Video| Wawancara khas! Harapan Zizan! Tembusi audiens Cina, pasaran Hong Kong! Redemption merintis!
Published by.
POSTER "Redemption", sebuah filem aksi dan jenayah usaha sama syarikat penerbit Malaysia, Hong Kong dan China. - Kredit foto: MC
KITAREPORTERS berpeluang menghadiri Gala Tayangan Perdana filem aksi usaha sama Malaysia dan Hong Kong serta China berjudul “Redemption” (Penebusan) yang bakal menemui para penonton di pawagam pada 29 Januari 2025.
Turut membintangi filem dengan kos pembikinan RM2.8 juta arahan dan lakonan Michael
Chuah ini ialah pelakon komedi handalan negara, Zizan Razak selain Mimi Chu, Tian
Long dan Cherry Cheng serta Quinna.
Filem ini mengisahkan seorang bekas pembunuh upahan
dan pengawal peribadi, Jie yang cuba meninggalkan dunia ganas itu dan hidup
aman seperti orang normal dengan bekerja di sebuah hotel.
Namun disebabkan prihatin dengan jiran dan rakan
sekerja seorang gadis jelita, Xiao Qi yang cuba menyelesaikan hutang Ah Long (ceti haram), Jie terjebak dalam konflik dengan sebuah sindiket jenayah pemerdagangan manusia yang berbahaya.
Kebanyakan dialog filem menggunakan bahasa Cina (Mandarin dan Kantonis) serta sedikit Inggeris dan
hanya Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak, 41, bertutur dalam
bahasa Melayu.
Juga hadir memeriahkan tayangan perdana “Redemption” pada 13 Januari 2025 di sebuah pawagam di pusat beli-belah di Bukit Jalil ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman.
ZIZAN Razak (kiri) dan Michael Chuah, bintang utama dan sutradara "Redemption".
KITAREPORTERS (KR) sempat berwawancara dengan bintang siri filem pecah panggung “Polis Evo” dan “Abang Long Fadil” ini berhubung perkembangan karier dan ulasannya mengenai “Redemption” serta trend terkini peminat ke pawagam.
KR: Ceritakan perkembangan terkini karier lakonan saudara?
ZR: Selepas ini ada perbincangan bagi penggambaran beberapa
filem pada tahun ini (2025). Tajuknya belum diputuskan tetapi sudah jumpa dan bentangkan
idea. Kita tunggulah dan doalah semoga jadi. Ada satu movie, “Police Evo 4”
mungkin menjalani penggambaran di luar negara. Masih komedi aksi genre yang
sama.
KR: Pernahkah saudara terlintas hati untuk mencuba genre drama berat?
ZR: Pernah berlakon drama berat. Selepas itu (perkembangannya)
senyap begitu sahaja. Kadangkala orang tengok kalau saya berlakon, gelak ketawa
juga kan. Sekali orang layan, orang tak jangka itu jadi. Itu mungkin cabaran
bagi saya dalam membawa (wataknya).
Saya boleh hilangkan karakter komedi tetapi persepsi orang
yang tidak boleh sebab memang tengok saya, mereka hendak seronok dan tengok lawak.
Tapi saya okey sahaja sebab saya hendak meyakinkan dengan pembuka cerita, kelakar
kemudian tengah itu meyakinkan sendiri jalan cerita macam “Polis Evo”. Orang
tengok sampai habis bukan lawak semata-mata.
KR: Kebanyakan pengarah tidak begitu tertarik untuk bawa saudara ke genre bukan komedi?
ZR: Kalau pada saya, dalam bentuk bisnes kita sudah
tahu fungsinya begini, kenapa dia hendak buang masa untuk buat orang rasa macam
alamak, “apa fasal Zizan ini jadi serius pula cerita ini?” Benda ini tidak
salah (sebab) bagi orang seronok. Kalau saya buat serius boleh sahaja, tetapi
kalau orang tak nak beli tiket macam mana?
Orang dah keluar duit bukan? Jadi apabila sudah keluar duit, mesti hendak yang terbaik jadi jangan pilih benda-benda yang sukar, baik pilih benda yang sahih terus dan orang seronok beli tiket.
Tapi kalau orang tawar saya (watak serius), sudah itu tugas saya, saya buat sahaja. Macam “Polis Evo”, ada adegan sedih dan marah, bukan sepanjang masa lawak, bukan?
ZIZAN Razak (kanan) berada di karpet merah Gala Tayangan Perdana "Redemption" ketika diperkenal kepada para peminat bersama-sama Michael Chuah (tiga dari kanan), Cherry Cheng dan Quinna (dua dan tiga dari kiri) selain Mimi Chu (dua dari kanan).
ZIZAN Razak diapit pelakon wanita "Redemption", Quinna (kiri yang mendukung watak Yun Hui) dan Cherry Cheng (Xiao Qi) sebelum Tayangan Perdananya di pawagam di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil.
KR: Apa pandangan saudara tentang faktor kehadiran orang ramai ke panggung yang seperti sudah menurun? Apakah kerana cita rasa mereka hanya terarah dan terpilih kepada komedi, seram atau bagaimana?
ZR: Benda ini subjektif. Kalau cerita itu bagus, bukan genre orang hendak pun, sedih ke macam cerita Thailand fasal maknya mati itu, kita pun pergi (pawagam). Sebelum ini movie ikut platform OTT (penstriman atas talian), cerita-cerita suami isteri “Ipar Adalah Maut” meletup juga yang bukan genre biasa. Jadi ceritanya bagus, skrip, plot dan pengarah bercerita dengan baik. Genre itu bukanlah pilihan macam komedi, aksi dan seram tapi tiba-tiba genrenya percintaan dan cerita itu bagus, orang datang juga.
Ada juga cerita yang bagus, bila dah habis di panggung baru orang sedar dan tengok balik dan banyak juga cerita di panggung tidak meletup tapi apabila masuk platform OTT, duduk ranking nombor satu dan dua itu mengejutkan juga. Memang sukar diramal benda ini.
Kadang-kadang cerita yang bagus tidak dapat pemasaran yang bagus. Itu pun sayang. Covid-19 yang membawa impak besar (kehadiran penonton ke pawagam) sudah lima tahun. Orang duduk rumah tengok OTT dan telefon pintar, hendak pergi wayang tu kejap ya kejap tidak. Pergi (panggung) pun fasal tular. Apabila tak viral, tak pergi. Jadi memang tim pemasaran movie kena buat kerja keras jugalah dan mainkan peranan dalam media sosial.
Bagi saya, berbeza menonton wayang di rumah dengan menonton wayang di pawagam. Ini satu acara atau peristiwa yang kena buat macam antara makan malam di rumah dan makan malam di luar. Ke pawagam kita kena cari parkir, bawa anak-anak, awal-awal bersiap dan bersolat terlebih dulu. Dekat movie itu kita jumpa orang yang tidak kenal, dengan sistem bunyi yang besar malah fokus dekat wayang berbeza. Kalau kita tak tengok wayang (di pawagam), kita ketinggalan, macam itulah.
SATU adegan lucu diadun aksi oleh Zizan Razak (tengah) dan Michael Chuah (kanan) dalam "Redemption". - Kredit foto: MC
KR: Berbalik kepada “Redemption” yang mirip “Abang Long Fadil” - aksi ala Hong Kong dan usaha sama Malaysia-Hong Kong-China, bagaimana saudara boleh menjalin kerjasama dengan penerbitnya?
ZR: Mungkin profil saya di Malaysia dan hasil kerja di
sini, mereka selidik dan panggil saya. Apabila ditawarkan dan dibentangkan
watak (Zaf) itu, saya rasa saya okey. Tidak banyak adegan tetapi kehadiran saya itu
memberikan impak, insya-Allah.
KR: Difahamkan saudara belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina di Dungun, Terengganu dulu, jadi boleh bertutur bahasanya dengan fasih?
ZR: Tidak boleh. Sebab saya sekolah menengah Cina,
kalau orang pandai cakap bahasa Cina mesti dari sekolah rendah lagi dan terus masuk
menengah lagi pandai. Semasa kelas Bahasa Mandarin dan Moral, saya kena masuk
kelas Pendidikan Agama Islam. Yang pelajar Melayu sudah pandai Bahasa Mandarin,
kekal kelasnya.
Skrip saya bahasa Melayu 100 peratus (dalam “Redemption”), mereka (pelakon lain) berbahasa Cina. Saya sahaja Melayu.
KR: Adakah saudara berasa, “Redemption” mampu membawa Zizan Razak menembusi pasaran
filem Hong Kong pula atau melangkaui sempadan audiens Melayu dan Cina atau bukan
Melayu pada masa hadapan?
ZR: Saya rasa kena buat sesuatu untuk mereka pandang. Buat masa ini apa yang saya ada sahajalah. Untuk aksi pun yang sedia ada, kami buat. Kalau hendak ke sana (pasaran Hong Kong dan audiens Cina, perlukan) sesuatu yang mereka tiada.
Bertarung ini Hong Kong, China mereka cukup hebatlah. Yang dapat pecahkan (dominasi) bertarung dalam movie dunia ini macam Tony Jaa (Thailand), Bruce Lee, Jackie Chan (Hong Kong), Yayan Ruhian dan Iko Uwais (Indonesia). Dari Malaysia kita kena buat benda-benda lainlah supaya mereka pandang kita.
Babak-babak bertarung “Redemption” saya buat sendiri, yang asas-asas sahaja. Tiada kecederaan, tidak susah dan tidak teruk sangat pun, saya macam otai (berpengalaman), bertarung-tarung, tumbang. Semuanya bagus.
KR: Soalan akhir, saudara asalnya daripada program TV, "Raja Lawak", “Maharaja Lawak” seterusnya “Maharaja Lawak Mega”. Masih relevankah program pertandingan bakat baharu lawak realiti sebegitu atau lawak-lawak pesertanya sudah basi?
ZR: Isi lawaknya ‘lah yang kena padu. Lawak ini masih relevan sepanjang masa. Kalau saya cakap tidak, ramai yang cari makan di situ tetapi masih kena bekerja keras. Mereka (para pelawak) yang kena relevankan dan menaikkan rating program. - KitaReporters
HANYA adegan membabitkan Zizan Razak (kiri, watak Zaf) yang berdialog bahasa Melayu dalam "Redemption" manakala selebihnya berbahasa Mandarin dan Kantonis serta sedikit Inggeris. - Kredit foto: MC