Thailand dikekang! Istaf larang monopoli King’s Cup! 6 acara tapi Si Gajah Putih boleh main 4 sahaja!

Published by
KitaReporters

APIT kanan Thailand, Pichet Pansan dengan rejaman gulung berbisanya pada perlawanan akhir 2023 di Korat yang membantu tuan rumah mempertahan King's Cup sejak 1989. - Kredit foto: UT


SEKALIPUN sebagai tuan rumah dan penganjur Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand Ke-37, 2024, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) turut tertakluk kepada dasar larangan monopoli oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf). 

Bagi kejohanan tahunan dari 1 hingga 8 September 2024 di Korat ini, Thailand seperti 12 lagi negara peserta undangannya, wajib menyertai acara regu berpasukan tetapi hanya boleh memilih dua lagi acara daripada Kumpulan A dan B serta pilihan acara gelung (Kumpulan C). 

Larangan itu bererti Si Gajah Putih tidak boleh menyertai semua acara kategori lelaki dan wanita, sebaliknya kena memilih sama ada antara regu atau kuadran (berempat) dalam Kumpulan A dan satu lagi antara regu campuran atau kuadran campuran dalam Kumpulan B.


PIALA Raja Thailand yang menjadi rebutan acara regu berpasukan - kemuncak kejohanan antarabangsa tertua ini sejak 1984. - Kredit foto: TAT


ABDUL Halim Kader bercakap dalam sidang media dengan bola sepak takraw jenama Marathon paten baharu berwarna merah. - Kredit foto: Istaf 


Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, larangan ini telah ditegaskan kepada Presiden TAT, Thana Chaiprasit pada mesyuarat penyelarasan kejohanan di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand, Bangkok pada 14 Jun 2024. 

“Larangan monopoli acara ini kepada semua negara peserta Divisyen Perdana dan Satu ini selaras dasar yang diperkenal oleh Istaf dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sejak Sukan SEA Laos 2009 dan Sukan Asia Guangzhou 2010 yang TAT mengambil maklum mengenainya.

“Piala Raja Thailand anjuran TAT atau juga dikenali King’s Cup telah diberikan status dan restu Kejohanan Dunia oleh Istaf sejak 1992,” katanya yang juga Presiden Astaf yang menghadiri mesyuarat tersebut bersama-sama Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat juga warga Thailand.

Tiada acara regu berpasukan Divisyen Satu dengan setiap negara mesti memilih satu daripada Kumpulan A (antara regu atau kuadran) dan satu lagi daripada Kumpulan B (antara regu campuran atau kuadran campuran) serta pilihan acara gelung (Kumpulan C).

“Sehingga enam pemain boleh dihantar negara-negara peserta Divisyen Satu dan Dua manakala jika menyertai gelung, maksimumnya sembilan pemain, dua jurulatih dan seorang pengurus,” katanya.  


TEKONG utama Thailand, Siriwat Sakha beraksi dengan servis deras dan mengelirukan pemain Malaysia, Zarif Marican Ibrahim Marican (kiri) dan Azlan Alias pada final King's Cup 2023 di Korat untuk menjuarai acara regu berpasukan. - Kredit foto: UT


Namun jelas Halim, tuan rumah dibenarkan menghantar sehingga 18 pemain berbanding negara peserta lain Divisyen Perdana, hanya 12 pemain atau sehingga 15 pemain sekiranya mereka menyertai acara gelung.

“Tiada pemain import dibenarkan bagi setiap negara yang hanya wajib disertai warganegara asal atau pemastautin tetap malah mereka dan pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib atau masih dalam siasatan, dilarang menyertai King’s Cup,” katanya.

Kata Halim, lebih kurang 40 negara bakal beraksi pada kejohanan di sebuah pusat beli-belah di Korat ini dengan pendatang baharunya ialah Timor-Leste, Afghanistan, Poland, Belgium, Itali, Rusia dan Argentina dalam Divisyen Dua sementara Portugal bagi Divisyen Satu. - KitaReporters


BOONCHAI Lorhpipat dan Abdul Halim Kader (dua dan tiga dari kanan) ketika mesyuarat penyelarasan King's Cup 2024 di Bangkok dengan dua pembesar TAT, Boonchit Poolpitak dan Thana Chaiprasit (dua dari kiri). - Kredit foto: Istaf

15
10
0
15
0

Copy Link: