Video| Kejutan ASGV! Tiada penyingkiran! Tapi Funfair Tok Ram menghiburkan! Peserta lelaki menyerlah!
Published byMinggu ke-8 All Star Gegar Vaganza (ASGV) cukup menghiburkan juri dan penonton di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan rumah.,
Para peserta dikehendaki mendendangkan lagu-lagu popular pilihan Ketua Juri, Datuk Ramli MS atau Tok Ram yang diberi nama ‘Fun Fair Tok Ram’.
Tok Ram cuba mencabar kemampuan peserta untuk menyampaikan lagu yang di luar kebiasaan mereka dengan memasukkan jiwa terhadap lagu berkenaan.
Walaupun kemampuan pengawalan vokal tetap menjadi keutamaan, namun peserta perlu menggunakan kreativiti untuk memberi ‘jiwa’ kepada lagu yang disampai.
Keempat-empat peserta lelaki memperlihat kreativiti mereka bagi memberikan persembahan memukau kepada juri dan penonton.
Aliff Aziz yang sudah berada dalam radar penyingkiran juri pada minggu ke-7 telah memperlihat kemampuan ‘luar biasa’ ketika menyampaikan lagu ‘Cik Mek Molek ‘ yang dipopularkan oleh Datuk M Daud Kilau.
Aliff yang selama ini dikenali menyampaikan lagu secara ‘kool’ mampu memberi persembahan menghiburkan dan berbeza 360 darjah daripada kebiasaannya dengan gaya berpakaian, gelekan dan cara nyanyiannya yang tersendiri.
Ia mengejutkan Ramli MS setelah Aliff mampu memperlihat tranformasinya.
Dan Ramli MS yakin Aliff mampu pergi jauh dalam bidang nyanyian jika menjadi penyanyi bersahaja atau ‘penyanyi leman’.
Atas usaha luar biasanya menjadi ‘penyanyi leman’ membolehkan Aliff menjuarai minggu ke-8 dengan memperoleh 78.00 markah.
Selama ini Aliff hanya berada di tempat pertengahan dan barisan tiga terbawah.
Dalam program ‘Vazz Vaganza’, Aliff menyatakan sokongan padu para penonton di Auditorium MBSA memberi semangat kepadanya untuk memberi persembahan terbaik.
Sementara itu Naqiu yang tidak dapat tidur lena sejak seminggu lalu selepas diberi lagu ‘Kuda Hitam’ yang dipopularkan oleh juri Hetty Koes Endang.Hetty memuji Naqiu mampu menjiwai unsur muzik Sunda iaitu salah satu etnik di terbesar Indonesia dan memberi pujian atas kejayaan Naqui dengan memberi ucapan ‘gebrek’ (tanda puas).
Naqui menduduki tempat kedua dengan memperoleh 77.75 markah.
Seorang lagi peserta yang diberi ‘gebrek’ oleh Hetty ialah Tomok. Persembahan Tomok ‘menjadi’ apabila membawa watak lucu sebagai lelaki rongak ketika menyampai lagu ‘Apa Nak Jadi’ yang dipopularkan oleh Tan Sri SM Salim.
Tomok berjaya menduduki tempat ketiga dengan 74.75 markah.
Sementara Hady Mirza turut memberi persembahan menghiburkan ketika menyampai lagu ‘Gila Judi’ dengan menggabungkan gaya M Daud Kilau dan Elvis Presly.
Keempat-empat peserta lelaki berjaya memungut markah antara 78 hingga 72.
Sementara malam ‘Fun Fare Tok Ram’ memperlihatkan peserta wanita ‘kurang selesa’ dengan lagu-lagu yang diberi.
Persembahan peserta kaum wanita agak mendukacitakan. Jaclyn Victor dan Azharina Azhar hanya mampu menduduki tempat ke-5 dan ke-6.
Siti Nordiana (Nana) merupakan satu-satunya peserta yang terpaksa menyampai lagu berbahasa Inggeris.
Tidak pernah menyampaikan lagu berbahasa Inggeris terpaksa belajar membetulkan sebutannya sebaik menerima tugas itu seminggu lalu.
Juri Datuk Syafinas Selamat yang memerhatikan sebutan Nana berpuas hati cara sebutan Nana. Namun Syafinaz berpendapat Nana tetap kurang bermaya menyampaikan lagu "Baby One More Time" nyanyian asal Britney Spears.
Persembahan Liza Hanim kurang menjadi ketika membawa lagu yang di luar kebiasaannya iaitu ‘Ayam’ walaupun membawa penyanyi asalnya Jalil Hamid sebagai ‘pembawa ayam’.
Liza Hanim kelihatan janggal membawakan lagu yang di luar genre kebiasaannya. Pertama kali Liza menduduki tangga ketiga tercorot dari bawah, jika selama ini mampu mengekalkan empat tangga teratas.
Noryn Aziz yang sudah banyak kali berada dalam kedudukan tiga terbawah dan kini berada dalam radar penyingkiran juri pada masa ke hadapan.
Noryn gagal memberikan ‘nyawa’ terhadap lagu "Kerana Pengalaman" nyanyian asal penyanyi dangdut veteran Indonesia, Elvis Sukaeseh yang kemudian dipopularkan oleh Zaleha Hamid.
Menurut juri Hetty, Noryn terbawa unsur jazz dan cara pembawaannya tidak sesuai dengan lirik lagu.
Nikki Palikat pula menjadi peserta yang dianggap paling gagal memberi ‘nyawa’ terhadap lagu "Semakin Rindu Semakin Asyik" nyanyian asal Amelina.
Dia yang selama ini mampu berada dalam peringkat pertengahan semakin merudun persembahannya apabila perlu menyampaikan lagu berunsur dangdut.
Nikki selamat daripada penyingkiran apabila pada minggu ke-9 ditetapkan sekali lagi nyanyian berduet. Peserta perlu berduet dengan bekas peserta Gegar Vaganza atau Big Stage.
Mungkin pada minggu ke-9 nanti akan ada dua penyingkiran. Jangan terkejut, ya!!
Ini kerana minggu ke-12 adalah final. Kebiasaannya hanya enam peserta dipilih ke peringkat akhir. Tak tahulah jika jumlah peserta ke peringkat akhir akan menjadi tujuh atau lapan peserta. Mungkin ada lagi kejutan??
ASGV sentiasa mempunyai kejutan. Pentas ajaib ini mungkin menyebabkan peserta favourit akan tersingkir dan begitulah sebaliknya. - KitaReporters
Kedudukan markah ASGV minggu-8:
01. Aliff Aziz (78.00 mata)
02. Naqiu (77.75)
03. Tomok (74.75)
04. Hady Mirza (72.00)
05. Jaclyn Victor 67.00
06. Azharina Azhar (66.00)
07. Siti Nordiana (62.75)
08. Liza Hanim (60.50)
09. Noryn Aziz (57.00)
10. Nikki Palikat (56.50) - Tiada penyingkiran