Maleeq Dragster atau Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzrimendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).


Meskipun usianya baru berusia enam tahun namun Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzri mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike (basikal tolak) kanak-kanak di luar negara dalam tempoh setahun pada 2024 yang lalu. 

Ayden Maleeq atau terkenal dengan nama Maleeq Dragster membuktikan usia bukanlah penghalang apabila mencatatkan keputusan luar biasa untuk merangkul 14 kejuaraan, termasuk memenangi gelaran juara dunia kategori lima tahun pada Kejohanan Dunia Run Bike Series (RCS) di Tokyo, Jepun. 

Bagi bapanya, Datuk Seri Wan Muhd. Muzri melihat apa yang anaknya kecapi itu sebagai potensi bagi sukan pushbike dalam membentuk generasi muda yang bersemangat juang dan berani.



"Sebagai ibu bapa, kami berbangga dengan Maleeq. Dia juga memberi inspirasi kepada adik-beradik serta rakan-rakan seperjuangan untuk lebih berdaya saing. Semoga ini menjadi pemangkin untuk melahirkan seorang ahli sukan negara yang berjaya pada masa hadapan.

"Maleeq bukan sahaja mencipta rekod baru untuk Malaysia, malah mengangkat martabat sukan pushbike tempatan ke peringkat lebih tinggi agar setanding dengan sukan kanak-kanak lain di dunia. Semoga dia terus mengekalkan prestasi cemerlangnya dan menjaga nama baik Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Sebagai maklumkan, Maleeq mempertahan kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut pada RCS selain turut mencatat kemenangan di beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, dan Singapura.

Pelumba muda itu juga merangkul pelbagai kejuaraan tempatan, antaranya M8 Malaysia Antarabangsa Pushbike Series 2 2024 Langkawi serta Litar Antarabangsa Sepang Petronas (Petronas SIC), Sepang GP Series 4 dan Perlumbaan Magnificent 2024.



Selain itu, Maleeq juga berjaya menewaskan pelumba-pelumba cilik antarabangsa dalam Rockfish Cup International Championship 2024 yang berlangsung baru-baru ini.

Selain itu, ibunya, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain pula mendedahkan bahawa Maleeq sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun pernah tercedera semasa latihan.

"Dia memang kanak-kanak yang kuat semangat. Begitu juga kakak dan abangnya, Mikael (Wan Faith) dan Mikayla (Wan Adra), yang sentiasa menunjukkan prestasi terbaik walaupun pernah tercedera semasa perlumbaan.

"Semuanya bermula di rumah. Kami melihat kesungguhan mereka, lalu mengambil jurulatih dan membina pusat latihan sendiri.

"Latihan hanya dilakukan pada waktu malam, manakala hari persekolahan sepenuhnya untuk belajar. Perlumbaan pula hanya pada hujung minggu agar tidak mengganggu pembelajaran mereka,” ujarnya. 



Bagi Wan Muzri, yang juga Presiden The M8 Cycling Club, Maleeq akan terbang ke Jepun sekali lagi pada 18 dan 19 Januari 2025 ini untuk  menyertai RCS di Jepun. 

"Maleeq akan membawa nama negara bersama abang dan kakaknya, serta tujuh pelumba lain. Antaranya Fayyadh, Raziq, Izz Fast, Amni, Rafif, Ilyas, dan Dayyan. 

"Saingan kali ini dijangka sengit, tetapi kami yakin dengan persiapan rapi, pelumba Malaysia mampu mencapai keputusan terbaik,” katanya lagi. 

Mengenai masa depan Maleeq selepas sukan pushbike, Wan Muzri berkata anaknya berhasrat meneruskan langkah sebagai pelumba sukan permotoran Mini GP, hasil kerjasama antara M8 Malaysia Pushbike dan ZK Racing.

"Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak berbakat untuk melangkah lebih jauh. Aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja membina keyakinan diri tetapi juga membantu mereka bergaul dengan rakan sebaya,” tambahnya. - KitaReporters

17
10
0
9
0

Copy Link: