Azman Mohd Yusof (tengah) bersama Jean Lau (kanan) dan LY (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama legenda-legenda rockers 'Semangat Zaman'.


Lapan legenda rock, satu malam di atas satu pentas konsert yang dinamakan “Semangat Zaman’. Siapa  otai-otai legenda rock itu?

Mereka tidak lain terdiri daripada penyanyi rockers yang bergabung dalam album ‘Semangat Zaman 1 & 2’, yang diterbitkan pada 2004 dan 2005 iaitu Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Muss (May), Rahmad (Mega) dan Joey BPR manakala  seorang lagi Rahim Maarof yang dikhabarkan masih tidak sihat akan digantikan oleh Bandi (Amuk) sementara Shamrin (Fotograf) telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 2010.

“Sebenarnya, Rahim Maarof  adalah artis pertama yang bersetuju untuk turut serta  tetapi akhirya tidak dapat bersama kerana masalah kesihatan,” ujar komposer LY atau nama sebenarnya Rozman Shafie ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Semangat Zaman yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof di Kota Permai Golf & Country Kelab baru-baru ini.



Turut hadir penganjurnya, Jean Lau dari Semangat Zaman Music Entertainment termasuk barisan artis-artis terbabit.

“la adalah 8 legenda rock di atas satu pentas dalam satu malam, dan pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat dan pencinta muzik rock mereka.

"Dan pada malam konsert kita akan menjemput keluarga arwah Shamrin dan keluarga Rahim Maarof bersama-sama,” sambung Jean Lau sambil memaklumkan akan menyumbang sedikit dana untuk Rahim serta arwah Shamrin apabila konsert mendapat sambutan hangat.


Majlis turut menyaksikan penyerahan baju-T 'Semangat Zaman' sebagai penghargaan kepada tiga wartawan veteran yang hadir pada setiap sidang akhbar berkaitan Semangat Zaman' sejak kali pertama diadakan pada 2004 dan kedua pada 2005. Mereka terdiri daripada Ridzuan (dua dari kiri), Nazrul dan Nafsiah (kanan).


Mengimbas kembali, konsep Projek Semangat Zaman yang telah diilhamkan oleh Jean Lau dan LY, idea untuk meraikan ulang tahun ke-20 penerbitan album dengan sebuah konsert adalah untuk memyemarakkan semula industri muzik dengan kumpulan artis dan pemuzik rock terbaik pada ketika kumpulan indie sedang menguasai pasaran muzik semasa.

Malah jelasnya, beliau mahu mengembalikan kegemilangan lagu rock yang popular sekitar 80-an sekali gus menghargai artis-artis senior yang telah banyak memberikan sumbangan kepada industri hiburan tempatan.


Jean Lau


“Saya menelefon LY dan melontarkan idea untuk mengadakan konsert ulang tahun ke-20 ini dan bila LY bersetuju kami mula mengumpulkan artis-artis terbabit,” kenang Jean Lau lega apabila kesemua artis berkenaan bersetuju,

Sambungnya lagi, melalui konsert tersebut, beliau ingin memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu rock yang dipopularkan oleh artis-artis terlibat.

Persediaan konsert ini, diperkuat lagi dengan rakaman 5 lagu baharu iaitu lagu tema konsert membabitkan penyertaan semua artis dan tiga buah lagu duet antara Muss & Rahmad, Joey & Bandi serta Yangzen & Jatt dan sebuah lagu solo oleh Nash.

Dan memandangkan Aris Ariwatan tidak dapat berduet bersama Rahim Maarof, ada kemungkinan beliau akan menyampaikan lagu baharu secara solo.



“Idea ini masih dalam perancangan,” jawab Aris sambil meluahkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput artis-artis lama kembali menghangatkan pentas rock serta menyambut kehadiran Bandi Amuk menyertai alumni Semangat Zaman,

“Gaya dan kehadiran Bandi akan memberikan wajah dan rasa baharu kepada Semangat Zaman,” tambah Jean Lau.

Menyifatkan konsert yang bakal dianjurkan itu sebagai konsert pertama ikon-ikon muzik rock Malaysia berada di atas satu pentas membuat persembahan bersama, Jean berharap dapat mengumpul peminat muzik rock memenuhi dewan Zepp yang mampu memuatkan lebih 2,000 penonton.


Bandi Amuk (kiri) bersana rakan-rakan rockers 'Semangat Zaman'.


Untuk rekod, album sulung ‘Semangat Zaman’ berjaya mencapai jualan multiplatinum (melebihi 100,000 keping jualan) malah susulan daripada kejayaan itu, ‘Semangat Zaman 2’ yang diteribitkan setahun kemudian yang menampilkan alumni “Semangat Zaman” sebelumnya turut menambah keahlian dengan penampilan ahli baharu iaitu Rahmad (Mega), Shamrin (Fotograf) dan Jatt (Black Dog Bone)

Album  berkenaan mencapai kejayaan yang sama dan diperakui multiplatinum.

“Selepas berehat selama 20 tahun, Saya merindui keseronokan dan pengalaman kedua dua album terdahulu, serta bekerja dengan kumpulan artis berbakat ini dan kerana itu tercetusnya penganjuran konsert Semangat Zaman ini,” akhiri Jean Lau.

Tiket berharga RM208, RM328 dan RM388 akan mula dijual pada 15 Julai 2023 di laman www.bookmyshow.com.

Sementara itu, Azman Mohd Yusof dalam ucapan perasmiannya berpendapat penyanyi generasi baharu wajar mencontohi legenda rock sedia ada berikutan kebanyakan lagu yang didendangkan masih relevan. 

"Mereka boleh dijadikan rujukan untuk artis masa hadapan sebab lagu-lagu zaman dahulu masih relevan. Diharapkan konsert ini akan dapat diteruskan untuk edisi akan datang,” katanya sambil berjanji akan membantu artis-artis yang terlibat dalam perniagaan memasarkan produk masing-masing di lokasi yang strategik melalui usaha sama dengan KPDN. - KitaReporters 


11
9
0
19
0

Copy Link: