediakan kertas kerja, laporan kewangan, pengurusan dan struktur pertubuhan serta berceramah umum. Walaupun saya tidak main sepak takraw, saya sukakan pengurusannya. Saya memahami dan mampu sesuaikannya,” kata Allan.
“Saya jatuh cinta dengan New Zealand sejak melawat negara ini kerana mengetuai satu kumpulan projek pengajian penuntut Institut Teknologi Mara (ITM) bagi subjek antarabangsa pada 1995. Saya dan keluarga saya sudah menetap di Auckland sejak 2015.
“Saya sambung belajar di sana dan apabila anak saya tamat sekolah menengah, kami sekeluarga berhijrah dari Sabah serta bekerja tetap namun masih memegang pasport Malaysia.
“Saya
sukakan kedua-dua negara ini dan mahu cuba bantu New Zealand dalam hubungan
dagang atau sukan atau apa sahaja dengan Malaysia. Jika New Zealand mahu
dirikan syarikat di Malaysia, saya boleh
carikan rakan kongsi begitu juga Malaysia ke sana,” kata pegawai kuarantin kanan Kementerian Perindustrian Utama New Zealand ini.
Allan telah membuktikannya ketika dilantik oleh Bola Sepak New Zealand Inc. sebagai pegawai seranta Harimau Malaya yang mengadakan perlawanan antarabangsa tahap 1 menentang All White di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024. Skuad negara kendalian Pau Marti Vicente tewas 4-0.
ALLAN Guin Dumbong (kiri) bersama-sama dua Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram ketika Harimau Malaya bertandang ke Auckland dan dikalahkan Si Serba Putih 4-0 pada 14 Oktober 2024 lalu. - Kredit foto: AGG
Apa rintangan besar NZSF dan Kiwi Sepak Takraw sekarang?
“Kekurangan peralatan macam bola dan jaring sepak takraw yang tiada di sana. Kalau hendak import dari Thailand atau Malaysia, harga penghantaran (melalui udara atau laut) sahaja sampai sekali ganda lebih mahal daripada barangannya.
“Sejak penubuhan NZSF Inc. pada Januari 2024, kami baru ada lima kelab atau kumpulan pemain yang aktif dengan kesemuanya masih dianggarkan kurang 100 orang. Namun kami sempat melangsungkan sebuah kejohanan sepak takraw kebangsaan untuk membentuk pasukan ke King’s Cup di Korat,” katanya yang juga penulis sambilan portal berita dalam talian Sabah, Talantang.
Agensi sukan kerajaan pula katanya, kurang berminat menaja pemergian mereka ke pertandingan antarabangsa sebagai pendedahan pasukan, sebaliknya cuma mampu dan sedia menyalurkan peruntukan sekiranya ada acara anjuran NZSF yang membabitkan keterangkuman dan pembabitan pelbagai kaum serta budaya, kanak-kanak serta wanita.
ALLAN Guin Dumbong (kanan) dan Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat (kiri) mengapit Abdul Halim Kader selepas mesyuarat pengurus pasukan Piala Dunia Istaf 2025 di sebuah hotel di Bihar. - Kredit foto: AGG
Satu lagi aspek kekurangan kami kata Allan, “dewan atau gelanggang khusus sepak takraw. Ada kemudahan di Auckland (pangkalan utama NZSF) misalnya sebab siling yang rendah, tidak sesuai dengan sepak takraw yang pergerakan bolanya mudah terkena lampu dan kaca tingkap atau dinding.
“Ada juga gelanggang bola keranjang dan bola jaring yang kami gunakan, tidak boleh pula dilubangkan untuk dipasang tiang jaring sepak takraw. Kadangkala kami gunakan tiang mudah alih badminton sahaja sebagai gantinya,” katanya.
“Kami ada tiga lagi bandar yang aktif dengan sepak takraw iaitu Nelson dan New Plymouth serta Wellington. New Zealand ada 20 daerah semuanya.
“NZSF sedang mengatur untuk berdaftar dengan NZOC namun kami kena jadi negara ahli gabungan Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) terlebih dulu sebagai prasyaratnya. Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader sudah berjanji untuk berikan sokongan.
“Jika dapat masuk NZOC, bolehlah NZSF memohon geran dan peruntukan,” katanya yang turut merancang menjalinkan rangkaian kerjasama dengan persatuan-persatuan masyarakat mahupun para penuntut universiti warga Malaysia serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia bagi mengembangkan sepak takraw di negara kepulauan keenam terbesar dunia di Lautan Pasifik itu. - KitaReporters

MORGAN Floyd Thomas (1) membuat adangan badan terhadap rejaman pemain India, Yumnam Akash Singh dalam perlawanan kuadran Kumpulan D Piala Dunia Istaf 2025 di Kompleks Sukan Patliputra, Bihar. - Kredit foto: SI
SINE Myo Oo membuat rejaman gulung deras ke kawasan India yang ditunggu S. Malemnganba (9) sambil diawasi Pan La Bu (kanan). - Kredit foto: SI