INFO grafik laman sesawang FAM mengenai pelantikan ketua jurulatih Harimau Malaya dan B-23 Malaysia. - Kredit foto: FAM


MANTAN penolong pengurus Australia yang menjuarai Piala Asia 2015, Peter Cklamovski diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya mulai 1 Januari 2025.

Warga Australia berbangsa Macedonia ini akan mengambil alih ‘kerusi panas’ yang akan ditinggalkan oleh Pau Marti Vicente dari Sepanyol selepas Kejohanan ASEAN 2024-2025 yang berakhir 5 Januari 2025.

Cklamovski, 46, bertugas di bawah warga Greece, Ange Postecoglou yang membawa Socceroos meraih kejuaraan sulung Asia anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Australia, Sydney pada 31 Januari 2015.

Dia juga sebelum ini, menguruskan kelab Liga J1 Jepun, FC Tokyo dari 20 Jun 2023 selain Shimuzu S-Pulse (1 Februari hingga 31 Oktober 2020) dan sebagai penolong pengurus Yokohama F. Marinos dari 2018 hingga 2020.


PAU Marti Vicente (dua dari kanan) diapit oleh dua penolong ketua jurulatih negara, E. Elavarasan (kanan) dan Juan Torres Garrido. - Kredit foto: FAM


Pelantikan anak jati Sydney yang turut pernah menjadi pengurus skuad Bawah 17 Tahun Australia ini, diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman sesawangnya pada 16 Disember 2024.

Cklamovski turut bakal menjadi jurulatih import yang ke-18 bersama pasukan kebangsaan kita sejak Choo Seng Quee dari Singapura pada 1958 hingga 1963.

“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain pula (dilantik) sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan. Kedua-dua individu ini akan memulakan tugas secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025,” lapor siaran media dalam laman itu.

Dua individu penting ini akan menerajui struktur organisasi baharu Harimau Malaya sebagai permulaan kepada revolusi untuk memperkasa skuad kebangsaan, tambah siaran berkenaan.


PETER Cklamovski (kiri) dan Ange Postecoglou yang membantu Australia menjuarai Piala Asia 2015 di Sydney. - Kredit foto: FFA  


Menurut FAM, Cklamovski dipilih kerana merupakan jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat bermula dengan kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 mulai 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.

“Dia juga pernah bekerja selama lebih 15 tahun dengan Postecoglou di kelab Liga Perdana England, Tottenham Hotspur dan mengendalikan Yokohama F. Marinos sebagai juara Liga J1 2019,” tambah FAM.

Sebagai permulaan menurut FAM, misi utama Cklamovski ialah memastikan Harimau Malaya mengungguli Kumpulan F kelayakan sekali gus layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi selain menyertai antara 100 pasukan teratas ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbanding ke-132, sekarang.  


NAFUZI Zain kali akhir sebagai ketua jurulatih ialah bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada November 2024. - Kredit foto: FAM


“Nafuzi, 46, pula diharap memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke dalam Harimau Malaya.

Pasukan pelapis belia ini dikendalikan seorang lagi warga Sepanyol, Juan Torres Garrido yang juga penolong ketua jurulatih negara dengan tugasan utamanya berkesudahan Malaysia gagal melepasi saingan Kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar pada 17 hingga 23 April 2024 lalu.

“Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur ialah membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.

“Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara 2016 dan dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.

“Nafuzi kemudian menjadi ketua jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 yang meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022 selain layak ke Piala AFC. Dia juga dipilih Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022,” jelas FAM.

Tugasan penting yang menantinya dan skuad B-23 kebangsaan pada 2025 ialah Kejohanan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA Thailand, tambah FAM.


PETER CKLAMOVSKI


“Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM dalam memastikan perjalanan operasi organisasi yang lebih cekap dan profesional.

Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan Harimau Malaya mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik,” lapor FAM. - KitaReporters


SENARAI KETUA JURULATIH IMPORT MALAYSIA:

1958-1963: Choo Seng Quee (Singapura)

1965-1966: Otto Westphal (Jerman Barat)

1967: Dettmar Cramer (Jerman Barat)

1968: Harold Hassall (England)

1970-1971: Dave McLaren (Scotland)

1977, 1980-1981: Karl-Heinz Weigang (Jerman Barat)

1983-1985: Frank Lord (England)

1986-1987: Josef Venglos (Czechoslovakia)

1988: Richard Bates (England)

1989-1990: Trevor Hartley (England)

1992-1993: Ken Worden (England)

1994-1995: Claude Le Roy (Perancis)

2001-2004: Allan John Harris (England)

2004-2005: Bertalan Bicskei (Hungary)

2017-2017: Nelo Vingada (Portugal)

2022: Kim Pan-gon (Korea Selatan)

2024: Pau Marti Vicente (Sepanyol)

2025: Peter Cklamovski (Australia)


PAU Marti Vicente (kiri) dan Juan Torres Garrido. - Kredit foto: FAM 


SENARAI KETUA JURULATIH MALAYSIA PALING BERJAYA

Choo Seng Quee (Singapura)

• Juara Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960; pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961; pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962

Harold Hassall (England)

• Juara Pestabola Merdeka 1968

Dave McLaren (Scotland)

• Layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 (Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul 1971)

Abdul Ghani Minhat

* Juara Pestabola Merdeka 1973

Jalil Che Din

• Menyertai Sukan Olimpik Munich 1972; juara Pestabola Merdeka 1974; pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974

M. Kuppan

* Juara Pestabola Merdeka 1976; layak ke Piala Asia 1976 di Iran (kelayakan 1975); pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1977

Mohamad Bakar

• Juara Pestabola Merdeka 1979; pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979; layak ke Piala Asia 1980 (kelayakan 1979)

Karl-Heinz Weigang (Jerman Barat)

• Layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 (Kelayakan Kumpulan 2 Asia di Kuala Lumpur 1980)

Jozef Venglos (Czechoslovakia)

• Juara Pestabola Merdeka 1986

Trevor Hartley (England)

• Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989

Ken Worden (England)

* Juara Pestabola Merdeka 1993

K. Rajagobal

* Juara Piala AFF 2010

Kim Pan-gon (Korea Selatan)

·         Layak Piala Asia 2023/2024

Pau Marti Vicente (Sepanyol)

·         Juara Pestabola Merdeka 2024

 

15
21
0
20
0

Copy Link: