YANG seorang, akan mencatat nama sebagai penerjun akuatik ketiga mahupun anak Sarawak keempat yang menggalasnya. Seorang lagi, bakal mencatat penampilan dalam pelayaran Sukan Olimpik yang ketiga berturut-turut.

Merekalah penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Latif yang diberi penghormatan sebagai pembawa bersama Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

Majlis pembukaan rasmi temasya ke-33 di Sungai Seine sepanjang enam kilometer dan Taman Trocadero, Paris pada 26 Julai 2024 akan menyaksikan mereka mengetuai perarakan kontinjen Malaysia yang setakat ini mengandungi 25 atlet daripada lapan jenis sukan.

Langkah ini juga mengulangi pemilihan Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying sebagai pembawa bersama Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik Tokyo 2021. 

Kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, “kedua-dua atlet ini mewakili pembentukan kontinjen negara pimpinan Datuk Hamidin Amin yang mengandungi atlet penampilan sulung dan berpengalaman.

"Mereka juga dipilih oleh Lembaga Eksekutif MOM daripada satu senarai pendek atlet yang layak atas pelbagai faktor termasuk jadual pertandingan.


LEE Zii Jia (depan, kiri) dan Goh Liu Ying selaku pembawa Jalur Gemilang pada acara perbarisan kontinjen Sukan Olimpik Tokyo 2021 di Stadium Olimpik, Tokyo. - Kredit foto: MOM


“Bertrand, 19, merupakan pendatang baharu Sukan Olimpik manakala Shazrin, 26, sudah beraksi di Rio 2016 dan Tokyo 2021. Dalam meraikan masa depan, kami menyambut yang sekarang,” katanya dalam laman sesawang rasmi MOM.  

Penerjun dan pelayar ini masing-masing turut mengalungi Malaysia pingat gangsa acara pelantar 10 meter seirama dan pingat emas single handed dinghy ILCA 6 Sukan Asia Hangzhou 2023.   

Bertrand juga merupakan atlet pertama Malaysia yang layak ke Olimpik 2024 secara merit pada Julai 2023 dan atlet kelahiran Sarawak keempat membawa bendera negara nanti selepas Kuda Ditta (olahraga) di Rome 1960, Bryan Nickson Lomas (akuatik terjun) di Athens 2004 dan Datuk Pandelela Rinong (akuatik – terjun) di London 2012. - KitaReporters


Atlet kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024:

  • Ariana Nur Dania Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil (memanah), 
  • Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia Teng Fong/Soh Wooi Yik, Pearly Tan/M. Thinaah, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei (badminton), 
  • Nur Aisyah Zubir, Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Asri (berbasikal), 
  • Bertrand Rhodict Lises, Nur Dhabitah Sabri (akuatik terjun), 
  • Gavin Kyle Green, Ashley Lau (golf), 
  • Khairulnizam Affendy, Nur Shazrin Latif (pelayaran), 
  • Johnathan Wong (menembak), 
  • Khiew Hoe Yan, Tan Ruoxin (akuatik renang) dan
  • Aniq Kasdan (angkat berat).


LEE Chong Wei membawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian Sukan Olimpik Rio 2016 di Stadium Maracana, Rio De Janeiro. - Kredit foto: MOM


PEMBAWA JALUR GEMILANG SUKAN OLIMPIK:


SABIAMAD Abdul Ahad mengetuai perarakan kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 di Coliseum Peringatan Los Angeles, California, Amerika Syarikat. - Kredit foto: MOM


   

PERANTARA bola sepak, Ali Bakar Abu Bakar membawa bendera Malaysia ketika perarakan Sukan Olimpik Munich 1972 di Stadium Olimpik, Munich, Jerman Barat. - Kredit foto: MOM


  

KUDA Ditta, anak Sarawak pertama yang membawa bendera Malaysia pada perbarisan Sukan Olimpik Tokyo 1964. - Kredit foto: MOM


KONTINJEN pertama Persekutuan Tanah Melayu (kemudiannya Malaysia) pada Sukan Olimpik Melbourne 1956 diketuai Tan Kim Bee. - Kredit foto: MOM   

13
11
0
6
0

Copy Link: