JUNIOR Eldstal (6) dirangkul oleh pemain UAE dari belakang ketika cuba menyaingi bola di udara. - Kredit foto: FAM


BEK tengah Harimau Malaya, Junior Eldstal terpaksa melupakan perlawanan dengan Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua Kumpulan G pada Jumaat, 11 Jun 2021 ini gara-gara kecederaan tumit kirinya.

Pemain berdarah kacukan Sweden-Malaysia kelahiran Sabah itu ditimpa musibah tersebut selepas pasukan negara dibelasah 4-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 lalu.

Junior, 30, atau nama sebenarnya, Putera Nadher Amarhan Maderner, masuk sebagai pemain gantian setelah kapten, Aidil Zafuan Radzak dikeluarkan pada minit ke-70.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

JUNIOR Eldstal beraksi agak baik menentang UAE tetapi kini terpaksa diketepikan menentang Vietnam oleh Tan Cheng Hoe (kanan). - Kredit foto: FAM 


Sekalipun Harimau Malaya tunduk dengan dua gol Ali Ahmed Mabkhout dan Fabio Lima, Junior masih sempat menampan satu serangan UAE dengan tandukan kepala dalam kawasan penalti.

“Junior tidak boleh bersama kerana kecederaannya agak serius. Dia tidak mampu berjalan macam biasa. Selepas perlawanan itu, baru dia sedar dan rasa sakit pada tendon tumit kirinya,” kata Tan Cheng Hoe.

Berita buruk kehilangan benteng tegap setinggi 1.91 meter itu oleh disampaikan ketua jurulatih negara ini dalam sidang media secara maya dengan wartawan Malaysia, pada Ahad, 6 Jun 2021.

Ditanya sama ada Junior bakal sempat pulih sekiranya khidmatnya diperlukan dalam menentang Thailand pada 15 Jun 2021 ini, katanya, “pasukan perubatan kita masih berusaha untuk memulihkannya.”


DION Cools (kanan) gagal melakukan terjahan menghalang rembatan Ali Ahmed Mabkhout dan Fabio Lima pada penampilan sulungnya bersama Malaysia. - Kredit foto: FAM


Namun selain Aidil dan seorang lagi yang berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools dalam kesebelasan utama menentang UAE di posisi itu, Malaysia masih mempunyai beberapa lagi calon seperti Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Dominic Tan.

Adam dan Dominic tampil sebagai gantian ketika Malaysia dibelasah oleh Kuwait 4-1 di Stadium The Sevens, Dubai pada 23 Mei 2021, manakala Irfan membarisi kesebelasan utama menentang Bahrain (kalah 2-0).

Kedua-duanya ialah perlawanan persahabatan pada 23 dan 28 Mei 2021, masing-masing di Stadium The Sevens, Dubai dan Stadium Nasional Bahrain, Riffa.


ADAM Nor Azlin (kiri) dan Dominic Tan (dua dari kanan) tidak tersenarai menentang UAE tetapi mungkin nasib mereka berubah berdepan Vietnam. - Kredit foto: FAM


Mengenai penyerang naturalisasi Guilherme de Paula yang dikecam warganet kerana sumbangan terhadnya dalam menentang UAE, Cheng Hoe walau bagaimanapun masih meyakini kemampuannya.   

 “Saya rasa De Paula juga sedih dan kecewa dengan kekalahan besar kami. Hendak katakan dia tertekan, dia seorang pemain yang sudah berpengalaman lama dalam bola sepak dan pasti tahu bagaimana hendak mengatasinya.

“Dia juga perlu yakinkan diri untuk bangkit semula bagi perlawanan akan datang,” kata jurulatih kelahiran Kedah yang tidak kesampaian hajat ulang tahun kelahirannya ke-53 pada 30 Mei 2021 lalu untuk meraih keputusan positif, sekurang-kurangnya seri.


GUILHERME de Paula (kiri), bekas warga Brazil yang dikecam teruk oleh warganet kerana dianggap gagal mendapatkan jaringan. - Kredit foto: FAM


Sampai masanya bagi rombakan kesebelasan utama berdepan Naga Emas di Stadium Maktoum Rashid Al Maktoum, Dubai?

“Kami ada empat lima hari lagi untuk buat persiapan selain masih mengkaji faktor kekalahan itu malah masih mencari ramuan terbaik untuk menghadapi Vietnam.

“Pasti sekali apabila Indonesia menentang Vietnam, esok (Isnin, 7 Jun 2021) (di stadium sama), saya dan barisan penolong jurulatih akan menonton serta menganalisis persembahan Vietnam,” katanya.


PERTEMUAN Malaysia dan Vietnam (jersi merah) pada final Piala AFF 2018 di Stadium MyDinh, Hanoi. - Kredit foto: FAM


Malaysia hanya seri 2-2 (final pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil) dan masih belum menang dalam empat pertemuan terakhir dengan Vietnam yang dibimbing oleh Park Hang-seo dari Korea Selatan. Tertekan dengan rekod itu?

“Saya tidak melihatnya begitu sebaliknya satu cabaran untuk memburu keputusan yang positif dan sentiasa menjadi sasaran kami. Bukan lawan mudah tetapi kami perlu cari jalan untuk menewaskan mereka.

 “Ada strategi yang diusahakan. Kami tahu corak permainan mereka tidak banyak berubah dan cuma gandingan pemain yang berlainan. Walau apa pun rekod lalu, kami perlu fokus apabila menentang Vietnam,” katanya. 

Cheng Hoe juga beranggapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunjukkan keprihatinannya kepada pasukan kebangsaan menerusi hantaran-hantaran ulasan terbaharu dalam laman sosialnya.

Pemilik Johor Darul Ta’zim FC itu hairan mengapa begitu ramai pemain Harimau Selatan diserapkan ke dalam Harimau Malaya sekarang termasuk kalangan simpanan selain mengingatkan warganet yang mengecam kekalahan 4-0 bahawa UAE di ranking ke-73 dunia berbanding kita, 153. - KitaReporters


 

1
0
0
0
0

Copy Link: