Penyertaan FFM31 kini dibuka hingga 15 Julai! 22 kategori! Dijangka berlangsung Oktober 2021

Published by
KitaReporters


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuka secara rasminya penyertaan untuk filem-filem tempatan yang layak bertanding bagi 22 kategori yang telah ditetapkan bagi Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) bermula 15 Jun 2021 hingga 15 Julai 2021 pada jam 12 tengah hari.

Sebanyak 22 kategori yang dipertandingan meliputi Filem Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan, Pelakon Wanita Harapan, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Rekaan Busana Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik,,Tatarias Terbaik dan Poster Terbaik. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Finas


Menurut satu kenyataan daripada FINAS, penganjuran FFM31 yang dijangka berlangsung pada bulan Oktober 2021 depan membuka penyertaan kepada filem cereka tempatan yang dikeluarkan di Malaysia dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Filem-filem yang layak menyertai adalah yang mendapat kelulusan LPF bagi tahun 2018, 2019 dan 2020 untuk tayangan di pawagam Malaysia dalam format DCP/35mm/format digital dengan tempoh masa tayangan sekurang-kurangnya 60 minit. 

Selain itu, penyertaan juga dibuka kepada filem yang belum pernah menyertai siri Festival Filem Malaysia dan filem-filem yang ditayangkan pada tahun 2018, 2019 dan 2020 sahaja. 

Dalam pada itu, pengeluar filem hendaklah mempunyai Lesen Pengeluaran Filem dari FINAS, melainkan mereka yang dikecualikan di bawah Seksyen 34A Akta FINAS 1981 (salinan fotokopi lesen berkenaan hendaklah disertakan). 

Bagi syarikat yang telah memohon tetapi lesen masih belum diperoleh,  pemohon boleh berikan nombor rujukan fail FINAS yang berkenaan. 

Untuk butiran lanjut, syarat penyertaan dan muat turun borang penyertaan FFM31 ini boleh didapati menerusi pautan https://www.finas.gov.my/borang-penyertaan-ffm31-2/.


 


Sebarang pertanyaan juga boleh berhubung terus dengan Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian FFM31 menerusi talian 03-7968 2137/ 2110/1129 atau 012-9155220 (Norasikin Salikin) atau 011-23387665 (Mohd Farid Azlam) atau layangkan emel kepada penjurianffm31@finas.my.

Untuk rekod, FFM30 telah diadakan pada 30 Mac 2019 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dengan penyertaan 42 buah filem tempatan dipilih bertanding,

Daripada 42 filem itu, 25 dalam bahasa Melayu, 10 bahasa Cina termasuk dua Kantonis dan tujuh bahasa Tamil.


Penerbit filem 'One Two Jaga' Bront Palarae (empat kiri) bersama pengarah Namron (tiga kiri) bergambar kenangan bersama produksi filemnya selepas memenangi kategori Filem Terbaik dan 5 lagi kemenangan kategori lain pada FFM30 di PICC pada 2019. - Kredit foto: Bernama


Pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-30 itu, filem ‘Crossroads: One Two Jaga’ yang menghantar 9 pencalonan yang sama jumlah dengan ‘Dukun’, membawa pulang 6 anugerah kemenangan meliputi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Nam Ron), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Subuh),  Lakon Layar Terbaik (Amri Rohaiyat, Fared Ayam & Nam Ron), Cerita Asal Terbaik (Pitt Hanif, Muhammad Syafiq & Nam Ron) dan Poster Terbaik (Jazzy Pictures).

Seperti yang dijangka pelakon Umi Aida membawa pulang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM30 melalui lakonan mantapnya dalam ‘Dukun’ mengalahkan Maya Karin (Munafik 2), Diana Danielle (Gol & Gincu Vol 2), Sangeeta Krishnasamy (Rise: Ini Kalilah) dan Emily Lim  (Two Sisters). 

Filem manakah dan siapa pula agaknya yang bakal dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori sama tahun ini? 

Malam kemuncak FFM31 yang sepatutnya berlangsung  di Encore Melaka pada 18 April 2020 lalu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan COVID-19.

Semoga pandemik COVID-19 sudah dapat diputuskan menjelang Oktober 2021 ini bagi kita semua memeriahkan satu-satunya festival filem terunggul Malaysia ini. - KitaReporters


Umi Aida membawa pulang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM30 

0
0
0
0
0

Copy Link: