.


Tahun ini, nampak gayanya begitu ramai artis menghasilkan lagu raya, meminjam kata-kata Hael Husani dan Nadeera Zaini melalui judul lagu duet mereka, ‘Meriah Lain Macam’.

Memang meriah waima jika dibilang setekat ini sudah wujud banyak lagu raya yang kedengaran baik daripada artis lama mahu pun penyanyi baharu.

Selain Hael dan Nadeera. syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment menghidupkan suasana raya dengan menampilkan bukan hanya satu, bukan dua tetapi tiga lagu raya sekali gus yang dijamin akan membuatkan anda tidak  sabar untuk beraya.

Daripada melodi yang mencuit hati, lirik yang menghiburkan hingga ke tarian “comel” yang pasti menjadi tular, ketiga-tiga lagu ini bakal menjadi “playlist” utama musim perayaan tak lama lagi,

Meskipun belum dilancarkan secara rasmi dulu, “teaser” lagu ini sudah meraih lebih 5.3 juta tontonan serta lebih 5,000 ciptaan di TikTok!



Menyusuli ‘Meriah Lain Macam’ daripada Hael dan Nadeera yang mengisahkan gelagat pasangan suami isteri yang sibuk membuat persiapan pulang ke kampung untuk beraya – dengan segala kekecohan dan kelucuan, turut ditampilkan lagu “Nyam Nyam Ketupat” nyanyian empat artis - Wani Kayrie, Dinda Dania, Miss Alvy dan Zizan Razak.



Dan lagu raya ketiga ditampilkan pula “Dam Dim Dum Raya” oleh Nadeera Zaini yang sekali gus menandakan single solo raya pertamanya sebagai artis selepas mencipta gelombang besar pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) apabila lagu ‘Bukan Lagi Kita’ nyanyiannya dinobatkan sebagai Naib Juara,

Menariknya lagi, pemilik bernama penuh Farah Nadeera Zaini, 31, ini sendiri terlibat dalam proses penciptaan lagu  tersebut,  menjadikannya lebih bermakna buat dirinya dan peminat.

Lagu 'Dam Dim Dum Raya' menggambarkan detik akhir Ramadan dan keterujaan menyambut Syawal bersama keluarga dan sahabat, dengan melodi yang membangkitkan nostalgia serta lirik yang menyentuh hati.



“Saya rasa sangat bersyukur kerana berpeluang merakamkan bukan satu tetapi dua lagu raya pada tahun ini! Untuk lagu ‘Dam Dim Dum Raya’ saya mahu menampilkan sisi kreatif saya sebagai pencipta lagu dan memberikan sesuatu yang istimewa buat peminat,” kata Nadeera.

Bagi lagu “Meriah Lain Macam” yang turut dicipta oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh menambahkan lagi keterujaannya apatah lagi berpeluang  berduet dengan pencipta lagu itu sendiri, Hael Husaini.

“Bagi saya, suasana pulang ke kampung untuk beraya itu memang ada rasa meriah lain macam! Saya ingin mencipta lagu yang menggambarkan keterujaan itu, tetapi dalam masa yang sama menyerlahkan keseronokan dan cabaran yang datang dengan perjalanan pulang ke kampung. Saya berharap lagu ini dapat menghidupkan lagi ‘mood’ Raya kita semua,” kata Hael Husaini berhubung lagu berkenaan.



Selain gambaran pulang ke kampung, satu perkara yang dinanti-nantikan oleh semua setiap kali raya, sudah tentu makanan.  

Dan itulah tema utama lagu “Nyam Nyam Ketupat”, nyanyian Wani Kayrie, Dinda Dania, Miss Alvy dan Zizan Razak. 

Lain macam juga dapat dirasai pada lagu ‘“Nyam Nyam Ketupat”  waima apabila adanya Zizan Razak tentu ada terselitnya unsur humor.

“Kami bukan sahaja dapat menyanyi, tetapi juga menari dengan rutin tarian yang comel dan mudah diikuti. Paling kelakar apabila melihat Zizan Razak menari! Saya yakin ramai yang akan menyukai lagu ini dan ikut serta dalam “trend” tarian 'Nyam Nyam Ketupat' nanti,” kata Wani Kayrie mewakili rakan-rakannya. 

Dengan melodi yang “catchy”, lirik yang menghiburkan serta elemen ketupat sebagai ikon utama, lagu ini bukan sahaja akan menceriakan suasana, malah bakal menjadi kegemaran semua yang mendengarnya. - KitaReporters



15
13
0
14
0

Copy Link: