Malam pertama! Revolusi Harimau Malaya Cklamovski! Bertemu Nepal di SSI! Buru slot Piala Asia 2027!
Published bySTADIUM Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor milik Harimau Selatan 'dipinjam' Harimau Malaya untuk melayan Nepal dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada 25 Mac 2025 ini. - Kredit foto: FB TMJ
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menukar venue perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 yang dijadualkan pada 25 Mac 2025 ini antara Nepal dan Harimau Malaya ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.
Perlawanan ini sepatutnya
berlangsung di gelanggang Nepal atau digelar The Gorkhalis (Gurkha) namun
keputusan AFC ini menjadikan skuad negara kendalian jurulatih baharu dari
Australia, Peter Cklamovski mendapat kelebihan awal selaku tuan rumah dan
bertemankan ribuan ‘Pemain Ke-12nya’.
Pindaan venue perlawanan
kumpulan berkenaan telah dimaklum pada laman sesawang rasmi the-afc.com pada 19
Februari 2025 namun yang peliknya belum ada pengumuman rasmi oleh Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM).
Nepal sebelum ini sering menggunakan Stadium Dasharath, Tripureshwar, Kathmandu bagi melangsungkan perlawanan antarabangsa.
SAFAWI Rasid (11) menyumbangkan satu gol menerusi sepakan penalti terhadap Nepal di Bukit Jalil pada 2 Jun 2019. - Kredit foto: FAM
‘Kandang’ rasmi Harimau Malaya ialah Stadium Nasional, Bukit Jalil yang kali akhir menyaksikan skuad Pau Marti Vicente dari Sepanyol pada 20 Disember 2024 lalu, diikat oleh Singapura 0-0 di depan 31,127 hadirin, sekali gus gagal melepasi Kumpulan A ke separuh akhir Kejohanan ASEAN 2024-2025.
Walau bagaimanapun Stadium Sultan Ibrahim bukanlah asing yang kali akhir skuad negara pimpinan bek tengah, Dion Cools beraksi di situ dengan menewaskan Hong Kong 2-0 di situ dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 tanggal 28 Mac 2023 lalu.
Hanya 4,593 hadirin yang dicatat mendatangi ‘kandang’ Harimau Selatan atau Johor Darul Ta’zim (JDT) FC ketika itu sedangkan saiz muatan maksimumnya pada sesuatu masa mampu mencecah 40,000 orang.
PETER Cklamovski yang pernah menjadi penolong pengurus Australia muncul juara Piala Asia AFC 2015. - Kredit foto: FAM
Menentang Nepal turut akan menjadi aksi malam pertama Cklamovski dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Robert Douglas Friend dari Kanada termasuk Pengarah Prestasi Tinggi, Dr. Craig Duncan, juga warga Australia, yang sering dicanangkan sebagai ‘Revolusi Harimau Malaya 2025’.
Sehingga kini juga FAM belum memaklumkan apakah terdapat satu perlawanan pemanas badan Tim Peter menjelang menentang Nepal berdasarkan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kutipan mata ranking dunianya berjalan dari 17 hingga 25 Mac 2025.
Pindaan venue ini juga meletakkan Malaysia pula yang akan bertandang ke Nepal pada 9 Oktober 2025 di bawah format pertandingan timbal balik dengan hanya juara keenam-enam kumpulan kelayakan akhir atau pusingan ketiga ini, bakal ke pusingan akhir di Arab Saudi pada 2027.
DARREN Lok (9) dua kali membolosi gawang Nepal dalam perlawanan latihan di Stadium UiTM, Shah Alam pada 15 Mac 2024 lalu. - Kredit foto: FAM
Kali akhir pertemuan mereka dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 tanggal 2 Jun 2019 lalu menyaksikan Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil hasil jaringan Safawi Rasid dan Shahrul Saad.
Perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor pada 15 Mac 2024 lalu yang menyebelahi Malaysia 5-1 tidak dikira dalam kalendar FIFA kerana berlangsung secara tertutup dan selama 140 minit dalam empat babak.
Dua gol Darren Lok selain satu daripada Stuart Wilkin, Daniel Sang Ting dan Mukhairi Ajmal Mahadi melengkapkan pesta gol terhadap Nepal dalam perlawanan latihan itu di bawah kendalian Kim Pan-gon dari Korea Selatan.
Dua lagi pasukan yang merintangi Harimau Malaya yang di ranking ke-132 dunia selain Nepal (ke-175) dalam Kumpulan F kelayakan ini ialah juara Kejohanan ASEAN 2024-2025, Vietnam (ke-114) dan Laos (ke-186). - KitaReporters
STUART Wilkin (8) turut menembusi gol Si Gurkha dalam perlawanan latihan di Shah Alam yang juga pemanas badan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman. - Kredit foto: FAM