Safiq masih digantung! Tanduk muka Faisal! Kerana mulut, jurulatih Kelantan FC turut dihukum!
Published bySAFIQ Rahim (tengah) menanduk muka Faisal Abdul Halim (kiri) dalam separuh akhir Piala Malaysia 2021 yang dimenangi JDT FC 3-0. - Kredit foto: JDT
PERANTARA Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Safiq Rahim perlu menjalani dua lagi hukuman penggantungan perlawanan gara-gara menanduk muka sayap Terengganu FC, Faisal Abdul Halim dalam pertembungan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 26 November 2021.
Bekas kapten Harimau Malaya itu yang turut digelar Copot, sudah pun terlepas
perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 November 2021 atas hukuman secara automatik
selepas dikenakan kad merah kerana kelakuan ganasnya terhadap 'Mickey' di Stadium Sultan Ibrahim,
Iskandar Puteri, Johor.
Baki penggantungan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali kelimanya bagi penggal
2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 30 Disember 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasukan JDT
Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang bagi kes Safiq Rahim dan Rezal Zambery Yahya di Wisma FAM. - Kredit foto: FAM
Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu berkata, tindakan ganas itu melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM dan dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan (mulai) perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 (JDT FC menentang Kuala Lumpur City FC) secara automatik.
“Baki penggantungan (Safiq) berkuat kuasa serta-merta pada perlawanan rasmi pertama dan keduanya dalam Liga Malaysia (sama ada Liga Super atau Piala Sumbangsih atau Piala FA atau Piala Malaysia) yang berikutnya sama ada musim sama atau musim hadapan.
“(Hukuman ini) tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)/Liga Bola Sepak Amatur (AFL) tanpa mengira dalam mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan,” katanya dalam laman sesawang rasmi FAM.
Tegas beliau, Safiq, 34, turut diberikan amaran keras malah hukuman yang lebih berat akan dikenakan terhadapnya jika mengulangi kesalahan yang sama namun keputusan ini masih boleh dirayu.
Harimau Selatan yang juga juara bertahan kehilangan Piala Malaysia kepada KL City setelah kecundang 2-0 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
JDT FC mulanya menewaskan Terengganu FC 3-0 sekali gus melangkah ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 4-1.
Safiq Rahim kempunan membantu JDT FC dalam final Piala Malaysia yang dirampas KL City FC. - Kredit foto: JDT
BALJIT SINGH SIDHU. - Kredit foto: FAM
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menanggung padah gara-gara kenyataannya ketika ditemu bual yang dianggap memberikan impak buruk terhadap reputasi FAM dalam perlawanan Piala Malaysia 2021 menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam perlawanan pada 30 September 2021, bekas pemain kebangsaan itu didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia.
“(Ketua jurulatih pasukan Liga Perdana 2021 itu) digantung dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak dan yang bersampingannya selain didenda RM10,000,” kata Baljit.
Namun jawatankuasa itu katanya, memutuskan untuk menggunakan Artikel 35 Kod Tatatertib FAM dengan hanya menggantung Rezal selama sebulan pertama terlebih dahulu dan baki sebulan ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik jurulatih itu selama 12 bulan.
Penggantungan sebulan pertama terhadapnya, berkuat kuasa 30 Disember 2021 hingga 29 Januari 2022 dan bakinya, dari 30 Januari 2022 hingga 28 Februari 2022, jelasnya.
“Jika dia melakukan apa-apa perlanggaran Kod Tatatertib FAM dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan sebulan pertama, maka baki hukumannya akan dikuatkuasakan serta-merta. Dendanya boleh dirayu,” ujar Baljit lagi. - KitaReporters
Rezal Zambery Yahya terpaksa melupakan bulan pertama saingan Liga Perdana 2022 gara-gara hukuman penggantungan FAM ini. - Kredit foto: TRW
Rezal Zambery Yahya dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih Kelantan FC mulai November 2021 selepas membawa Si Wira Merah ke tempat keenam Liga Perdana 2021 dan layak ke Piala Malaysia. - Kredit foto: TRW