DALAM kita masih melawan pandemik COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu, penyanyi rock terkenal, Dato Awie tampil pula dengan ’10 Tips Tipu Bini’. Serius ke? Adakah ini termasuk dalam norma baharu menjelang tahun baharu 2021 akan datang? Sila jawab Awie sebelum dikecam bini-bini? : KitaReporters


Awie bersama pengarahnya, Azizi 'Chunk' Adnan (tengah), Joey Daud (tiga dari kiri), Nadia Mustafar (tiga dari kanan) dan Elizabeth Tan (kanan) serta barisan pelakon wanita lainnya di majlis sidang media yang berlangsung di MATIC, Kuala Lumpur pada 29 Disember 2020.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Awie:

https://kitareporters.com/search?search=awie


“Tidak dinafikan semua lelaki berkeluarga mahu lebih daripada satu cuma ada ke tidak keberanian dan kemampuan itu yang menjadi persoalan. Umpama teka-teki dailog P. Ramlee situasi begini berlaku banyak-banyak, sikit-sikit, jarang-jarang dan kadang-kadang, “ jawab pemilik bernama penuh Dato Ahmad Azhar Othman memberikan bayangan.

Pun begitu, kata Awie selaku penerbit  dan juga pelakon ’10 Tips Tipu Bini’ apa yang ingin disampaikan melalui filem TV (telefilem/telemovie) sulong di bawah penerbitan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd miliknya bukan bermaksud dia menggalakkan suami menipu isteri waima isu seperti ini nampak susah untuk dibincangkan tetapi lebih kepada mesej yang ingin disampaikan.



“Walau pun hakikatnya ini terjadi tetapi buat kaum wanita, ia mungkin boleh dijadikan rujukan dan membuka mata mereka manakala buat kaum lelaki ia boleh dijadikan sebagai ikthibar dan kesan jika tiada kejujuran dalam sesebuah hubungan,” tambah Awie ketika ditemui pada majlis sidang media mengumumkan filem TV bergenre komedi ini akan membuka tirai Astro First bagi tahun 2021 melalui saluran 480 mulai 7 Januari 2021.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC pada Selasa, 29 Disember 2020 turut diserikan dengan kehadiran pengarahnya, Azizi ’Chunk’ Adnan serta barisan artis seperti antaranya Jehan Miskin, Joey Daud, Nadia Mustafar serta Elizabeth Tan, manakala yang tidak hadir tetapi turut terlibat dalam himpunan artis-artis hebat berkenaan terdiri daripada Nasir Bilal Khan, Khir Rahman, Ropie, Vicha, Atu Zero, Azlee Senario dan ramai lagi.

“Ini sebuah komedi ringan. Kita bagi tips bagaimana nak tipu bini dan berjaya. Tapi jangan salah faham bukan saya yang bagi tetapi ‘Brother Love’,” ujar Awie yang memegang watak Brother Love dalam filem hasil skrip oleh Armada Al Haq itu.




Berborak dengan Awie memang tidak bosan, walaupun nampak serius tetapi memiliki sisi kelakar yang menjadikan beliau seorang artis versatil dan disegani. 

Katanya, sungguh pun ditayangkan filem begini, seseorang isteri itu hebat sebab dia mempunyai ‘instinct’ yang kuat sehingga apa yang terfikir dek suaminya itu akhirnya tidak kesampaian.

“Jadi jangan tipu isteri,” ujar Awie ketawa.

“Sebenarnya saya tidak mahu berlakon sebab nanti orang kata saya tamak apatah lagi filem terbitan syarikat sendiri tetapi bila fikirkan kita nak menjayakannya kita gunakanlah pengaruh apa yang ada seperti followers dan sebagainya,” ujar Awie sambil memberitahu lakonannya dalam filem tersebut sedikit sahaja.





Ringkasnya, filem berdurasi 104 minit ini mengisahkan tentang 3 sahabat baik (Raffi, Kay dan Jepp) yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di sebuah syarikat pengiklanan yang terkenal di Kuala Lumpur bernama Grand Poyo Advertising & Events kepunyaan Dato Dean. 

Boleh dikatakan mereka merupakan pekerja yang dedikasi dan mempunyai idea-idea menarik dan hebat. Namun begitu perkara sebaliknya, bila mereka berada di rumah, mereka adalah seorang suami yang terlalu takut dengan isteri masing-masing. 

Pun begitu, mereka mempunyai kelab motor berkuasa besar Harley Davidson diberi nama ’Dubuk Liar'. Dan disebabkan mereka bertiga ini boleh dikatakan sedang mengalami masalah ’Krisis Pertengahan Usia” yang sering melanda para suami seangkatan itu, terbit niat untuk melakukan sesuatu tetapi dalam keadaan takut-takut.

Segalanya berubah dengan kehadiran 3 orang gadis ’intern’ (pelatih) yang cantik dan muda bekerja di syarikat mereka. 

Sehubungan itulah mereka mula berangan dan memasang niat nakal untuk memikat tiga orang gadis tersebut untuk dijadikan kekasih masing-masing. Akan tetapi mereka bermasalah dengan kerenah isteri-isteri di rumah. 



Pelbagai penipuan ’kiri dan kanan’ direka demi melaksanakan niat-niat mereka itu waima ’10 Tips Tipu Bini’  menjadikan filem ini tidak lekang dengan babak mencuit hati, jadi dengan melanggan Astro First pada harga RM15, anda boleh menontonnya berulang-ulang kali selama dua hari berturut-turut sehingga puas gelak gitu.

Turut diiringi dengan OST yang digarap sepenuhnya oleh Dato’ Awie iaitu ’Sang Kekasih' dan juga ’Dubuk Liar’, kedua-dua lagu tersebut dinyanyikan oleh kumpulan rock legenda tanah air, Wings.

Bercerita lanjut, Awie yang aktif dalam penerbitan filem khabarnya bakal membawa sebuah lagi filem komedi berjudul ‘Hantu Korea Sesat di Taiping’ malah sudah pun mempunyai beberapa perancangan lain antaranya seperti membuka Sekolah Rock serta menganjurkan Anugerah Rock.


Foto throwback Awie bersama anak-anak ketika berkahwin dengan Sharifah Ladyana pada tahun 2016.


“Apa pun, naskhah sulong ini ini ibarat rezeki Allah nak bagi kepada saya sebagai pembuka tirai tahun depan, saya pun tak sangka aturan yang Allah rancangkan di mana keluarnya filem ini pada bulan Januari tahun hadapan, akan keluar juga bayi dalam bulan yang sama, jadi saya amat bersyukur,” akhiri Awie yang dalam usia 52 tahun bakal dikurniakan cahaya mata yang keenamnya hasil perkahwinan kali ketiganya bersama Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin yang dikahwininya pada tahun 2016.

Sebelum ini, hasil perkahwinan pertamanya bersama Arni Nazira pada 1998, selama 8 tahun, beliau dikurniakan dua orang anak perempuan, manakala bersama Rozana Misbun yang dinikahinya pada 2006 tetapi tidak lagi tinggal sebumbung sejak 2014, Awie dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu dua putera dan seorang puteri. - KitaReporters


11
1
0
0
1

Copy Link: