Jom join Geng Ta'alim! Lima selebriti kongsi kisah hijrah! Bersama Ustaz Don Daniyal! 5 Sept 2022!
Published byDari kiri: Nadirah, Ustaz Don dan Dharma Nasution.
Lima selebriti dan seorang pendakwah bebas terkenal, Ustaz Don Daniyal membentuk ‘Geng Ta’alim’, sebuah program dakwah yang menyelit kandungan-kandungan yang dekat dengan jiwa raga setiap manusia.
Barisan selebriti yang sudah berhijrah ke arah kebaikan tersebut terdiri daripada Saharul Ridzwan, Ashraf Muslim, Amar Asyraf, Zaf V.E. dan Nabil Ahmad.
Mereka bakal berkongsi pengalaman dan kisah penghijrahan masing-masing bersama Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 37, melalui program terbaharu Astro Oasis (106), menerusi 10 episod bermula 5 September 2022 ini, setiap Isnin, jam 7,30 malam.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ustaz Don Daniyal
“Geng Ta’alim menyelami kisah penghijrahan selebriti-selebriti berkenaan sambil berkongsi pandangan Islam dengan tema-tema yang berguna kepada setiap rakyat seperti solat, ilmu keagamaan di kalangan kanak-kanak dan juga berkaitan Al-Quran dan Maulidur Rasul,” ujar Nadirah Karim Pengurus Saluran Astro Oasis pada majlis pelancaran program “Geng Ta’alim” di Muzium Kesenian Islam Malaysia pada Selasa, 30 Ogos 2022.
Turut hadir Ustaz Don Daniyal selaku hos program, penerbitnya, Dharma Nasution dan pengarahnya Irsyad Shafiqi. Bagaimana tiada seorang pun daripada lima barisan artis terlibat hadir atas sebab masing-masing mempunyai komitmen lain.
Pengacara majlis, Anas Tahir (kiri) melontarkan beberapa soalan kepada Nazirah, Ustaz Don dan Dharma Nasution pada sidang media 'Geng Ta'alim'.
Menurut Nadirah, program terbitan Celebrate TV itu membawa tema dan pengajaran yang berbeza mengikut kisah selebriti terbabit untuk dijadikan panduan hidup kepada orang ramai berdasarkan kalam Allah SWT yang disanjung tinggi.
“Setiap manusia mempunyai kisah yang boleh memberi inspirasi kepada orang ramai dan wajar dijadikan sebagai teladan, apatah lagi apabila ia datang daripada seseorang yang mempunyai pengikut yang ramai,” tambah Nadirah sambil memberitahu program turut menyantuni penglibatan kira-kira 70 orang pelajar Tahfiz dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, Madrasah Tahfiz Mafatihul Ulum, dan Maahad Tahfiz Dhiya Ulislah.
Selain itu, jelas beliau, program turut melibatkan gabungan seramai 333 orang jemaah masjid dan kariah yang secara langsung dan tidak langsung dirakam ketika penggambaran pada waktu zohor dan asar.
'Geng Ta’alim ini juga mampu memberikan galakan kepada masyarakat untuk menghidupkan kembali budaya Ta’alim seawal dari rumah.
"Aktiviti perkongsian ilmu seperti ini dapat mendidik institusi keluarga dan masyarakat untuk terus berdakwah, menimba ilmu, berkongsi pendapat dan pengalaman, serta memastikan hubungan silaturahim sesama ahli menjadi lebih erat dan utuh hanya kerana Allah,” ujar pengarah Irsyad Syafiqi (gambar bawah).
Selaku pengarah, Irsyad akui berdepan dengan cabaran dalam penerbitan ‘Geng Ta’alim’ khususnya ketika pada fasa pemilihan hadis.
“Kami perlu memastikan isi kandungan program ini sesuai dan dapat memenuhi keperluan jiwa dan gaya hidup segenap lapisan masyarakat moden hari ini. Melalui Geng Ta’alim ini, penonton akan mendapati bahawa perkongsian hadis dan kalam Allah dari Al-Quran sememangnya terbukti relevan dan patut dijadikan contoh serta rujukan sebagai panduan hidup,” jelas Irsyad.
Berkongsi lanjut, Irsyad memberitahu, hanya terdapat satu episod sahaja yang melibatkan jemaah wanita seramai 30 orang yang dirakam di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.
Episod ‘Semangat Juang di Kalangan Wanita’ itu diserikan dengan penampilan pelakon filem tanah air, Ashraf Muslim.
Irsyad percaya dengan penampilam Ustaz Don Daniyal sebagai hos, ‘Geng Ta’alim’ akan membawa impak yang besar apatah lagi pendakwah popular itu akan berkongdi ilmu-ilmu yang sah menerusi hadis-hadis serta cara penyampaian yang santai.
“Pasti ini akan menarik perhatian ramai yang gemarkan inti pati ceramah-ceramah Ustaz Don,” tambah Irsyad.
Sementara itu, berkongsi pengalamannya mengendalikan lima artis terbabit yang jarang ditemui kecuali Nabil Ahmad yang sering bersamanya dalam program-program TV, Ustaz Don meluahkan rasa terujanya dapat menyelami setiap kisah para artis terbabit.
“Ini juga pertama kali saya berhadapan dengan situasi di mana apabila seorang ‘arits’ itu tidak kelihatan pada waktu yang sepatutnya, saya gelabah seketika bagaimana mahu meneruskan penggambaran. Tetapi kebijaksanaan pengarah mengisi waktu tersebut dengan terlebih dahulu menjalankan penggambaran pada babak lain memang saya tabik kerana kita tidak membuang masa,” cerita Ustaz Don tanpa memberikan nama siapa artis terbabit namun bersetuju dengan pandangan Nazirah bahawa sesiapa sahaja yang menonton setiap episod yang ada pasti akan membuka mata dan hati mereka untuk menjadi lebih baik dan berjiwa cemerlang.
Dalam perkembangan lain, Ustaz Don mengesyorkan agar satu garis panduan dibuat untuk umat Islam ketika menonton sesebuah konsert.
“Menonton konsert bukan satu dosa. Dan kita tidak boleh melarang penganjuran konsert kerana ia antara punca pendapatan golongan artis malah dengan adanya konsert oleh artis antarabangsa ia turut merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara,” ulasnya terhadap isu membantah penganjuran konsert artis antarabangsa di Malaysia oleh seorang pendakwah bebas baru-baru ini.
Sebagai sebuah negara majmuk katanya, kita harus berfikiran rasional tanpa mengetepikan mana-mana kaum, agama dan sensitiviti. - KitaReporters
Salah sebuah babak penggambaran membabitkan Ustaz Don dan Shahrul Ridzwan. Kredit Foto: @celebratetv.