Dari Wayang ke Pentas Seni! Starfest USIM bangkit hargai runut bunyi asal (OST) filem-filem Melayu!
Published byBertemakan ‘Dari Wayang ke Pentas Seni’, Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni (KPPS) Pusat Kebudayaan USIM muncul dengan buah tangan istimewa kepada warga kampus.
Lagu tema asal (OST) daripada filem Polis Evo, Magika, Ombak Rindu dan beberapa filem popular tempatan menjadi nadi inspirasi dalam persembahan anjuran KPPS dengan kerjasama Pusat Kebudayaan USIM.
Mempersembahkan Student Art Festival atau Starfest, buat pertama kalinya program ini berjaya menghimpunkan 120 peserta terdiri daripada kumpulan cak lempong, dikir barat, koir, muzik moden, nasyid, tarian, vocal ensemble, taranum dan beberapa lagi kumpulan kesenian lain yang terlibat.
Starfest
yang diadakan bertujuan mendekati warga kampus untuk memperkenal KPPS
khususnya kepada pelajar di samping mengembangkan bakat dan kemahiran mereka
dalam persembahan Seni Berbudaya.
Menurut Pengerusi KPPS, Amir Hamizan Abd Razak, pemilihan tema tersebut dibuat kerana generasi muda seharusnya menghargai dan membantu industri untuk mengangkat karya Melayu melalui lagu tema asal atau runit bunyi asli (OST) daripada filem tempatan dan jika dilihat lirik yang disampaikan mempunyai nilai budaya dan mesej yang baik kepada masyarakat.
Beliau juga menambah bahawa program ini merupakan perintis untuk KPPS lebih proaktif menganjurkan program atau aktiviti yang lebih menyeluruh dan mampu disertai mahasiswa dengan lebih ramai lagi.
Starfest disambut meriah dengan kehadiran 400 penonton terdiri daripada pelajar dan staf USIM.
Persembahan setiap kumpulan memberi kesan mendalam dan lebih bermakna apabila dinilai oleh komposer tersohor tanah air yang juga Karyawan Seni USIM iaitu Fauzi Marzuki dan Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya, Yazid Zakaria.
Kedua-dua panel yang dilantik turut memberi komentar secara menyeluruh berkaitan mesej yang disampaikan melalui jalan cerita dan persembahan.
Acara Starfest juga turut dimeriahkan dengan beberapa penyampaian anugerah yang diberikan kepada kumpulan yang telah memberikan kerjasama dan kemampuan menghasilkan sebuah persembahan paling kreatif dan memukau penonton.
Kumpulan Fansuri dianugerahkan Persembahan Terbaik, diikuti Tabuh Pendeta dan The Voices. Bagi kategori Komitmen Terbaik dimenangi kumpulan Pengurusan, Paling Kreatif Tingkah Irama dan anugerah Paling Gempak dimiliki Perkusirama.
Penyampaian anugerah telah disampaikan oleh Karyawan Seni USIM Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa) bersama Ketua Unit Pengurusan Aktiviti dan Persembahan Seni, Arohiyah Abdullah.
Turut hadir menyaksikan persembahan Starfest terdiri daripada alumni-alumni USIM dan Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM. - KitaReporters/USIM