DUA atlet pekak catur negara menerima hadiah insentif ASPN 2024 disampaikan oleh Tengku Ahmad Ismail Mua'dzam Shah di ibu kota. - Kredit foto: MSD


CATUR, olahraga, badminton dan futsal dijangkakan sebagai prospek pingat emas Malaysia pada Sukan Olimpik Orang Pekak (Deaflimpik) di Tokyo dari 15 hingga 26 November 2025 ini.

Malah Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mahukan keempat-empat sukan prospek itu mengatasi pencapaian dua pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa Deaflimpik di Caxias do Sul, Brazil pada 2021.

Kontinjen atlet pekak negara wajar merealisasikannya apatah lagi ekoran pengumuman suntikan dana sebanyak RM3 juta oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025 pada Oktober 2024 lalu.

“Dana ini penting dalam membiayai latihan sepenuh masa mereka secara meluas di luar negara sekali gus membantu mencipta lebih banyak kejayaan.

"Di Caxias do Sul, kontinjen Deaflimpik kita dapat dua pingat emas dan di Jepun, kita perlu tambah pingatnya (terutama) emas.

“Atlet yang layak ke Tokyo, sudah pun menjalani latihan pusat sejak 2024," kata Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn ketika Majlis Anugerah Sukan Pekak Negara (ASPN) 2024 di sebuah hotel di ibu negara pada 20 Februari 2025 lalu.



MOHD. Zaidi Awang (atas, dua dari kanan) dan Boon Wei Ying (bawah, dua dari kanan) muncul Olahragawan dan Olahragawati MSDeaf 2024 dalam Majlis ASPN. Kiri dan kanan ialah K. Nagulendran dan Ong Shin Ruenn. - Kredit foto: MSD


ASPN yang diadakan buat julung kali ini oleh MSDeaf ini menobatkan Mohd. Zaidi Awang dan Boon Wei Ying daripada boling dan badminton sebagai Olahragawan dan Olahragawati MSDeaf 2024.

Selain trofi, mereka turut menerima hadiah wang tunai RM3,000, yang dianugerahkan atas kejayaan mereka pada Sukan Orang Pekak Asia Pasifik Ke-10 di Kuala Lumpur pada 2024.   

Hadir menyampaikan anugerah berkenaan ialah Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad Ismail Mua'dzam Shah bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr. K. Nagulendran.

Majlis ASPN 2024 diadakan sebagai penghargaan buat semua atlet pekak negara dan pihak yang terlibat dalam memartabatkan sukan golongan kelainan upaya ini.

Kata Nagulendran, ASPN 2024 dijayakan dengan insentif khas kementerian sebanyak RM108,000 melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihaknya akan terus menghulurkan sokongan dalam persiapan kontinjen Malaysia ke Tokyo.


PASUKAN boling pekak negara turut menerima hadiah insentif kemenangan daripada Tengku Ahmad Ismail Mua'dzam Shah. - Kredit foto: MSD


Sementara itu Zaidi, 53, bertekad muncul antara penyumbang pingat emas negara sekali pun boling bukan dalam prospek di Tokyo memandangkan sukan itu sudah diceburinya sejak 1987 lagi.

"Saya gembira dan saya memang terkejut sebab tak sangka saya boleh dapat anugerah ini. Bagi Deaflimpik, saya mahu buat yang terbaik untuk menang pingat emas," katanya, dipetik daripada laporan media.

Shin Ruenn turut menaruh harapan terhadap kerajaan supaya dapat mengiktiraf sukan orang pekak seperti atlet normal dan para.

Terdapat dua lagi agenda pembabitan MSDeaf sepanjang 2025 iaitu Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) Ke-22 pada 25 hingga 31 Julai 2025 ini dan Sukan Orang Pekak Asia Tenggara Kedua di Jakarta dari 20 hingga 26 Ogos ini.


PASUKAN olahraga pekak negara juga menerima hadiah insentif kemenangan daripada Tengku Ahmad Ismail Mua'dzam Shah. - Kredit foto: MSD


KALENDAR 2025 MSDeaf begitu padat dengan tiga temasya besar tempatan dan antarabangsa khususnya Deaflimpik Tokyo yang paling mencabar. - Kredit foto: MSD

 

 

 

 

15
11
0
11
0

Copy Link: