.


Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

Itu peribahasa yang paling tepat boleh digambarkan  terhadap penyanyi baharu, Rosmah S. Sengari atau nama komersialnya, Soma, di mana sejak berusia 13 tahun beliau sudah bercita-cita mahu bergelar seorang penyanyi profesional tetapi perjalanannya untuk melahirkan sebuah album hanya termakbul pada lewat usianya 40-an.

Dan "Perjalanan" itulah yang menjadi judul album sulungnya yang dilancarkan pada 26 Disember tahun lalu (2024), manakala video muzik lagu tersebut dirasmikan pelancarannya tanggal 31 Januari 2025.


Gambar 'throwback' ... ketika melancarkan album 'Perjalanan' pada Disember 2024. Dari kiri: Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Khadijah Ibrahim, Soma dan Bell Fatah. Foto: FAS.


“Countdown’ detik pelancaran video muzik ‘Perjalanan’ ke Youtube di bawah label Sony Music Malaysia itu diraikan dalam acara santai bertempat di sebuah restoren di Hotel Mandarin Kuala Lumpur.

Turut hadir memeriahkan majlis dan memberikan sokongan, antaranya Pengerusi Karyawan Malaysia, Datuk Khadijah Ibrahim; Presiden Dewan Perniagaan Dato Datuk Malaysia, Dato Seri Nor Hasnal Hashmi; Usahawan Kosmetik, Datuk Junaidah Kitting serta komposer Bella Fatah, adik kepada Allahyarham pencipta lagu ‘Perjalanan’ iaitu Allahyarham Datuk S. Atan.


Soma sering mendapat sokongan daripada rakan artisnya, Khadijah Ibrahim.

Soma bersama Nor Hasnal Hashmi (tengah) dan Pengurusnya, Mira (kiri),


“Perjalanan' adalah simbol perjalanan seni dan impian saya  menjadi realiti. Istimewanya, karya-karya yang terdapat dalam album ini adalah hasil ciptaan Allahyarham S. Atan yang diberi sentuhan segar oleh adiknya, Belle Fatah,” ujar Soma dalam nada puas apabila dapat sekali gus menghidupkan semula muzik legasi seni  S, Atan.

Walaupun sedar agak terlewat memeriahkan industri muzik tempatan apatah lagi dengan lahirnya penyanyi generasi baharu bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, Soma sanggup sahut caraban demi mencapai impiannya bergelar artis rakaman.

"Saya yakin peminat hiburan boleh menerima genre muzik lagu saya kerana lagu-lagu yang terdapat dalam album ‘Perjalanan’ mempunyai pelbagai rentak & irama evergreen apatah lagi ia hasil karya komposer-komposer hebat seperti S. Atan," tambah Soma yakin.



Dalam usahanya untuk memperkenal album ‘Perjalanan’ kepada lebih ramai pendengar, Soma merancang mengadakan siri jelajah di beberapa lokasi terpilih.

Bagi naib juara Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan juara Bintang Klasik RTM 2010 mewakili Selangor itu, album ‘Perjalanan’ membuktikan bahawa Soma mahu terus berkembang sebagai seorang artis yang berani bereksperimen dan menyampaikan emosi yang mendalam dalam karyanya.

“Album ini adalah refleksi perjalanan hidup saya. Setiap lagu mempunyai kisahnya sendiri, dan saya berharap pendengar dapat merasai emosi yang saya cuba sampaikan.” luah Rosma sambil memaklumkan albumnya itu memuatkan lima buah lagu termasuk dua buah lagu yang pernah dinyanyikan 28 tahun lalu yang diberi sentuhan segar oleh Belle Fatah iaitu ‘Curahan’ dan ‘Dugaan’.

Menurut Soma. dua lagu tersebut sebenarnya pernah dirakamkan pada tahun 1996 tetapi terhenti atas sebab tertentu.


Gambar kenangan ketika bersama S. Atan, tiga bulan sebelum arwah meninggal dunia. Turut bersamanya,  penulis lirik, Siso Kopratasa (tengah).

Selain ‘Perjalanan’, lagu-lagu baharu ciptaan Allahyarham S. Atan  yang dimuatkan meliputi ‘Memori Bulan Disember’ dan 'Bebaskan Aku', dengan lirik hasil nukilan Soma sendiri serta Siso Kopratasa.

Ditanya samada beliau selesa jika diberi peluang berkolaborasi dengan artis baharu, jawab  Soma, “Ya, mengapa tidak kerana ini juga salah satu daripada perancangan saya akan datang untuk berkolaborasi dengan penyanyi baharu dan mengikut rentak zaman sekarang.”

Tambahnya, dengan kolaborasi itu juga ia diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda agar tidak mudah berputus asa dalam sesuatu yang dilakukan dan terus berusaha sehingga berjaya mencapai impian melalui genre/rentak lagu muzik mereka.


Soma (tengah) bersama rakan-rakan yang hadir memberikan sokongan pada majlis pelancaran video muzik 'Perjalanan' baru-baru ini.


Tidak syak lagi, seperti Soma yang tidak mengenali erti putus asa, langkah perjalanannya ke persada muzik arus perdana baharu bermula.

“Sekarang ini saya menyusun jadual dan aktiviti seni dengan melakukan latihan-latihan fizikal dan stamina bagi memantapkan vokal selain memenuhi undangan persembahan dan terlibat dalam aktiviti berkaitan seni agar jalinan perhubungan dengan rakan-rakan artis dalam industri berkekalan sekali gus dapat meluaskan ilmu dan pengalaman bagi diri sendiri,” akhiri Soma dengan harapan mampu berjaya dan diterima ramai dalam usia ‘senja’ nya.

Sebagai persiapan seterusnya  Soma merancang merakamkan lagu hari raya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi berjudul  ‘Kerlipan Langit Lebaran’ yang juga ciptaan S. Atan tetapi tidak sempat dirakamkan apabila komposer itu menghembuskan nafas terakhirya pada usia 75 tahun, pada November tahun lalu (2024). Al Fatihah! - KitaReporters


11
13
0
8
0

Copy Link: