Selamat datang Hai-O! Jurulatih tempatan tim Revolusi Harimau Malaya! Dikeliling otai Socceroos!
Published byHAIRUDDIN Omar. - Kredit foto: PFAM
BEREDARNYA E. Elavarasan, masuk pula Hairuddin Omar. Turut dijuluki Hai-O, bekas penyerang kebangsaan ini dilaporkan menjadi tenaga tempatan dalam barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya.
Anak jati Setiu, Terengganu ini menyertai barisan pimpinan warga Australia, Peter Cklamovski itu yang juga sebahagian Revolusi Harimau Malaya oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak 16 Disember 2024 lalu.
HAI-O (kiri) ketika bersama Bojan Hodak mengendalikan B-19 Malaysia. - Kredit foto: FAM
Hai-O turut masyhur dengan jaringan tandukannya yang mengatasi bekas bek tengah England, John Terry biarpun Malaysia dikalahkan Chelsea 4-1 dalam Piala Asia Liga Perdana tanggal 25 Julai 2003 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mantan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) ini turut mengumpul 54 penampilan senior antarabangsa dan menyumbat 13 gol skuad negara dari 2000 hingga 2009 selain membantu memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 bersama tim Bawah 23 Tahun (B-23).
Hairuddin, 46, turut pernah bergelar penolong jurulatih skuad Bawah 19 Tahun negara kendalian Bojan Hodak dari 2018 hingga 2019, manakala arena Liga Malaysia pernahmenyaksikannya menyarung jersi Terengganu, Pahang, T-Team, Negeri Sembilan, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
E. Elavarasan. - Kredit foto: FAM
Khidmat Elavarasan tidak lagi disambung oleh FAM serentak dengan pemergian pengendali dari Sepanyol, Pau Marti Vicente sebaik sahaja Malaysia mengakhiri Kejohanan ASEAN dengan kegagalan ke separuh akhir pada 20 Disember 2024 lalu setelah diikat Singapura 0-0 dalam Kumpulan A.
Seperti Ela (julukannya), seorang jurulatih tempatan turut diperlukan bagi mana-mana ketua jurulatih import dalam menyalurkan maklumat dan mengenal pasti pemain-pemain Liga Malaysia untuk dipanggil ke kem latihan pusat pasukan negara.
DARI kiri, John Crawley, Matt Smith, Seiya Imazaki, Mark Milligan dan Craig Duncan pada sidang media di Wisma FAM yang turut dihadiri Peter Cklamovski dan Robert Friend. - Kredit foto: FAM
Sumber Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, Peter, 47, turut akan dibantu oleh seorang lagi penolong jurulatih, Matt Smith dan jurulatih penjaga gol, John Crawley manakala Seiya Imazaki sebagai juruanalisis prestasi.
FAM pada 21 Februari 2025 lalu telah pun mengumumkan bekas kapten Australia yang juga anggota Socceroos juara Piala Asia 2015 serta berpengalaman bermain empat Piala Dunia 2006, 2010, 2014 dan 2018, Mark Milligan sebagai penolong ketua jurulatih Harimau Malaya.
Kecuali Hai-O, wajah baharu barisan kejurulatihan Harimau Malaya hanya diperlihat pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 13 Mac 2025 berhubung perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Nepal.
PETER Cklamovski (kanan) dan Robert Friend dalam sidang media di Wisma FAM yang mengumumkan senarai 27 pemain Harimau Malaya ke kem latihan pusat di Johor Bahru menjelang menentang Nepal, 25 Mac 2025. - Kredit foto: FAM
Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-132 dunia, akan melayan Gorkhalis (Si Gurkha, ke-175) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025, manakala dua lagi lawan ialah Vietnam (ke-114) dan Laos (ke-186).
Tim Revolusi ini pada 30 Disember 2024 dan 2 Januari 2025 lalu telah diumumkan turut disertai Robert Friend dan Dr. Craig Duncan masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Prestasi Tinggi.
Jika dibandingkan ketika Harimau Malaya dikendalikan oleh Pau mahupun warga Korea Selatan, Kim Pan-gon dari 2022 hingga 2024, masih terdapat kekosongan jawatan jurulatih kecergasan dalam barisan Peter kali ini. - KitaReporters
INFO tiket-tiket perlawanan Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Malaysia-Nepal di SSI. - Kredit foto: FAM