Selamat Tahun Baharu Cina 2025! Cherry kekal tajam dan anjal! Quinna mahu cuba yang lebih baharu!

Published by
KitaReporters


QUINNA (kiri) dan Cherry Cheng ketika ditemu bual oleh KitaReporters sempena Gala Tayangan Perdana "Redemption" di sebuah pawagam di Bukit Jalil pada 13 Januari 2025 lalu.  


TAHUN Ular Tahun Baharu Cina (CNY) 2025 semacam satu mesej untuk sentiasa tajam dan anjal dalam setiap tindak-tanduk.

Bagi Cherry Cheng, tahun ini (2025) turut menganjurkan masyarakat Cina yang menyambutnya mengambil ciri positif daripada reptilia tersebut iaitu lancar dan bijak dalam mengharungi cabaran hidup.

Aktres “Redemption” ini memberikan pendapat mengenai sambutan CNY yang diraikannya serentak dengan filem usaha sama Malaysia-Hong Kong-China tersebut mula ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada 29 Januari 2025.   

“Dalam Tahun Ular, saya fikir perjalanannya akan menjadi lancar dan bijak untuk saya mengharungi cabaran hidup.

“Sejujurnya, Tahun Ular terasa seperti peringatan untuk kami kaum Cina sentiasa tajam dan fleksibel seperti mana tindak-tanduk ular,” katanya yang mendukung watak Xiao Qi dalam filem arahan dan lakonan utama Michael Chuah ini.


SEMPENA ketibaan Tahun Ular CNY 2025, Cherry Cheng (kiri) dan Quinna turut mengharapkan sambutan hangat buat "Redemption" mulai 29 Januari 2025. 


Pendatang baharu filem yang berusia 23 tahun ini berasal dari Ipoh, Perak dan memberitahu, dia dilahirkan dalam Tahun Kuda dalam kalendar masyarakat Cina. 

Cherry berlakon sebagai Xiao Qi, wanita cantik yang terpikat dengan rakan sekerja di sebuah hotel dan cuba diselamatkan oleh Jie (Michael Chuah) yang cuba berhenti daripada kehidupan silam sebagai pembunuh upahan.

Secara berseloroh CNY kata Cherry lagi, menjadi alasan yang tepat buatnya makan tanpa henti, berpakaian serba merah ‘menyala’ dan mengumpul semua angpau semampunya!

“Untuk perayaan, semuanya tentang makanan dan suasana keluarga serta makan malam reunionnya.

“Saya tidak sabar menikmati puding, mi dan semua makanan yang menjanjikan kemakmuran dan umur yang panjang,” katanya yang membuat penampilan sulung layar perak menerusi “Redemption” yang menelan kos pembikinan RM2.8 juta. 

Namun pada kebanyakan perayaan CNY, Cherry menyifatkannya inilah masa yang terbaik dan menyeronokkan bersama keluarga dan rakan.

“Ini semua tentang suasana yang baik, makanan yang enak dan cara menjadikan tahun ini yang terbaik,” kata lulusan psikologi Universiti Taylor’s di Bandar Sunway, Selangor ini.


CHERRY Cheng tidak sabar untuk meraikan CNY 2025 dengan sajian tradisional Cina yang lazat bersama keluarganya. 


Bagi Quinna, 30, pula, dia berharap rezeki yang besar dan kesudahan yang lebih baik berbanding yang terdahulu mengalu-alukannya dalam Tahun Ular CNY ini.  

“Walaupun tahun lepas 2024 saya percaya bahawa kita telah mengalami masa yang sangat sukar, saya berharap bahawa Tahun Baharu Ular, kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Mencapai kejayaan dan semuanya menjadi lebih baik,” kata pemegang watak Yun Hui ini iaitu kakak Xiao Qi yang menjadi mangsa culik dan bunuh sindiket samseng pemerdagangan manusia serta pemerasan ceti haram Ah Long dalam “Redemption”. 

Tahun Baharu Lunar 2025 ujar Quinna, dianggapnya satu temasya indah yang turut melambangkan harapan baharu, masa depan lebih gemilang dan mencuba perkara-perkara yang berbeza.

“Jika selama ini dan sepanjang tahun, semua orang pasti sibuk dengan haluan hidup masing-masing, CNY-lah masa yang hebat untuk bersama keluarga kembali.

“Apa lagi cara yang terbaik meluangkan masa meraikannya jika bukan secara bersama mereka?,” kata pemilik sebuah restoran ‘hot pot’ Cina di Seremban, Negeri Sembilan berwajah manis ini.

Quinna juga datang daripada sebuah keluarga yang besar iaitu sebagai anak kelima daripada tujuh beradik.

Tahun 2024 telah menyaksikan langkah sulung wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini menceburi layar perak dengan membintangi filem "Our Crazy Adventures".


QUINNA turut mengusahakan perniagaan makanan di Seremban selain menceburi karier lakonan. 


Filem “Redemption” yang majoriti wataknya berbahasa Mandarin dan Kantonis, turut mengundang bintang komedi filem Melayu yang terkenal dengan “Cicak Man 3”, "Bikers Kental" dan “Abang Long Fadil”, Zizan Razak yang mendukung satu watak kecil, Zaf, rakan karib Jie. - KitaReporters


CHERRY Cheng mengenakan busana tradisional Cina, ceongsam yang bukan sahaja cantik bahkan bijak dengan berkelulusan psikologi dari sebuah universiti swasta. - Kredit foto: CC


QUINNA dengan busana tradisional Cina, menjadikan Tahun Ular CNY 2025 untuk mencuba perkara-perkara yang lebih baharu dari tahun-tahun sebelumnya. - Kredit foto: QN 

15
11
0
14
0

Copy Link: