MAJLIS Olimpik Asia (OCA) nekad mengumumkan pembatalan Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia (AIMAG) Keenam yang dijadualkan di Bangkok dan Chonburi, Thailand dari 21 hingga 30 November 2024.

Surat rasmi kepada para ahli Lembaga Eksekutif dan jawatankuasa Olimpik negara-negara anggotanya pada 19 Ogos 2024 menyebut:

“Lembaga dalam mesyuarat tergemparnya secara dalam talian pada 15 Ogos 2024 sebulat suara mengambil keputusan membatalkan AIMAG (2024) kerana kekurangan belanjawan, infrastruktur dan keperluan-keperluan lain menurut kontrak negara tuan rumah (HCC).

“Lembaga ini telah memberikan Jawatankuasa Penganjur (AIMAG Thailand 2024) batas waktu sehingga 5 petang (waktu negara itu dan 6 petang waktu Malaysia) 19 Ogos 2024 untuk menjawab kemampuan mereka memenuhi syarat-syarat HCC,” lapor surat berkenaan.


RAJA Randhir Singh yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif OCA pada 15 Ogos 2024 yang memutuskan pembatalan AIMAG di Thailand, tiga bulan sebelum temasya pelbagai jenis sukan itu berlangsung. - Kredit foto: OCA


OCA ekoran keputusan ini menurut surat tersebut juga mengumumkan Riyadh, Arab Saudi sebagai tuan rumah AIMAG berikutnya pada 2026.

“Tarikh AIMAG Ketujuh, 2026 akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan dimaklumkan kepada semua yang berkenaan,” lapor surat itu yang memetik Pemangku Presiden OCA, Raja Randhir Singh.

Salinan surat berkenaan turut ditujukan kepada para presiden dan setiausaha agung persekutuan sukan antarabangsa dan Asia.


PEMENANG pingat emas bawah 84 kilogram Sukan Asia Hangzhou 2023, Arif Affifuddin Ab. Malik dari Malaysia (kanan) kempunan untuk menakluki gelanggang AIMAG 2024 di Thailand. - Kredit foto: MSN


Sementara itu, portal berita dalam talian Bangkok Post pada 19 Ogos 2024 melaporkan, Gabenor Lembaga Sukan Thailand (SAT), Dr. Gongsak Yodmani mengesahkan menerima e-mel segera daripada OCA berhubung pembatalan AIMAG 2024.

“OCA menyebut, ketiadaan dana penganjuran dan kesuntukan masa sebagai antara alasan pembatalan temasya pelbagai jenis sukan itu.

“OCA masih terbuka buat Thailand untuk menjadi tuan rumah AIMAG pada masa hadapan (namun) perlu memohonnya menurut prosedur biasa selepas Riyadh 2026,” katanya.


SILAT turut menawarkan prospek pingat terutama emas yang agak besar buat Malaysia namun terpaksa dilupakan ekoran pembatalan AIMAG 2024 oleh OCA. - Kredit foto: SHE


Media Thailand itu menambah, e-mel tersebut tiba ketika SAT mengadakan mesyuarat bagi membincangkan belanjawan temasya tersebut di ibu pejabatnya di Hua Mark, Bangkok pada 19 Ogos 2024.

Keputusan itu dikatakan diambil ekoran laporan perkembangan yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung OCA Ke-43 di Bangkok pada 11 Mei 2024 oleh jawatankuasa pengelola AIMAG Thailand yang berjanji kesemua keperluannya akan disediakan pada Julai 2024.

Terdapat sembilan syarat yang dikenakan kepada penganjur sebagai jaminan penganjurannya diteruskan, lapor media tersebut. 


BADMINTON turut menjadi antara 14 jenis yang mahu digugurkan Jawatankuasa Pengelola Thailand daripada AIMAG 2024. - Kredit foto: MOM


Dakwaan bahawa kerajaan Thailand kekurangan dana penganjuran AIMAG mulanya didedahkan oleh Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola pada minggu ketiga Ogos 2024.   

Katanya, keputusan negara itu menggugurkan 14 jenis sukan tiga bulan sebelum AIMAG 2024 turut mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan negara-negara Asia lain.

Sukan-sukan itu ialah badminton, besbol, biliard, sorak-sorai, lawan pedang, hoki dewan, bola jaring, akuatik renang dewan, olahraga dewan, mendayung dewan, menembak, bola tampar, angkat berat dan gusti.


ANGKAT berat dalam AIMAG 2024 pada mulanya dilaporkan mahu digugurkan kerana isu doping sukan itu di Thailand. - Kredit foto: MOM


AIMAG telah ditunda beberapa kali termasuk dek pandemik Covid-19 sejak 2021.  Tiga tarikh terdahulunya ialah 21 hingga 30 Mei 2021, 10 hingga 20 Mac 2022 dan 24 Februari hingga 6 Mac 2024.

Sebanyak 30 jenis sukan dijadualkan dipertanding di samping dua sukan pertunjukan dalam AIMAG 2024, manakala bagi sepak takraw sahaja, menawarkan sehingga sembilan pingat emas.  

Antara acaranya yang telah diluluskan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan dipersetujui OCA ialah regu berpasukan lelaki dan wanita, beregu campuran, beregu campuran berpasukan, regu campuran, kuadran campuran dan gelung campuran. - KitaReporters   


SEPAK takraw bakal kembali mengulangi perseteruan Malaysia (jersi hitam kuning) dan Thailand serta mencipta prospek banyak pingat namun lenyap dek pembatalan AIMAG oleh OCA. - Kredit foto: MSN


9
14
0
12
0

Copy Link: