Tidak dapat dinafikan, walaupun musim berganti dan teknologi silih berganti seiring dengan peredaran zaman dari era rakamam analog sehingga kini kepada teknologi digital, muzik genre ‘rock’ tetap kukuh merentasi zaman.

‘Rock’ kekal relevan dalam industri hiburan tanah air, malah merajai hati peminat apabila nama-nama pemuzik legenda rock seperti Din dan Kid Search yang sinonim dengan panggilan Kid Din serta kumpulan Wings, XPDC dan May antara yang masih aktif menghangatkan muzik rock.


Awie (tengah) bersama Kumpulan Wings.


Sehubungan itulah timbulnya idea kepada Rumah Produksi Merah (RPM), milik legenda rock tanah air, Dato’ Awie untuk terus memberikan nafas kepada muzik rock melalui penganjuran acara ‘Rock Warrior Music Festival' atau Festival Muzik Rock Warrior (RWMF) yang bakal diselenggarakan selama dua hari pada 23 dan 24 November 2024 depan.

Memilih KL Base, Sungai Besi sebagai lokasi RWMF,  edisi sulong akan membuka tirai dengan penampilan kumpulan rock tanah air yang gempak seperti Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia, Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B.

Kesemuanya akan mempersembah lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga era kini.

‘Kelangsungan industri muzik perlu diteruskan dan penganjuran Rock Warrior Music Festival adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik rock,” ujar Awie pada majlis sidang media mengumumkan penganjuran ‘Rock Warrior Music Festival (RWMF)’ bertempat di Ruang PJ, Menara PKNS, Petaling Jaya baru-baru ini. 

Turut hadir Pengarah Urusan Produksi Rumah Merah selaku penganjur konsert, Dato Eddy.


Kid Din (dua dari kiri) bersama Kumpulan Search


Kumpulan XPDC.


Menurut Awie atau pemilik bernama penuh, Ahmad Azhar Othman, RWMF adalah satu platform baharu untuk mengetengahkan pemuzik-pemuzik lama, band-band lama dan juga band-band baharu. 

“Ini satu platform yang kita plan untuk buat setiap tahun. Dan kita juga mahu menonjolkan semua talent-talent serta bakat-bakat baharu yang  berkebolehan  untuk mewarnai dan menggantikan yang lama-lama yang akan pergi.

"Itulah platform Rock Warrior Music Festival. Sekarang kami sedang pilih band-band baru dan juga band-band lama yang mahu naik semula, yang sedang ada untuk sama-sama dalam Rock Warrior," tambah Awie berhubung perancangannya.

Awie berpendapat festival yang bakal dianjurkannya itu merupakan platform terbaik buat band rock baharu untuk menonjolkan bakat, sekali gus memperkenal lagu dan karya mereka.


Dari kiri: Tam (Spider), DJ Uno (Pop Shuvit), Kid, Yus May, Awie, Eddy, Eddie (XPDC)  dan Megat (A.C.A.B)


“Ini juga satu perkumpulan rock atau Rock United kerana kami panggil semua yang termampu ketika ini. 

"Insya-Allah tahun depan kita akan besarkan lagi dengan penyertaan dari Singapura, Indonesia dan mana-mana negara jiran untuk bersama-sama. 

"Sekarang ini kita kumpulkan dari Malaysia dan Singapura sahaja. Insya-Allah tahun depan jika ada rezeki kita buat lebih baik,” yakini Awie sambil percaya RWMF akan menjadi titik utama yang mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan terdahulu yang sudah lama menggemari genre rock atau golongan terkini yang baru bersuara dalam dunia muzik ini.


Tam & Spider.


Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, mengagumkan penonton, serta memperkenalkan lagu dan karya original mereka kepada dunia.

“Dengan adanya penekanan yang diberikan oleh festival ini terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen sebenar pihak penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan.

"Dalam Rock Warrior Music Festival, kita juga menyediakan pelbagai gerai-gerai jualan dan ada juga tarikan untuk kanak-kanak. 

"Ini sebenarnya lebih kepada karnival sebagai tarikan kepada semua golongan masyarakat. Yang tua akan dapat kembalikan balik nostalgia mereka. Yang muda akan dapat pengalaman baharu,” sambung Awie.


Kumpulan May.


"Rock Warrior Music Festival’ bukan sahaja menjadi acara hiburan yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat-peminat muzik, tetapi juga menjadi tonggak penting yang mendokong perkembangan industri muzik rock di negara ini.

“Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda yang membawa kegemilangan kepada muzik rock, serta menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik tanah air,” kata Awie lagi.

Vokalis kumpulan Wings ini juga menyatakan bahawa festival ini adalah satu penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia.

“Festival ini adalah untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock, dan membawa pengalaman yang mengasyikkan kepada semua yang hadir,” akhirinya.


Kumpulan Pop Shuvit.


Selain persembahan muzik yang bertenaga, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan aktiviti sampingan untuk menambah kemeriahan acara. 

Pelbagai vendor merangkumi gerai makanan dan minuman, serta produk lifestyle rock seperti aksesori, barangan eksklusif dan lain-lain disediakan. 

Tidak ketinggalan ada juga pengisian untuk hiburan keluarga waima tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke festival ini.

Rock Warrior Music Festival turut memperkenal ‘Pentas Rock Hero’, terletak di dalam hangar KL Base dan akan menampilkan 24 band di mana satu hari 12 band akan beraksi bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam. 

Band yang ingin menyertai Pentas Rock Hero boleh menghantar demo atau video melalui e-mel [email protected] atau WhatsApp ke 012 – 243 9856 / 019 – 372 1756.

Persembahan pada malam pertama Rock Warrior Music Festival akan diisi oleh Wings, Search KidDin dan XPDC Militia, manakala malam kedua menampilkan May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B. dan Ella Rockqueen. - KitaReporters


13
17
0
14
0

Copy Link: