PEMAIN-PEMAIN Harimau Malaya dan Harimauwati Malaya yang menjadi peragawan jersi baharu berjenama Puma (dari kiri), Syamer Kutty Abba, Ridzwan Bakri (futsal), Safawi Rasid, Nooa Laine, Nur Lyana Soberi,  Nur Ainsyah Murad, Farahiyah Ridzuan dan Nurfarisya Hanim Zaki. - Kredit foto: FAM


TIADA kelainan besar atau yang boleh ditakrifkan sebagai satu revolusi bagi Harimau Malaya seperti yang digembar-gemburkan sejak Disember 2024 khasnya pada kelengkapan baharu pasukan yang dipersembah di sebuah pusat beli-belah Bandar Sunway, Selangor pada 23 Januari 2025.

Serba kuning (jersi dan seluar serta stoking) bagi perlawanan tempat sendiri/kandang/utama/home dan serba hitam untuk di gelanggang lawan/kendang/kedua/away walaupun sudah beralih jenama dan penajanya, daripada Nike kepada Puma.

Ketika kali akhir jersi Harimau Malaya berjenama Nike edisi 2022-2024 diperkenal pada 17 November 2022, warna kuning dan hitam jugalah yang diperagakan tiga ‘peragawannya’ – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Ahmad Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran juga di Sunway.  

Sesudah ikatan dengan Nike sejak Kejohanan AFF 2007 berakhir pada Kejohanan ASEAN 2024, Puma pula mengambil alih sebagai rakan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi tempoh empat tahun bagi memacu masa depan ‘permainan cantik’ ini di negara ini.

Namun hasil pertukaran rakan busana dilihat seperti tidak membawa revolusi yang diuar-uarkan atau lonjakan yang amat diperlukan oleh Harimau Malaya bagi mengejar ranking untuk menjadi antara 100 pasukan bola sepak dunia.


JERSI baharu Harimau Malaya, kuning untuk tempat sendiri dan hitam untuk tempat lawan menggunakan teknologi Ultraweave Revolusioner Pyna. - Kredit foto: FAM


CUBA bandingkan gambar jersi baharu Harimau Malaya berjenama Puma di atas dengan keluaran dan tajaan akhir Nike pada 2022, seolah-olah tiada kelainan ketara pun. - Kredit foto: FAM


Kerjasama strategik dalam melahirkan busana baharu pasukan kebangsaan ini membawa bersama dua simbol ikonik iaitu kekuatan dan ketangkasan – harimau belang (haiwan logo FAM) dan puma (haiwan logo Puma), lapor siaran media.   

Majlis persembahan dan menandatangani perjanjian ini dihadiri figura terhormat iaitu Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Amin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman; Pengarah Urusan Puma Asia Tenggara dan Oceania, Sanjay Roy; dan Pengurus Negara Puma Malaysia, Steven Tan.

“Kedua-dua jersi ini direka dengan warna ikonik pasukan dan FAM iaitu kuning dan hitam yang melambangkan kebanggaan dan daya tahan.

“Menampilkan teknologi Ultraweave Revolusioner Puma, jersi ini direka bentuk untuk memberikan keselesaan ringan, keanjalan dan ketahanan dalam membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi.

“Kerjasama dengan FAM ini menandakan satu peristiwa penting bagi Puma kerana kami dapat mengembangkan kehadiran kami dalam bola sepak Malaysia,” kata Sanjay dalam siaran itu.

Puma katanya, “berkeazaman untuk melengkapkan Harimau Malaya dengan produk inovatif yang memperkasakan mereka dalam mencapai matlamat sambil meraikan kuasa sukan ini untuk bersatu dan memberikan inspirasi."


HAMIDIN Amin tersenyum girang menayangkan jersi baharu Harimau Malaya (kuning/home) bersama-sama Sanjay Roy selepas majlis menandatangani kerjasama FAM-Puma di Bandar Sunway, Selangor. Kiri dan kanan ialah Noor Azman Rahman dan Steven Tan. - Kredit foto: Puma  


“Kerjasama dengan Puma ini menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia,” kata Hamidin. 

“Kepakaran mereka dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global akan menyediakan pemain kita dengan peralatan diperlukan dalam bersaing pada peringkat tertinggi malah membantu memupuk hubungan lebih mendalam dengan para penyokong mereka.

“Bersama-sama, kita menyasarkan budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia selain menginspirasikan pemain dan peminat sambil kita meningkatkan tahap sukan ini,” tambahnya.

Koleksi Harimau Malaya Puma edisi terhad 2025 kini boleh dibeli dengan harga bermula daripada RM89 hingga RM319 di kedai Puma terpilih di seluruh negara sebagai peluang para peminat mempamerkan sokongan mereka terhadap skuad kebangsaan Malaysia.


Jersi baharu pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang mempamer logo Puma dan FAM? - Kredit foto: Puma


Skuad negara yang berketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski yang turut menghadiri majlis pengenalan jersi ini, dijangka menyarung jersi baharu ini buat kali pertama apabila mengharungi satu perlawanan antarabangsa tahap 1 dari 17 hingga 23 Mac 2025, menurut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kemungkinan ini sebagai pemanas badan sebelum menentang Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F di gelanggang lawan yang juga misi sulung warga Australia itu di samping Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Robert Douglas Friend dari Kanada - dua elemen besar revolusi yang dipukul canang itu. - KitaReporters


PARA pemain Harimau Malaya dan Harimauwati Malaya menggayakan jersi baharu berjenama Puma sambil diraikan figura FAM dan Puma serta Peter Cklamovski (dua dari kanan). - Kredit foto: FAM

17
10
0
9
0

Copy Link: