KETIKA ramai umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha dengan melakukan ibadah korban dan berkunjung menemui saudara-mara, penyanyi generasi baru yang sedang  popular, Wany Hasrita, 29, pula terpaksa menyambutnya dengan cara kurang selesa.

Wany terpaksa beraya dengan penyakit Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin di rumah di Kuala Lumpur bersama ibunya.

Dia terpaksa memberhentikan kegiatan seni untuk seketika bagi memastikan kesihatannya benar-benar pulih.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Wany Hasrita


Perkara itu dinyatakan oleh Wany menerusi satu entri yang dimuat naik dalam Instagram Story (IGs) pada 12 Julai 2022. Bagaimanapun, Wany, tidak menyatakan secara terperinci bila dia dan ibunya, dijangkiti virus berkenaan.

"Hai... Assalamualaikum semua. Hari ini, saya sepatutnya ada majlis makan tengah hari bersama media untuk single baharu Kucuma. Tetapi, apakan daya, saya tidak dapat pergi kerana positif Covid-19 untuk pertama kalinya. Akhirnya, saya sedang menjalani kuarantin di rumah bersama ibu saya.

"Ibu baru lepas sihat dan saya masih ada batuk-batuk dan selesema serta yang demam 'on and off'. Salah satu lagi simptom saya adalah cirit-birit," katanya.




Sementara itu, pengurus Wany yang dikenali sebagai Amy berkata, penyanyi itu mula mengadu tidak sihat, pada Sabtu, 9 Julai 2022.

"Selepas melakukan ujian kendiri, Wany mendapati dirinya positif Covid-19 sehingga terpaksa membatalkan komitmen dengan stesen radio, Suria FM pada saat-saat akhir.

"Jika diikutkan, hari ini (Selasa, 12 Julai 2022), Wany pergi ke majlis pelancaran single Kucuma. Bagaimanapun, keadaan Wany masih tidak okay dan demam.

"Jadi, Wany terpaksa batalkan hasrat memeriahkan acara hari ini kerana perlu berehat," kata Amy.

Sepatutnya, Wany yang juga artis FMC Music, menjayakan acara santai bersama artis naungan syarikat itu seperti Haqiem Rusli dan Tuan Adzmi termasuk rakan duetnya untuk lagu 'Kucuma', Datuk Jamal Abdillah di salah sebuah hotel di ibu negara, tengah hari Selasa, 12 Julai 2022 itu.

Wany kembali berduet dengan Jamal Abdillah. Setelah beroleh kejayaan dengan lagu ‘Belenggu Rindu’ kira-kira dua tahun lalu, kini kedua-duanya muncul dalam lagu ‘Kucuma’ edaran FMC Music.


Wany bersama (dari kiri) Shidee, Ramlah Ram, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Jamal Abdillah. - Kredit foto: IG wanyhasrita

Sebelum ini Wany menjadi salah seorang penyanyi yang menjayakan Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri  Ahmad Nawab di Istana Budaya pada 1 hingga 3 Julai 2022. Penyanyi lain yang mengambil bahagian ialah Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Datuk Khadijah Ibrahim dan Shidee.

Wany teruja terpilih untuk konsert itu sebagai penyanyi generasi baru yang berpeluang muncul dalam konsert besar itu selama tiga malam. - KitaReporters


Wany bersama Datuk Seri Dr Ahmad Nawab

12
11
0
15
0

Copy Link: