SEMUA kejadian yang berlaku ditakdirkan Allah S.A.W. dan tentulah ia mempunyai hikmah tersendiri khusus bagi mereka yang terlibat. Bagaimanapun biasanya masyarakat setempat dan sekitaran akan memberi simpati terutama kalangan yang berkemampuan maupun agensi kerajaan bertanggung jawab. : KitaReporters

Muhamad Firman Shah dan adiknya (gambar kiri) diberikan kata-kara peransang dan semangat oleh Ketua Unit Khidmat Kebajikan PBMaINS MAINS, Mohd Zahir Mohammad . (Gambar kanan) Muhammad Firman Shah menerima sumbangan bantuan makanan asas dan wang tunai daripada Mohd Zahir semasa program kunjung ziarah ke rumah mereka di Taman Gadung Jaya, Labu, Negeri Sembilan. - Kredit foto: Abu Aaesya.


Beginilah dengan apa yang terjadi ke atas dua adik beradik di Labu, Negeri Sembilan yang terpaksa tinggal di rumah sewa mereka dan mengurus diri sendiri dalam berbagai hal termasuk memasak, mengemas serta membersihkan kediaman. 

Ini berikutan ibu mereka terkandas di negara jiran Indonesia sejak berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan sesiapa keluar masuk antara kedua-dua negara

Ibu mereka pergi ke negara tetangga itu untuk mendapatkan rawatan tradisonal atas masalah kesihatan yang dihidapi. Manakala bapa kedua remaja ini  difahamkan tidak dapat dikesan sejak sekian lama.

Muhamad Firman Shah Rosli,16, dan adiknya Muhamad Aidil Rosli,12, terpaksa tinggal sendirian menguruskan kehidupan harian mereka di rumah sewa terletak di Taman Gadong Jaya, Labu, Negeri Sembilan. 

"Kadang-kadang makan minum kami, jiran-jiran yang masakkan dan ada masanya cikgu turut membantu menyediakannya," kata Firman yang belajar di Tingkat 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sendayan, Labu. 

Muhamad Firman Shah (kanan) mendengar dengan penuh perhatian nasihat yang disampaikan oleh Mohd Zahir Mohammad semasa kunjungan program ziarah ke rumahnya. - Kredit foto: Abu Aaesya. 


Perkara ini didedahkannya kepada rombongan pegawai Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMaINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada Program Ziarah Syawal baru-baru ini dan dipaparkan dalam media sosial perbadanan berkenaan.

Pada kunjungan itu, dua beradik tersebut diberikan sumbangan bantuan makanan asas dan wang tunai oleh Ketua Unit Khidmat Kebajikan PBMaINS MAINS, Mohd Zahir Mohammad.

Hadir sama pada program ziarah itu termasuklah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Gadong Jaya (SKGJ), Rosliza Yaakub; Guru Pendidikan Islam SKGJ dan para pegawai Skaud Belo Asnaf PBMaINS MAINS.

Mohd Zahir Mohammad memberi motivasi kepada kedua-dua beradik Muhamad Firman Shah dan adiknya Muhamad Aidil pada Program Ziarah perbadanan itu. - Kredit foto: Abu Aaesya.


Berikutan keadaan yang dihadapi dua beradik itu, rumah sewa didiami mereka sekarang tertunggak tiga bulan bayaran sewa.

Tuan punya rumah sewa berkenaan semasa dihubungi pegawai PBMaINS MAINS menyatakan bayaran sewa tertunggak itu tidak perlu dijelaskan oleh kedua-dua beradik itu kerana memahami keadaan yang berlaku.

Malahan melalui rundingan dengan PBMaINS MAINS, tuan rumah berkenaan bermurah hati tidak mengenakan bayaran sewa bagi bulan Mac, April dan Mei yang tertunggak.

Bagaimanapun bayaran sewaan bagi Jun dan Julai akan dibantu pihak PBMaINS MAINS.

Masyarakat setempat dan orang ramai yang bersimpati dan ingin membantu boleh berjumpa atau hubungi Rosliza Yaakub dan juga boleh datang sendiri ke rumah dua beradik berkenaan di Taman Gadung Jaya, Labu. - KitaReporters


Para pegawai PBMaINS MAINS bersama Skaud Belo Asnaf yang berkunjung ke rumah sewa Muhamad Firman Shah Rosli dan adiknya Muhamad Aidil diberi penerangan oleh Pengerusi, PIBG Sekolah Kebangsaan Gadung Jaya, Rosliza Yaakub (dua dari kanan) mengenai kehidupan mereka sejak ibu kedua-duanya terkandas di Indonesia. - Kredit foto: Abu Aaesya

0
0
1
0
0

Copy Link: