Jika hendak mengenang jasa seseorang dalam bidang tertentu, berilah ketika tokoh itu masih hidup.

Itulah harapan pemuzik dan komposer S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said beberapa tahun lalu ketika bercerita kepada rakan-rakan dan kenalan.

Impian S Atan akhirnya tercapai apabila pada Ogos 2023, dia dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.


S Atan ketika menerima anugerah Datuk negeri Melaka pada 2023


Dan 36 hari sebelum meninggal,  S Atan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 pada 11 Oktober 2024. 

S Atan terlihat cukup terharu menerima anugerah itu. Dia sanggup datang ke majlis itu dengan berkerusi roda ketika kesihatannya kurang baik.

S Atan adalah antara seniman muzik (maestro) Melayu yang sukar dicari ganti. Sumbangannya dalam dunia muzik Melayu cukup besar. Ia turut diakui sejumlah insan seni lain.


S Atan bangga menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 pada 11 Oktober 2024.

Sebagai keluarga seni, S Atan bermula dengan bermain bongo, kemudian beralih dalam menguasai permainan piano. 

Mula bergiat secara aktif dalam bidang muzik ketika berusia 17 tahun dengan bermain di beberapa kelab malam dan ketika berusia berusia 23 tahun, S Atan dilamar syarikat rakaman paling berpengaruh ketika itu EMI Singapura sebagai penerbit dan pencipta lagu.

Ia menjadikan S Atan sebagai penerbit dan komposer termuda di bawah EMI.

Lebih seribu lagu dihasilkannya untuk puluhan penyanyi yang sebahagiannya adalah penyanyi popular, kebanyakannya menjadi artis rakaman EMI.



Lagu-lagu ciptaan S Atan bersifat pelbagai. Dari pop kepada berunsur Melayu asli dan deli. Dia juga banyak mencipta lagu bertema hari raya sehingga diberi gelaran ‘Raja Lagu Raya’.

Sebahagian lagu ciptaannya bersifat malar segar dan akan terus dinikmati pengikut muzik Melayu.

Tidak mendapat pendidikan muzik secara formal di luar negara, S Atan mempunyai kebolehan semulajadi dalam muzik.

Malah S Atan merupakan antara pemuzik Melayu awal yang menggunakan muzik programming dalam rakaman.

Mula dikenali melalui ciptaan lagu-lagu dendangan kumpulan pop rock Black Dog Bone (BDB), dan sehingga hujung hayat, sudah lebih seribu lagu dihasilkannya.

Antara penyanyi yang pernah mendangkan lagi-lagu ciptaannya ialah Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Carefree, Black Dog Bone dan ramai lagi.

S. Atan mempunyai adik yang juga bergiat dalam bidang muzik iaitu Abdul Fatah atau Bell. Sementara anak saudaranya, Datuk Ramli MS kini menjadi mastro muzik terkenal di Malaysia.

Setelah 13 tahun bekerja dengan EMI, S Atan berpindah ke syarikat rakaman Irama Malaysia pada 1985 selama 2 tahun. 

Kemudian dia berhenti dan menjadi komposer dan penerbit bebas. 

Pada pertengahan sehingga akhir tahun 1980-an, setelah menjadi komposer dan penerbit bebas, S Atan menjadikan studio Channel 11 di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai pejabatnya dan melakukan kerja penerbitan di studio itu.

Ketika inilah hubungan cintanya dengan Datin Norizan Yeob bersemi dan akhirya menjadi menjadi suami isteri.

Perkahwinan kedua S Atan dengan  Norizan kekal sehingga akhir hayat

Ramai yang tidak tahu bahawa S Atan menguasai bahasa dan tulisan Cina (Mandarin) kerana dibesarkan di Singapura. Dia juga menguasai nota lagu Cina yang sukar dikuasai para pemuzik keturunan Melayu.  

Dengan kebolehannya itu membolehkan S Atan mendapat tawaran kerja kontrak selama 2 tahun di Taiwan. Dia berpeluang mencipta lagu dan menerbitkan sejumlah lagu untuk penyanyi di Taiwan. 

Sekembali ke Malaysia, S Atan banyak melakukan tugas sebagai komposer dan pengarah muzik bebas. S Atan pernah menjadi pemuzik dan pengarah muzik di RTM dan menjadi pemimpin Orkestra Shah Alam. 

Dia juga pernah menjadi pemimpin muzik bagi sekumpulan penyanyi terkenal tanah air. Antaranya Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

S Atan berjaya membuktikan beliau mampu menyara diri sendiri dan keluarga melalui kerjaya seni. 

S Atan berhijrah ke Kuala Lumpur sejak pertengahan 1980-an dan sejak itu ia berusaha mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Akhirnya dia berjaya mendapat taraf kewarganegaraan pada awal 2000. Ini memudahkan dia bergiat bebas dalam bidang seni di negara ini.

Dia kemudian menetap di di Taman Bukit Baru, Kajang bersama isteri dan enam anaknya, satu lelaki dan lima wanita. S Atan juga mempunyai empat anak daripada perkahwinan pertamanya.

S Atan merupakan antara penerima royalti tertinggi setiap tahun daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).


Anak tertua Rozaini sukar untuk mewarisi bakat ayahnya dalam penciptaan lagu.

S Atan yang lahir pada 1 Ogos 1949 cuba menurunkan legasi seninya kepada anak sulungnya Rozaini. Namun Rozaini hanya menguasai bidang muzik namun tidak menguasai bidang penciptaan. 

S  Atan, 75, yang uzur sejak beberapa tahun lalu dengan beberapa penyakit kronik seperti strok, buah pinggang dan jantung  akhirnya dijemput Ilahi pada Sabtu, 16 November 2024 jam 3.23 petang di kediamannya akibat sesak nafas. 

Jasadnya selamat disemadi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, Selangor pada  pagi Ahad, 17 November 2024.

S Atan seperti merasakan penghujung usia semakin hampir sejak seminggu lalu, menurut isteri Allahyarham, Norizan.

Dia berpesan agar disiapkan kain batik dan kain putih. Dia mahu meninggal di rumah disaksikan oleh isteri dan anak-anak dan enggan dirawat di hospital lagi. Impiannya termakbul.



Penulis berpeluang mengenali S Atan secara dekat pada pertengahan sehingga akhir 1980-an dan berpeluang melihat keseriusannya ketika bekerja di studio.Dia akan memarahi penyanyi yang buat salah menyanyi walaupun dia penyanyi popular.

Bagi S Atan untuk menjadi penyanyi bukan hanya rupa, sebaliknya mempunyai kekuatan dari segi vokal. 

S atan juga seorang pemurah, suka membantu teman yang alami kesusahan dan suka membelanja kawan makan.

Ketika bertugas di EMI, S Atan menggunakan kuasanya sebagai penerbit untuk mengambil penyanyi yang tiada rupa ketika itu dikenali sebagai Masrun Tamsi yang mempunyai suara unik untuk membawakan lagu-lagu bercorak Melayu deli dan dangdut deli. Masrun Tamsi kemudian diberi nama komersial Herman Tino. 

Walaupun EMI kurang setuju mengambil Herman Tino sebagai artis rakamannya tetapi S Atan tetap berkeras.

S Atan turut menerbitkan album berjudul ‘Melayu Klasik’ untuk Zaleha Hamid. Namun ketika rakaman dilakukan secara berasingan antara penyanyi lelaki dan wanita. Setelah album dipasarkan, barulah Zaleha mengetahui pasangannya Herman Tino. 

Begitu juga dengan Sharifah Aini, dia hanya tahu dipasangkan dengan Herman Tino dalam lagu ‘Serampang Laut’ setelah album dipasarkan.

Ternyata Herman Tino berjaya memberi keuntungan lumayan kepada EMI. S Atan berjaya membentuk Herman Tino sebagai penyanyi dangdut deli.

Herman Tino, 69, mengakui terhutang budi terhadap S Atan yang memperkenal dia dalam industri rakaman dan menjadi terkenal.

Herman Tino berterima kasih dengan usaha S Atan mempopularkan dirinya dalam bidang nyanyian


Ramai tentunya yang ingin tahu kenapa Hashim Said menggunakan mana komersial S Atan. Atan adalah panggilan manjanya dalam keluarga 13 beradik. S adalah singkatan nama ayahnya Said. 

Daripada 13 beradik, S Atan paling rapat dengan adik bongsunya, Fatah Hassan Said, 66, atau nama komersialnya Bell. Bell turut berpindah ke Kuala Lumpur dan sejak 1979, Bell menjadi pembantu tetap S Atan dalam penerbitan album dan susunan lagu. 

S Atan terus melakukan kerja muzik ketika kesihatannya semakin merosot.  Dia tetap duduk di hadapan piano di rumahnya.

Menurut adiknya Bell, S Atan  baru menyiapkan tiga lagu untuk seorang penyanyi wanita. Untuk album itu Bell sepatutnya menyiapkan lima lagu dan lima sepatutnya disiap oleh S Atan.

Bell (kiri) dan abangnya S Atan



Pada 1 November 2024,  S Atan muncul dalam konsert Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Kota Kinabalu, Sabah.

Kini walaupun jasadnya di dunia telah tiada, namun karya malar segarnya akan abadi dalam ingatan. Selain dipapar secara digital, lagu-lagu malar segar S Atan akan tetap diputar di pelbagai stesen radio.

Ketokohan S Atan dalam bidang muzik patut diabadikan dengan mengadakan konsert yang dijayakan sejumlah penyanyi yang pernah mendendangkan hasil ciptaannya dan disiarkan di stesen TV. - KitaReporters

13
8
0
11
0

Copy Link: