TANGGAL 10 Oktober setiap tahun ialah Hari Kesihatan Mental Sedunia dan tinjauan terbaru dari Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menunjukkan COVID-19 mempengaruhi kesihatan mental satu daripada dua orang. Keadaan ini sungguh-sungguh membimbangkan. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan kesihatan mental:

https://kitareporters.com/search?search=mental


Separuh daripada semua responden - 51 peratus - dalam satu tinjauan yang melibatkan tujuh negara mengatakan bahawa pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka, menurut tinjauan yang dibuat oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC). 

Dalam laporan baru, "Keperluan terbesar adalah untuk didengari: Pentingnya kesihatan mental dan sokongan psikososial semasa COVID-19," Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menunjukkan bagaimana pandemik ini menambahkan tahap tekanan dan penderitaan yang luar biasa kepada masyarakat di seluruh dunia. 

Wabak ini memburukkan keadaan kesihatan mental yang sedia ada, mencetuskan  masalah yang baru, seterusnya menyebabkan akses ke perkhidmatan kesihatan mental semakin sukar. 


Laporan tersebut menekankan kepentingan memasukkan aspek kesihatan mental dan sokongan psikososial berserta tambahan peruntukan khusus baginya dalam segala tindakan bantuan kemanusiaan.

"Krisis kesihatan COVID-19 telah memburukkan lagi tekanan psikologi berjuta-juta orang yang berada dalam situasi konflik dan bencana. Sekatan pergerakan, hilangnya interaksi sosial, dan tekanan ekonomi semuanya mempengaruhi kesihatan mental dan akses kepada rawatan, "kata Robert Mardini, ketua pengarah ICRC. 

"Kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal, terutama dalam situasi krisis, ketika keperluan kesihatan mental menjadi sangat penting," tambahnya.


Laporan itu juga menekankan keperluan kesihatan mental yang mendesak bagi mereka yang berada di barisan hadapan pandemik, antaranya kakitangan perubatan, sukarelawan, pekerja komuniti, pekerja sosial, pengurus jenazah, pemimpin masyarakat dan ramai lagi. 

Hampir tiga dari empat responden tinjauan ICRC - 73 peratus - mengatakan bahawa pekerja kesihatan barisan hadapan dan   responder pertama (first responder) lebih memerlukan sokongan kesihatan mental berbanding dengan yang lain. 

Mereka sering terdedah kepada bahaya COVID-19, bekerja berjam-jam lamanya, dan  sering terpaksa mengalami  keadaanyang tertekan dan stigma ketika memberi bantuan kepada komuniti yang dilanda bencana. 

Mereka memerlukan akses kepada sokongan dan penjagaan kesihatan mental bagi memastikan mereka dapat terus menjaga orang lain dengan sewajarnya.


"Program kesihatan mental adalah beberapa intervensi paling murah dalam  tindakan bantuan kemanusiaan, tetapi program seperti ini sangat penting dalam  menyelamatkan nyawa dan mampu memberi impak yang tidak ternilai kepada mereka yang memerlukannya" kata Jagan Chapagain, Ketua Setiausaha Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC). 

"Sekarang lebih dari sebelumnya kita mesti melabur lebih banyak dalam perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial untuk semua orang - komuniti dan pihak berwajib - untuk membantu orang mengatasi tekanandan membina semula kehidupan mereka supaya mereka dapat mengatasi krisis ini," jelas beliau.


Cadangan-cadangan dari Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah untuk kerajaan, pembuat dasar, penyokong dan pengamal kesihatan mental dan sokongan psikososial merangkumi: 

  • Memastikan akses awal dan berterusan ke perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial bagi orang yang terjejas akibat pandemik
  • Mengintegrasikan kesihatan mental dan sokongan psikososial dalam semua  jenis tindakan dalam menangani segala keperluan yang timbul kerana pandemik tersebut
  • Mengutamakan perlindungan kesihatan mental dan kesejahteraan kakitangan dan sukarelawan yang terlibat dalam  tindakan bantuan kemanusiaan menangani pandemik tersebut

“COVID-19 memberikan satu peluang bersejarah untuk mengubah komitmen menjadi tindakan. Kegagalan untuk melakukannya akan memanjangkan krisis - dari segi ekonomi, sosial, dan kesihatan," kata Mardini. 


Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah adalah rangkaian pergerakan kemanusiaan terbesar di dunia, yang terdiri daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (International Committee of the Red Cross, ICRC), Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies, IFRC) dan 192 Persatuan kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah. - KitaReporters

0
0
0
0
1

Copy Link: