Salam Baitullah 2020! Ubati rindu tak dapat tunaikan haji!
Published byUMUM pun sudah maklum kan bahawa ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia ke Tanah Suci bagi musim Haji 1441 Hijrah/2020 Masihi tahun ini ditangguhkan setelah mengambil kira situasi penularan wabak koronovirus COVID-19 demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat. - KitaReporters
Sehubungan itu, sudah pasti bakal-bakal haji yang sepatutnya menunaikan rukun Islam ke-5 tahun ini rasa kecewa, namun perlu reda dengan aturan yang ditentukan Allah.
DIA yang Maha Mengetahui….
Pun begitu, jangan kecewa, apa kata ikuti siaran langsung ‘Salam Baitullah Khas (Wukuf)' pada 30 Julai ini, pukul 6 hingga 7 malam dan seterusnya jam 9 hingga 10 malam melalui kaca TV1 RTM.
Salam Baitullah Khas (Wukuf) merupakan antara pengisian kepada siaran program ‘Salam Baitullah 2020 Edisi ke-12’ yang sudah pun bermula siarannya pada 18 Julai 2020 lalu dan akan terus bersiaran sehingga 1 Ogos 2020 ini.
Memastikan jenama ‘Salam Baitullah’ kekal sebagai program terbaik musim haji RTM, konsep berbeza digarap oleh pasukan penerbitan di studio dengan pengisian yang memaparkan elemen baru, dilengkapkan dengan pengisian istimewa.
Justeru, program “Salam Baitullah 2020 Edisi ke-12” membuktikan komitmen Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberikan liputan dan menyalurkan maklumat terkini sepanjang perjalanan musim haji di Arab Saudi, meskipun dalam suasana tiada pergerakan petugas dan jemaah negara ke Tanah Suci tahun ini.
Gambar hiasan. - Kredit FB Salam Baitullah.Mengangkat tema ‘Salam Baitullah, Suatu Kerinduan’, program 15 episod tersebut yang disiarkan secara langsung selama sejam bermula pukul 9 malam mengetengahkan tujuh segmen bersama-sama pengacara di studio iaitu Ustaz Muhammad Hafiz Haneefa dan Ustaz Azman Syah serta Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud selaku pengacara segmen.
Tujuh segmen yang diperkenalkan meliputi 'Bersama Panel di Studio', 'Ibrah Haji', 'Khabar Tanah Suci', 'Bacaan Ayat Suci Al-Quran', 'Rehlah Haramain', 'Cinta Haramain' dan 'Kuiz Harian & Terkumpul'.'Belum Sampai Seru' antara tajuk yang dibincangkan di program 'Salam Baitullah' pada Ahad, 19 Julai 2020.
Dalam segmen ‘Bersama Panel di Studio’, yang memperincikan pengajaran haji berdasarkan situasi semasa dan kesesuaian tajuk, penonton berpeluang bersama beberapa tetamu jemputan antaranya seperti Ustaz Haji Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri); Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, Datuk Kazim Elias, Ustaz Aidil Azwal Zainudin, Prof Datuk Dr Izhar Ariff, Ustaz Syed Mohd Norhisham, Ustaz Farid Ravi, Ustaz Harryanto Rizal, Ustaz Muhammad Rozie Mohd Rejab, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Datuk Dr Hafizah Musa, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Akram Ikrami dan Ustazah Asma Harun.
Wah! Hebat-hebat kesemua nama panel yang dijemput penerbitnya, Mohammed Shahril Sarapudin ini.
Seterusnya, program yang diberi elemen suntikan segar turut memperkenalkan segmen ‘Ibrah Haji’, berkonsepkan grafik tentang fakta berkaitan musim haji oleh Ustaz Hariri Mohd Daud.
Segmen ‘Khabar Tanah Suci’ pula mempersembahkan laporan tentang perkembangan semasa di Tanah Suci di mana bekas wartawan dan petugas haji dari tahun 2011 hingga 2019 diundang ke studio secara bergilir-gilir mengendalikan segmen ini.
Turut disiarkan sesi temu bual tetamu secara sidang video bersama rakyat atau pelajar Malaysia yang menetap di Mekah dan Madinah berkongsi pengalaman dan suasana haji di sana, malah penonton juga berpeluang menyaksikan visual keadaan semasa di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah serta lokasi di Arafah ketika Wukuf.
Melaui segmen ‘Bacaan Ayat Suci Al-Quran’ pula selingan bacaan Al-Quran disampaikan oleh Farhatul Fairuzah, Juara Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019, manakala segmen ‘Rehlah Haramain’ memaparkan kapsul ringkas lokasi bersejarah di Mekah dan Madinah bagi memberi informasi kepada bakal jemaah haji.
Diikuti segmen ‘Cinta Haramain’, pasukan penerbitan dibantu wartawan RTM di setiap negeri turut menemu bual bekas jemaah bagi berkongsi pengalaman serta kerinduan mereka terhadap Baitullah.
Menariknya penonton boleh menyertai segmen ‘Kuiz Harian dan Terkumpul’ di mana Olive House selaku penaja utama menawarkan hadiah sebanyak RM10,000 berupa Sijil Simpanan Premium Tabung Haji kepada pemenang tempat pertama Kuiz Terkumpul dan RM5,000 berupa Sijil Simpanan Premium Tabung Haji kepada pemenang tempat kedua.
Bagi Kuiz Harian pula, tiga pemenang bagi kategori penonton TV dan lima pemenang bagi kategori Media Sosial akan menerima hadiah barangan Olive House bernilai RM200 sepanjang 15 episod program bersiaran.
Untuk lebih interaktif dan memaksimumkan keterlibatan para penonton, soalan juga dibuka melalui Whatsapp, Facebook, Instagram dan Twitter ‘Salam Baitullah’.
Dalam pada itu, jika anda terlepas menontonnya, jangan risau sebab di saluran sama, ikuti siaran ulangannya setiap hari mulai 19 Julai hingga 2 Ogos depan, pukul 3 hingga 4 petang.
Lebih mudah jika ada rekorder, rekod je jadi boleh menontonnya mengikut kesesuaian masa, tak gitu? - KitaReporters