Video| Lain malaikat, saya tidak! Zul Ariffin ngaku salah! Muat naik kandungan jelik! Bayar RM30k!
Published byPelakon popular, Zul Ariffin (Zulkifli Ariffin), 35, membayar RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada Selasa, 4 Oktober 2022 atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang atau jelik dalam media sosial pada Mac 2022 lalu.
Zul Ariffin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Video| Panas! Lucah? Zul Ariffin padam video! Promosi drama bersiri Perempuan Itu! Teguran pedas!
Mengikut kertas pertuduhan, Zul Ariffin dengan menggunakan Instagram 'zul_ariffin' secara sedar membuat dan memulakan penghantara video yang bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 18 Mac 2022.
Video itu kemudian dilihat pasukan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Mac 2022.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.
Seksyen 233 (3) AKMM 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan jika disabitkan kesalahan.
Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Timbalan Pendakwa MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin, sementara Zul Ariffin diwakili peguam, P Sivaran dan M Saresh.
Terdahulu, Saresh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang minimum memandangkan dia menanggung dua ahli keluarga iaitu bapa berusia 74 tahun serta seorang kakak berusia 48 tahun. Selain itu, ia kesalahan berkenaan adalah kali pertama dilakukan oleh anak guamnya.
Menurut Saresh, anak guam juga sudah mengaku bersalah selain kesal dengan tindakan memuat naik video berkenaan dan insiden itu secara langsung memberi kesan mental kepada diri anak guam serta keluarganya.
Selain itu, katanya anak guamnya adalah seorang pelakon yang banyak menyumbang kepada industri seni negara selain memenangi beberapa anugerah.
Bagaimanapun, Fazril Sani dalam hujahannya meminta tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan agar menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang sama selain mencerminkan ketelusan Parlimen dan undang-undang dalam menguatkuasakan Seksyen 233 AKMM 1998.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM30,000 dan dipenjara 9 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda. Zul Ariffin membayar denda tersebut.
Pada 18 Mac 2022, Zul memuat naik babak ghairah dalam drama lakonannya, ‘Perempuan Itu’ dalam akaun Instagramnya.
Video memperlihat Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan yang dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.
Bercakap kepada media kemudian, Zul berkata biarlah dirinya sahaja yang mengaku bersalah serta menyifatkan orang lain seperti ‘malaikat’ namun tidak dirinya.
Zul berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan susulan terhadap pihak dipercayai memintanya memuat naik video itu.
“Tiada tindakan sebab orang lain yang terbabit semuanya ‘malaikat’, saya seorang saja tidak. Jadi, saya sajalah yang mengaku bersalah. Tidak mengapa,” katanya.
Menurut Zul lagi, apa yang berlaku pada dirinya dapat dijadikan pengajaran kepada pelakon lain sebelum memuat naik sebarang promosi untuk setiap karya terbaharu.
“Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana termasuk pelakon.
“Kalau disuruh muat naik apa-apa kandungan, tidak perlulah beriya-iya sangat. Betul tak? Kalau disuruh juga untuk tujuan promosi, tolong berhati-hati dan jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar ‘selfie’ pun sudah memadai. Tak rugi apa pun,” katanya.
Dalam pada itu, Zul berkata, dia mengaku bersalah kerana tidak mahu memanjangkan kes berkenaan serta enggan membazir masa mana-mana pihak.
Zul Ariffin berterima kasih kehadiran Gayatri memberi sokongan
Tambahnya, dia meluahkan rasa syukur dan terharu menerima sokongan daripada rakan-rakan.
Kelibat penerbit Astro Shaw, Gayatri Su-lin Pillai di Kompleks Mahkamah Sesyen Sepang mencuri perhatian apabila hadir menemani pelakon, Zul Ariffin yang merupakan teman tapi mesranya (BFF) sejak sekian lama.
Gayatri memakai blazer putih, sementara Zul memakai sut kelabu gelap tiba pada jam 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam, dan diiringi peguam.
Ketika prosiding dijalankan sekitar jam 9 pagi, Gayatri turut berada di dalam bilik Mahkamah Sesyen Jenayah 2 bagi mendengar perbicaraan yang berlangsung kira-kira sejam.
Malah, sebaik selesai prosiding, Gayatri dilihat berbual dengan Zul di luar bilik mahkamah terbabit bersama peguam sebelum penerbit itu beredar.
/
Akibat tindakan Zul memuat naik video itu menyebabkan pihak TV3 mengantung tayangan drama bersiri 30 episod ‘Perempuan Itu’ terbitan Erma Fatimah yang sepatut ditayang sepanjang bulan Ramadan 2022.
Selain Zul dan Siti Hariesa, drama arahan dua pengarah ini turut dilakon oleh Mimi Lana, Eman Manan, Amar Asyraf, Amir Ahnaf dan Erysha Emirates. Ia juga kemunculan pertama ahli perniagaan parfum sensasi, Iqbal Zulkefli. - KitaReporters