Tomoya Warabino.


Bermula 13 Jun 2024 sehingga 23 Jun 2024, kemunculan buat pertama kalinya watak utama filem ‘Ultraman Blazar the Movie: Tokyo Kaiju Showdown iaitu Tomoya Warabino, 36,  pada acara ‘Ultraman The Hero Premiere 2024 Malaysia’ ternyata mengujakan ramai peminat yang meminati superhero dari Jepun itu.

Bertempat di LG2 Oren Concourse, Sunway Pyramid baru-baru ini, sebaik sahaja Warabino tampil dengan gayanya yang segak, tepukan gemuruh memenuhi ruang legar tersebut apatah lagi apabila ia ditemani karakter-karakter Ultraman lain seperti Ultraman Zero dan Ultraman Arc.

“Saya sangat teruja berada di Malaysia apatah lagi buat pertama kalinya berdepan dengan peminat di sini,” kata Tomoya Warabino ketika ditemui pada acara Ultraman the Hero Premiere 2024 Malaysia berkenaan yang dibawa oleh Tsuburaya Productions Co., Ltd dan One Universal Production Sdn Bhd.



Turut hadir pada majlis tersebut adalah Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Tsuburaya Fields Entertainment International Pte Ltd, Rudy Ng (gambar atas, dua dari kiri) 

Bercerita lanjut kehadirannya di Malaysia pada hari pertama  kata Warabino, “Saya sempat mencuba makanan laksa dan selama tiga hari di Malaysia saya hendak melawat bangunan ikonik di sini seperti Petronas Twin Towers dan sekitarnya,” tambah Warabino yang bercakap dalam bahasa ibundanya tetapi dialih bahasa oleh jurubahasa yang fasih berbahasa Jepun.

Selain itu Warabino memberitahu amat berbangga apabila ditawarkan dalam filem superhero Ultraman yang turut menjadi kegemarannya sewaktu kecil.




“Tidak percaya bahawa satu hari nanti saya akan mendapat watak dalam filem ‘Ultraman’,” jawabnya yang memegang watak selaku ‘Kapten Gento Hiruma” dalam filem ‘Ultraman Blazar the Movie: Tokyo Kaiju Showdown’ yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam TGV mulai 20 Jun 2024 ini. 

Sudah berlakon dalam beberapa filem Jepun sejak 20 tahun, Warabino memberitahu akan terus berlakon filem aksi tetapi tidak menolak tawaran berlakon dalam filem genre lain seperti cinta dan sebagainya.

“Saya mahu berlakon pelbagai watak walau pun saya menggemari filem aksi,” tambah beliau.



Pada majlis yang berlangsung di Sunway Pyramid, selain muncul di pentas, beliau turut tampil pada majlis tayangan perdana filem ‘Ultraman Blazar the Movie: Tokyo Kaiju Showdown’ di sinema TGV.

Terdahulu, menambahkan keterujaan acara, turut disiarkan kemunculan pertama Ultraman Arc di Malaysia, yang akan disiarkan di Astro Ceria mulai Julai 2024. 

Hero terbaharu ini bersedia untuk membuat penampilan sulung yang besar, dengan menawarkan pandangan pertama yang eksklusif kepada para peminat.



Majlis sama turut memperkenalkan  projek terbaharu mereka iaitu Ultraman Card Game, yang dijadualkan untuk dilancarkan pada musim luruh ini namun golongan gamers boleh menikmati sesi ujian main harian dengan dek ujian yang tersedia.

Sementara itu, bagi peminat Ultraman yang ingin mendapatkan koleksi barang jenama Ultraman edisi terhad seperti Ultraman Zero- Clear Cover Ver,  S.H.Figuarts, UltraSeven bolehlah rebut peluang di bahagian pop up storenya sebelum acara berakhir pada 23 Jun 2024.



Namun bagi kanak-kanak boleh berseronok dengan pelbagai aktiviti yang direka khas untuk mereka, termasuk sesi hands-on Gigabash Ultraman DLC, taman permainan belon kembung dan sesi origami manakala mereka juga boleh bergambar dengan 'statue' Ultraman setinggi 2.6 meter berserta paparan kostum Gigantron di situ. 

Selamat bergembira ya.... arigato gozaimas (terima kasih) bak kata Tomoya Warabino kala meninggalkan pentas selepas kemunculannya. 

Sepanjang tempoh acara berlangsung selama 11 hari, pelbagai persembahan pentas mini akan dilangsungkan setiap hujung minggu termasuk segmen interaktif yang pasti menghiburkan semua tidak kira lapisan usia. - KitaReporters




11
9
0
14
0

Copy Link: