Perit di Porec! Piala Dunia Hoki Dewan 3-9 Feb 2025! Tapi tim kita tetap sasar antara lapan teratas!
Published bySKUAD hoki dewan negara dengan Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi (berdiri, bertopi putih) bersorak semangat sebelum berlepas ke Vienna, Austria bagi siri perlawanan latihan persediaan ke Piala Dunia Hoki Dewan FIH di Porec, Croatia. - Kredit foto: KHM
TAMPAK seperti satu misi yang amat getir untuk skuad negara mencapai sasaran antara lapan terbaik pada Piala Dunia Hoki Dewan 2025 anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Pusat Sukan Zatica, Porec, Croatia.
Malaysia hanya akan membuat penampilan sulungnya pada Piala
Dunia apabila menentang juara tiga kali dan di ranking kelima, Jerman dalam
saingan Kumpulan B pada 3 Februari 2025.
Turut merintangi skuad kendalian Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi pada peringkat kumpulan ini ialah Argentina (ke-12 dunia) dan Iran (kedua dunia) pada 4 dan 6 Februari 2025. Ketiga-tiga lawan juga merupakan juara Eropah, Amerika Selatan dan Asia.
Sekalipun jurang ranking kita (ke-22 dunia) begitu jauh,
pertembungan dengan Iran tetap seperti perseteruan tradisi yang tercetus sejak
2022.
Kita muncul juara Piala Asia Hoki Dewan 2022 di Bangkok dengan
mengejutkan lawan menerusi pukulan penentuan penalti 3-2 selepas mereka terikat
4-4 dalam masa sebenar.
Namun negara Parsi itu bangkit menang besar 7-1 untuk merampas
gelaran dalam edisi berikutnya di Taldykorgan, Kazakhstan tanggal 25 Mei 2024
lalu.
Sebagai juara dan naib juara Piala Asia Hoki Dewan 2024, Iran dan Malaysia layak secara automatik untuk mewakili benua ini ke Piala Dunia 2025.
AKSI hebat final Piala Asia Hoki Dewan 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan yang merakamkan kecundangnya Malaysia (jersi kuning hitam) 7-1 kepada Iran. - Kredit foto: AHF
Namun persediaan agak rapi telah diatur oleh Konfederasi Hoki
Malaysia (KHM) dengan mengirim tim Rodzhanizam ini ke Vienna, Austria pada 19
Januari 2025 lalu bagi menjalani siri perlawanan latihan menentang SV
Arminen sebelum ke Porec.
Malaysia menang sekali 7-5, satu seri 7-7 dan dikalahkan 11-8 dan 10-7.
SV Arminen turut mempunyai beberapa pemain Austria, teraju ranking dunia FIH sekarang, manakala dua lagi perlawanan ujian diharungi skuad negara dengan ditewaskan Belgium 5-4 dan seri 5-5 dengan Australia pada 31 Januari dan 1 Februari 2025.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, “konfederasi berbangga dengan pasukan negara yang berada antara 12 peserta Piala Dunia Hoki Dewan FIH di Porec.
“Sekalipun tanpa sokongan kewangan ketika Piala Asia lalu, pemain-pemain tetap tekun dan berjuang dengan terbaik untuk menempah slot Piala Dunia ini,” katanya, dipetik daripada laman sosial KHM.
IRAN (jersi putih) merupakan pasukan nombor dua dunia di arena hoki dewan dan juara bertahan Asia namun tidak begitu aktif dalam hoki biasa (astroturf) berbanding Malaysia. - Kredit foto: KHM
Skuad negara juga masih belum mempunyai sebuah gelanggang tetap hoki dewan kata Subahan namun dijangka hanya memperolehnya sekembalinya dari Porec sebagai persediaan memburu pingat emas Sukan SEA Ke-33 di Thailand pada 9 hingga 20 Disember 2025.
“Pasukan negara tidak merungut sekalipun tiada gelanggang tetap dan mendapat elaun latihan yang rendah. Tahniah kepada mereka kerana layak (sebagai naib juara Asia 2024) buat kali pertama.
“Saya menganggapnya satu permulaan baik memandangkan kita di ranking utama Asia Tenggara dan kedua di Asia,” katanya lagi.
Bagi Sukan SEA Thailand 2025, KHM katanya, turut menetapkan sasaran dua
pingat emas hoki dewan termasuk kepada skuad wanita.
Skuad lelaki negara meraih dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019 namun dihampakan oleh Indonesia dengan penentuan pukulan penalti 2-1 setelah terikat 3-3 untuk hanya mengucup pingat perak di Phnom Penh 2023.
Skuad wanita pula hanya sekali menaiki podium emas di Filipina dan sekadar gangsa di Kuala Lumpur dan perak di Phnom Penh.
SKUAD hoki dewan Malaysia ke Piala Dunia Hoki Dewan 2025 di samping Subahan Kamal dan Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi (duduk, lima dan enam dari kiri). - Kredit foto: KHM
Kata Rodzhanizam: “Sekalipun getir, pemain-pemain negara bersedia dan bersemangat untuk mencapai matlamat antara lapan teratas itu. Mereka tahu apa yang menanti di Porec dan bersedia segi mentalnya untuk berjuang.”
Kapten, Muhammad Najmi Farizal Jazlan pula mengakui mereka sepasukan cukup teruja dan bangga untuk menikmati pengalaman sulung Piala Dunia Hoki Dewan.
“Sebarang pencapaian yang bagus di Porec ini akan mencetuskan pembangunan dan lebih banyak pertandingan hoki dewan di Malaysia selain Liga Hoki Dewan Malaysia sekarang.
“Satu hari nanti, siapa tahu Malaysia juga mampu jadi tuan rumah Piala Dunia Hoki Dewan,” katanya. - KitaReporters
BARISAN pemain Malaysia yang menempah slot Piala Dunia Hoki Dewan 2025 dengan bergelar naib juara Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan pada 25 Mei 2024. - Kredit foto: AHF
SKUAD HOKI DEWAN PIALA DUNIA 2025 MALAYSIA:
Mohd. Khairul Afendy Kamaruzaman, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad
Sobri (penjaga gol), Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Aslam Mohamed
Hanafiah, Muhammad Firdaus Omar, Shazril Irwan Nazli (benteng), Muhamad Izham
Azhar, Abdul Khaliq Hamirin (perantara), Faridzul Afiq Mohd, Muhammad Ashran
Hamsani, Meor Muhammad AzuanHasan, Shahmie Irfan Suhaimi (penyerang).
Pengurus pasukan: Shurizan Mansor
Jurulatih: Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi, Mohd. Hanip Che Halim, Saiful Azhar Mohd. Afendi dan Mohd. Badrul Hisham Osman.