Keluarga Malaysia: Hebat Kelab Sukarelawan Hospital Kajang! Masak bubur lambuk untuk bersedekah!
Published bySukarelawan dan kakitangan Hospital Kajang bergading bahu menyediakan bahan untuk memasak bubur lambuk.
KOMITMEN sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja kebajikan seharusnya menjadi contoh yang baik terutama apabila mereka itu dalam kalangan bekas kakitangan kerajaan dan swasta yang sudah bersara.
Dalam keadaan usia yang sewajarnya sesuai untuk berehat namun mereka tetap bersemangat menabur bakti untuk masyarakat seperti menyertai aktiviti komuniti apabila diminta memberi kerjasama serta tenaga sokongan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti sukarelawan
Dr Abdul Ghani turut turun padang untuk menyertai gotong-royong memasak bubur lambuk bersama-sama sukarelawan hospital berkenaan.
Pengarah
Hospital Mesra Ibadah, Hospital Kajang, Selangor, Dr Abdul Ghani Abdul Jalil,
berkata sikap sedemikian perlu dipraktikkan khusus kakitangan di hospital
berkenaan kerana mampu menyemai budaya sihat dalam menyantuni masyarakat.
Menurutnya,
dalam sibuk melaksanakan tugas seharian seharusnya sentiasa memiliki sikap
bertoleransi dengan sesiapa sahaja, memberi layanan baik, mengukir senyuman dan
sebagainya demi menzahirkan perkhidmatan terbaik yang sebahagian sedekah.
“Dalam
bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya mengambil keberkatan dengan melakukan
tugas penuh bertanggungjawab serta memudahkan urusan mereka yang memerlukan
khidmat kita pada setiap hari,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong
Bubur Lambuk Ziarah Perdana di Lobi Taska Hospital Kajang, 15 April 2022 lalu.
Program memasak tiga periuk besar untuk menghasilkan lebih 1,500 bungkus bubur lambuk itu turut disertai 20 ahli Kelab Sukarelawan Hospital Kajang yang diketuai pengerusinya, Ithnin Jufpri, serta kakitangan dari pelbagai jabatan. Turut hadir Timbalan Pengarah hospital berkenaan, Dr Mardiah Masharuddin.
Dr Mardiah (kanan) dan Dr Abdul Ghani (lima dari kanan) bersama-sama sukarelawan Hospital Kajang memasak bubur lambuk dalam Program Gotong-Royong Bubur Lambuk Ziarah Perdana pada 15 April 2022 lalu.
Dr Abdul Ghani berkata, program itu yang menjadi acara tahunan NGO berkenaan bukan setakat mengimarahkan Ramadan malah membudayakan konsep bersedekah selain mengeratkan hubungan ukhwah dalam kalangan kakitangan dengan sukarelawan terbabit.
“Bagi sesetengah sukarelawan ini, ada antara mereka yang pernah berkhidmat dengan hospital itu yang sudah pasti tidak dikenali kakitangan baharu dan dalam program sebegini peluang untuk mereka bertanya khabar di samping menimba ilmu.
“Ketepikan sikap pentingkan diri sendiri sebaliknya bersikap terbuka dengan menghormati mereka yang memiliki banyak pengalaman bagi membantu melahirkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti untuk masyarakat,” katanya.
Sukawelawan dan kakitangan Hospital Kajang berkerjasama membungkus bubur lambuk yang siap dimasak untuk diagihkan kepada pesakit, orang awam dan pusat jagaan.
Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Kajang yang juga penyelaras program itu, Mohamad Fauzi Pilus, berkata program berkenaan merupakan tahun kesembilan diadakan dengan mendapat kerjasama dari kelab NGO terbabit.
Menurutnya, ahli NGO itu sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam program berkenaan khusus bagi menyantuni pesakit , orang awam serta warga emas di pusat jagaan untuk menerima agihan bubur lambuk berkenaan.
“Bagi pesakit dalam wad apabila ada orang datang menziarah akan memberi suntikan motivasi kepada mereka untuk kembali ceria jika sebelum ini hanya terlantar di atas katil berseorangan.
“Program ini bagi sesetengah orang hanya perkara biasa tetapi mempunyai hikmah disebaliknya yang bukan setakat mengeratkan uhkuwah mereka yang terbabit tetapi juga mewujudkan suasana seronok dan gembira di hati pesakit apabila disantuni,” katanya.
Ithnin (dua dari kanan) mengetuai sukarelawan Hospital Kajang memasak gulai daging dan bubur lambuk untuk Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, Selangor.
Ithnin pula
berkata, sebaik sahaja menyertai program di hospital berkenaan, ahli NGO itu
pula diminta oleh pihak pengurusan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Beranang untuk
mengikuti gotong-royong memasak bubur lambuk dan gulai daging di pusat
berkenaan.
“Bubur lumbak dan gulai daging ini selain menjadi juadah berbuka warga emas di pusat berkenaan turut diagihkan kepada penduduk sekitar dan pusat jagaan warga emas lain yang berdekatan,” katanya. - KitaReporters
Dr Abdul Ghani melakukan gimik penyerahan bubur lambuk untuk diagihkan kepada penghuni di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor.