Tahniah bertunang! Syamel-Ernie tetap jaga batas pergaulan!
Published byMENJADI tunangan orang sudah tentu bukannya paspot untuk rasa selamat ke arah ikatan yang lebih terjamin waima pasangan berdarah manis ini kata orang sering diuji dengan pelbagai cabaran. Sehubungan itu tepat sekali respons pasangan duet popular, Syamel dan Ernie Zakri yang sama-sama mahu menjaga diri dan bataskan pergaulan sehingga sah bergelar suami isteri. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan Ernie Zakri:
https://kitareporters.com/search?search=ernie
Pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, bergelar tunang kepada Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 27, pada petang Sabtu, 15 Ogos 2020 dan dilaporkan bakal berkahwin pada tahun depan 2021.
Majlis pertunangan mereka disahkan apabila Ernie berkongsi gambarnya dalam laman instagram, manakala Syamel turut berkongsi kembali gambar dan kenyataan sama pada laman instagram beliau.
Perkongsian berkenaan mendapat lebih 6,000 komen daripada ramai rakan artis yang mengucapkan tahniah, yang didahului artis tersohor, Dato Seri Siti Nurhaliza, Janna Nick. Mira Filzah, Ayda Jebat, Amira Othman, Elfira Loy dan tentu sekali bapa saudaranya, penyanyi Anuar Zain yang sempat menulis 'Tahniah anakku' serta ramai lagi.
@erniezakri : Alhamdulillah.Terima kasih mendoakan yang baik baik untuk kami. Semoga dipermudah urusan hingga akhir hayat. Semoga perjalanan yang bermula dengan majlis pertunangan yang serba sederhana bersama kaum keluarga ini diredhai dan diberkati.
Lebih menarik apabila gambarnya mendapat respons daripada laman instagram Syamel yang dalam nada gurau menulis "awak pandang siapa kak ninie," dibalas Ernie dengan ayat "pandang ada orang tak sampai-sampai lagi masa tu."
Majlis yang berlangsung ringkas di kediaman Ernie hanya dihadiri kaum keluarga rapat bagi mematuhi operasi standard yang ditetapkan sepanjang tempoh PKPP ini.
Selain menerima cincin pertunangan, Syamel turut menyerahkan tiga dulang hantaran berbalas lima daripada Ernie dan kedua-duanya kelihatan segak serta anggun dalam pakaian sedondon rona kelabu.
Hantaran lima dulang dari Ernie kepada Syamel. - Kredit foto: IG @duuurii_Walaupun tiada tarikh perkahwinan dibincangkan pada majlis pertunangan namun khabarnya Syamel tidak mahu bertunang lama dan kemungkinan akan ‘bersatu’ tahun hadapan (2021).
“Saya gementar juga apabila mengenangkan alam pertunangan ini banyak dugaan seperti yang sering diperkatakan. Saya akui perkara inilah yang amat ditakuti,” lapor Syamel.
Menurutnya, beliau tidak akan selalu berjumpa dengan Ernie walaupun sudah bergelar tunangnya tetapi akan membataskan pergaulan seperti mana sebelum ini walau pun sudah berkenalan selama tiga tahun sejak sama-sama menyertai program realiti ‘Duo Star’.
Begitu juga dengan Ernie yang tetap tidak mahu membahaskan lanjut kisah percintaan mereka selagi tidak sah bergelar isteri.
“Tidak manis untuk sentuh soal cinta, lebih baik saya tunggu selepas bernikah,” ujar Ernie kepada media.
Sebelum ini pun pasangan duet yang popular dengan lagu “ Aku Cinta”, “Takkan Terlerai’ ini bijak menjaga hubungan cinta mereka meski pun sering diajukan persoalan sama. Sesungguhnya, seperti judul kedua-dua lagu berkenaan, seolah menceritakan perjalanan ‘cinta’ mereka yang diharapkan takkan terlerai telah terbukti pada langkah pertama menyunting Ernie sebagai tunang.
“Alhamdulillah, saya gembira impian mahu menyunting Ernie sebagai bakal isteri akhirnya dimakbulkan. Kami merancang untuk kahwin tahun hadapan, apabila sudah pasti tentang tarikh majlis, Insya-Allah kami akan maklumkan,” akhiri Syamel bersama Ernie sambil mengharapkan doa agar segalanya dipermudahkan.
Terbaharu, lagu OST drama "Syurga Untukmu" berjudul 'Gundah' nyanyian Ernie Zakri mendapat tontonan melebihi 5 juta sejak disiarkan dalam YouTube terbitan Rocketfuel Network bermula 27 Mac 2020 lalu.Apa pun jom jengah video majlis pertunangan mereka yang disiarkan oleh saluran 'viral video' di bawah ini. Tahniah! - KitaReporters