Gila Hindustan| Mumtaz tolak lamaran Shammi Kapoor! Syarat sukar tidak berlakon! Sedang cipta nama!
Published byAKTRES jelita Mumtaz, 76, masih muda belia iaitu berusia 17 tahun ketika aktor popular, Shammi Kapoor meluahkan hasrat hati melamarnya untuk dijadikan teman hidup. Mereka pernah bersama membintangi filem Brahmachari keluaran 1968.
Ketika itu Mumtaz, nama penuhnya Mumtaz Askari, merupakan pelakon pembantu. Heroin Brahmachari ialah Rajshree.
Namun filem itu membenihkan cinta Shammi Kapoor terhadap Mumtaz.
Lagi isah-kisah menarik berkaitan cerita-cerita dari Bollywood
MUMTAZ dahulu dan kini. - Kredit foto: India.com
Dalam satu temu bual flashback baru-baru ini, Mumtaz mengakui bahawa Shammi tanpa berselindung berterus terang mahu mengahwininya.
Anak kepada pasangan Abdul Saleem Askari dan Shadi Habib Agha itu mengaku dia juga menyukai Shammi. Namun ketika itu usianya masih terlalu muda untuk berkahwin dan sedang mencipta nama di Bollywood.
Selain itu syarat yang dikenakan oleh Shammi berat untuk diterima oleh Mumtaz dan keluarga. Shammi mahu apabila berkahwin Mumtaz meninggalkan terus dunia seni, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Ini sejajar dengan peraturan dalam keluarga Kapoor ketika itu di mana anak atau menantu perempuan tidak dibenar bergiat dalam seni.
Kerana itu aktres Babita berundur ketika sedang popular apabila berkahwin dengan dengan aktor Randhir Kapoor, anak Raj Kapoor. Aktres Neetu Singh berhenti berlakon apabila berkahwin dengan ‘Bobby’ Rishi Kapoor.
Sekarang peraturan ini sudah tidak dipatuhi. Kerana itu Karisma Kapoor dan Kareena Kapoor misalnya bebas berlakon, malah menjadi pelakon terkenal. Kedua-duanya ialah anak Randhir Kapoor dan Babita.
Syarat seperti itu sukar diterima ketika Mumtaz sedang mencipta nama dan masih belum puas bergelumang dalam seni. Dia juga ingin mengecap kecemerlangan seperti Shammi juga. Dia mahu meningkatkan diri daripada pelakon pembantu kepada heroin.
Akhirnya cinta mereka menemui nokhtah. Mumtaz terus gemilang di Bollywood, membintangi banyak filem hebat, berpasangan dengan kebanyakan hero popular ketika itu seperti Dev Anand, Rajesh Khanna, Dharmendra, Shashi Kapoor, Jeetendra, Sanjay, Ferooz Khan dan lain-lain.
Sewaktu muncul dalam Brahmachari, Mumtaz ialah pelakon pembantu filem Gred A. Dia masih belum mencapai taraf menjadi heroin ketika itu, ditambah dengan usianya yang masih muda. Dari tahun 1958 hingga 1964, Mumtaz hanya muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem.
Muncul pertama kali pada layar perak sebagai pelakon kecil melalui Shanskar (1958), Mumtaz berpeluang menjadi heroin antara 1964 hingga 1968. Bagaimanapun ia adalah bagi filem Gred B, kebanyakannya berganding dengan pelakon Dara Singh. Mereka muncul dalam 10 buah filem.
Selepas 1968 dan selepas kemunculan dalam Brahmachari, barulah Mumtaz berpeluang muncul dalam filem Gred A sebagai pelakon pembantu. Namun banyak filem lakonannya pecah panggung seperti Kaajal, Khandaan, Sawan Ki Ghata, Hamraz, Mere Sanam, Suraj, Pathar Ke Sanam, Ram Aur Syam dan Brahmachari.
Kemunculan Mumtaz bersama Shammi dalam Brahmachari dianggap istimewa kerana dia diberi kepercayaan menyanyi duet lagu utama bersama Shammi melalui lagu Aajkal Tere Mere Pyar Ke Charche (Mohd Rafi dan Suman Kalyanpur), sesuatu yang jarang diberi kepada pelakon pembantu.
Wajahnya yang jelita dan gerak tubuhnya menari sangat mengagumkan. Sememangnya Mumtaz adalah penari yang hebat bukan sahaja dalam filem tetapi di luar filem. Gerak tarinya natural seperti dapat disaksikan dalam banyak filem lakonannya.
Filem Brahmachari dianggap filem yang menjulang nama Mumtaz dan ‘melepaskan’ dirinya daripada kategori pelakon pembantu filem Gred A kepada heroin filem Grade A. Para pengarah mula bertumpu kepadanya untuk memberi tawaran berlakon.
Lebih kurang pada waktu sama, Rajesh Khanna adalah pelakon baru yang juga sedang berusaha menempa nama. Selepas filem pecah panggung Aradhana yang membariskan Rajesh Khanna dan Sharmila Tagore ditayangkan pada 1969, nama Rajesh Khanna meletup menjadi superstar.
Bagai dijanji, Mumtaz yang telah menduduki hiraki heroin, terpilih bergandingan dengan Rajesh Khanna dalam dua filem, Do Raaste dan Bandhan, kedua-duanya keluaran tahun 1969.
Ternyata mereka mempunyai chemistry yang sangat baik dan dianggap pasangan ideal di layar perak. Selepas itu mereka membintangi banyak filem pecah panggung seperti Dushman, Apna Desh, Roti, Sachaa Jhuta, Prem Kahani dan lain-lain. Nama Mumtaz terus gemilang, muncul sebagai pelakon menerima bayaran paling tinggi antara 1970-1976.
Dia digosipkan mempungai hubungan cinta dengan Jeetendara. Mereka sungguh mesra apabila berlakon dalam beberapa filem seperti Maa Aur Mamta, Himmat, Jigri Dost, Humjoli dan Roop Tera Mastana. Namun cinta ini tidak kesampaian, seperti cinta dengan Shammi Kapoor.
Akhirnya Mumtaz berkahwin dengan ahli perniagaan, Mayur Madhvani pada 1974. Mereka dikurniakan dua orang anak, Tanya dan Natasha Madhvani.
Natasha berkahwin dengan aktor Fardeen Khan, anak aktor Ferooz Khan, pada 2005. Pasangan ini mempunyai dua anak, Diani Isabella Khan dan Azarius Fardeen Khan. - KitaReporters