.


Bagi seseorang gadis matang lazimnya usia antara 21 tahun hingga 25 tahun dianggap masa sesuai untuk mendirikan ‘masjid’ waima selepas 30 tahun, seseorang wanita itu seringkali akan dilabelkan sebagai ‘anak dara tua’ jika belum berkahwin.

Kini, pada era teknologi moden di mana wanita tidak ketinggalan mengejar pendidikan paling tertinggi atau kerjaya paling baik, soal perkahwinan bukan lagi menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, sudah menjadi kebiasaan apabila usia perkahwinan wanita terlanjut sehingga melebihi 30-an malah ada yang membujang sampai ke akhir hayat.

Pun begitu golongan ini tidak terlepas daripada persoalan yang selalu ditanya oleh orang tua-tua mahu pun kaum keluarga iaitu ‘bila nak kahwin?’.

Situasi beginilah yang tidak terlepas dihadapi penyanyi dan pelakon, Amira Othman apabila pada usia menghampiri 32 tahun, beliau masih belum bertemu jodoh dan seringkali pula diajukan pertanyaan ‘bila nak kahwin?’.


Dari kiri: Marisha, Amira Othman dan Kenny Ong.


Untuk menjawab persoalan itu, anak kedua daripada enam beradik ini  yang bernama penuh, Nadia Amira Othman berkata, ‘Jodohku Ditakdir Tuhan’…dan itulah lirik yang terdapat pada lagu single terbaharunya, ‘Bila Nak Kahwin'.

Lagu "Bila Nak Kahwin" keluaran Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures, telah dilancarkan secara rasmi pada 10 Januari 2025, manakala video muziknya sudah mula ditayangkan pada 11 Januari 2025 jam 3 petang. 

Lagu bergenre pop ini adalah hasil ciptaan dua komposer terkemuka, Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri. 

“Dengan lagu ini terjawablah persoalan yang sering ditanya kepada saya,” ungkap Amira pada majlis pelantikannya sebagai ‘Duta Selebriti’ jenama Varisha dan pelancaran koleksi eksklusif terbaharu, "Raya Series” oleh Varisha Collection Sdn Bhd bertempat di Central i-City, Shah Alam pada Sabtu 11 Januari 2025 lalu.


Amira bersama Marisha selepas menandatangani perjanjian sebagai duta selebriti jenama Varisha.


Turut hadir Pengurus Jenama Vaisha, Marisha Paudzai; Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong; serta kaum keluarga Amira termasuk adiknya penyanyi Irfan Haris.

Selain menandatangani perjanjian bersama Marisha Paudzai sebagai duta jenama, Amira tidak ketinggalan menyampaikan lagu ‘Bila Nak Kahwin’ secara ‘live’ selepas dilancarkan tayangan video muzik (MV) lagu tersebut yang menampilkan aktor terhangat di pasaran sekarang iaitu Fattah Amin.


Amira. tampil dalam gaya persis seorang 'pengantin' dengan gaun serba putih. Foto: FAS.


Terdahulu, terpampang pada dada akhbar berhubung gosip kononnya Amira sedang ‘bercinta’ dengan Fattah sehingga membawa mereka ‘bercuti’ ke London.

Malah lebih daripada itu, satu hantaran milik Fattah dilihat menggunakan tanda pagar yang dikaitkan dengan lagu Amira Othman bertajuk ‘Hati Hati’ telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang mereka sedang mengenali hati budi masing-masing.



Namun pada 11 Januari 2025, segala gosip tersebut terjawab apabila Amira mengakui pertemuan mereka di London semata-mata untuk penggambaran muzik video ‘Bila Nak Kahwin’.

“Kami hanya berkawan rapat untuk gimik muzik video ini,” ujar Amira sambil mengakui menumpang populariti Fattah Amin yang semakin popular sejak bergelar duda pada Oktober tahun lalu (2024).

Beliau berharap gimik tersebut tidak melukai hati sesiapa malah ini juga kali pertama beliau terbabit dengan gosip sedemikian.



“Dulu pernah orang tanya kenapa saya tidak ada kontroversi. Jadi kali ini saya ambil risiko dengan melakukan gimik bersama Fattah. 

"Saya juga berterima kasih kepada Fattah yang kebetulan berada di London dan bersetuju apabila ditawarkan oleh Sony Music untuk bersama dalam video muzik ini,” jelas Amira.

Jadi kepada 'mak chik-mak chik bawang' dan golongan yang suka menjaga tepi kain orang, dah tahu kan jawapan Amira? Jangan lagi nak bertanya ‘bila nak kahwin?’ kepadanya tetapi  dengar dan hayati lirik lagunya, Bila Nak Kahwin.

Itulah jawapan Amira Othman, jika ada jodoh ya! - KitaReporters


6
15
0
11
0

Copy Link: