PASUKAN Wawasan 2020 girang menayangkan Piala Tan Sri Hamidin Amin yang menjadi milik mereka selaku juara kategori Veteran Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah 2024 anjuran Kuala Lumpur X-Mail FC Veterans di Sungai Buloh. - Kredit foto: XM 


HAMIDIN Amin (kiri) dan A. Christopher Raj memperagakan piala pusingan kategori Veteran pada majlis makan malam alu-aluan dan mesyuarat pengurus pasukan di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Kredit foto: XM


WAWASAN 2020 berjaya menjulang Piala Tan Sri Hamidin Amin 2024 hanya pada penampilan sulungnya bagi kategori Veteran Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah di Arena Melwood, Sungai Buloh, Selangor pada 14 September 2024.

Kejohanan edisi keempat merebut trofi sumbangan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur X-Mail FC Veterans, turut menabalkan Destiny Football Development Centre (DFDC) sebagai juara kategori Bawah 16 Tahun (B-16).

Wawasan 2020 turut mengaut hadiah wang tunai RM2,500 dengan menumpaskan Rain FC menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 setelah terikat 1-1 sambil pemainnya, M. Murugarajoo dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir berkenaan.

Kedua-dua finalis ini turut berentap dalam saingan Kumpulan A yang berkesudahan seri 0-0, namun Rain FC tetap mampu tersenyum dengan ganjaran RM1,500 sebagai naib juara, manakala pemainnya, Mohamed Redzuan diumumkan sebagai Penjaga Gol Terbaik kejohanan.


CARTA kedudukan mata liga sepusingan kategori Veteran. - Kredit foto: XM


Wawasan 2020 dan Rain FC mara ke perlawanan akhir dengan masing-masing mengatasi Kelab Aman dan Melwood Boys FC 1-0 dalam separuh akhir kategori Veteran iaitu bagi para pemain berusia 45 tahun ke atas. 

Kategori ini turut diperhangat dengan aksi bekas bintang negeri, belia dan senior kebangsaan antaranya K. Nanta Kumar juga muncul Penjaring Terbanyak, S. Paidiya Rao, S. Saravanan, Lee Ban Tat, A. Muralitharan, S. Jaya Prakash, M. Chandran, Ismail Ibrahim dan Asmawi Bakiri.

Turut bersaing ialah X-Mail FC Veterans, UM Legends, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia dan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).


K. Nantha Kumar (kiri) menunjukkan hadiah Penjaring Terbanyak kejohanan dengan lima gol. - Kredit foto: XM


Final B-16 pula agak tercemar dengan insiden layangan kad merah terhadap jurulatih CIMB YFA, Gobi kerana mencerobohi padang dan memaki pengadil ketika mahu meninjau keadaan penjaga golnya yang tercedera manakala pemain Destiny, Micha Foo dibuang padang akibat corak permainan kasar.

Aksi yang turut disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga pengurus pasukan B-16 Malaysia, A. Christopher Raj ini dimenangi Destiny 2-0 menerusi gol-gol Adam Danish dan Zafran Rasfan.

Empat pemain Destiny yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor pimpinan Aylwin Henry Sketchy, baru-baru ini turut beraksi dalam jelajah perlawanan di Jerman.

Turut menyaingi gelaran B-16 ialah My World Hunters FA Academy (Pulau Pinang), Black Leopards FA (Kuala Lumpur), DTFT (Selangor), KR7 FC (Melaka), Wira MAS Ipoh (Perak) dan PD U Rangers FC (Port Dickson, Negeri Sembilan). - KitaReporters


CARTA kedudukan mata liga sepusingan kategori B-16. - Kredit foto: XM


SENARAI PEMENANG 2024:

VETERAN

Juara: Wawasan 2020

Naib juara: Rain FC

Plate: X-Mail FC Veterans

Permainan Adil: UM Legends

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: M. Murugarajoo

Penjaring Terbanyak: K. Nantha Kumar (X-Mail FC Veterans), lima gol

Penjaga Gol Terbaik: Mohamed Redzuan (Rain FC)

B-16

Juara: Destiny Football Development Centre

Naib juara: CIMB YFA

Permainan Adil: Black Leopards FA

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Adam Danish (Destiny)

Penjaring Terbanyak: Ahmad Zaref Kamabarin (Destiny), empat gol

Penjaga Gol Terbaik: Ashraf Rashid (Destiny)


PASUKAN-PASUKAN yang bertanding Kategori B-16 menjalani sesi perbarisan sambil membawa bendera 13 negeri dan Malaysia sempena menyambut Hari Malaysia, 16 September 2024. - Kredit foto: XM


SENARAI JUARA EDISI LALU:

VETERAN

2021 Kuala Kubu Baru: Huaran FC

2022 Taiping: X-Mail FC

2023 Ipoh: Navashini Ipoh

B-16

2023: Dewan Bandar Raya Ipoh

 

 

 

10
17
0
16
0

Copy Link: