Video| Cipta momen intim! Yonnyboi, Jo Branko bersama peminat! Ada dapat hadiah gitar bertandatangan!
Published byJo Branko dan Yonnyboii.. gandingan lama dan baharu.
Kesinambungan daripada kolaborasi antara penyanyi generasi baharu, Yonnyboii dan pemain gitar legenda, Jo Branko dalam lagu ‘Nadi’ pada bulan Jun 2024 lalu (sila baca kembali link ini - https://kitareporters.com/gaya/pnelO8o1dK), pada satu sesi pertemuan eksklusif bersama peminat diadakan pada acara ‘Sentuhan Nadi’ bertempat di lokasi ikonik, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seramai 20 peminat bertuah berpeluang meluangkan masa bersama mereka dari jam 3 petang hingga 6 petang melengkapkan satu momen intim yang pasti membekas dalam hati setiap peminat yang hadir sebagai kenangan penuh makna.
Dari kiri: Feros Sayna, Ivan Koh, Jo Branko, Yonnyboii, Balqis Sharudin dan Hermond Cheng.
Turut hadir memeraiahkan majlis bersama Yonnyboi dan Jo Branko terdiri daripada Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna; Pengarah Kanan, Strategi Komersial dan Digital Universal Music, Ivan Koh; Pengurus Pemasaran Dalam Negeri Universal Music, Balqis Sharudin; dan Pengarah Kanan, A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng.
“Acara ini bertujuan menghargai peminat serta penyokong karier muzik Jo Branko dan saya selama ini di mana 20 peminat bertuah menjadi tetamu eksklusif terpilih daripada peraduan ‘cover’ lagu Nadi yang diadakan 6 Ogos hingga 28 Ogos 2024 lalu,” ujar Yonnyboii selaku pencipta lagu ‘Nadi’ bersama komposer Amy Bong yang memilih bekas pemain gitar kumpulan Wings, Jo Branko (Joe Wings) untuk bersama menggegarkan denyutan ‘Nadi’.
Peraduan berkenaan dilakukan menerusi media sosial di mana peserta perlu memuat naik cover terbaik Nadi dengan versi sendiri. Mereka perlu meletakkan #SentuhanNadi dan #NadiSongCover dalam hantaran video masing-masing.
Sehubungan itu, acara ini menjadi kemuncak untuk menobatkan siapakah daripada 20 peminat itu yang akan membawa pulang sebuah gitar istimewa ditaja oleh Music Bliss Malaysia bersama ERA, yang siap ditandatangani Jobranko dan Yonnyboii.
Selepas masing-masing mempamerkan bakat mereka, hanya seorang yang dapat membawa pulang gitar keramat itu menjadi pulangan paling berbaloi apatah lagi hadiah itu disampaikan sendiri oleh idola mereka secara bertentang mata.
Pemenang bertuah yang memilik gitar bernilai lebih kurang RM3,000 merupakan jejaka lelaki, Chiew Yik Yang yang hadir dengan penampilan bagaikan ‘rockers’ berambut kerinting melepasi bahu, memang nampak layak memenangi gitar tersebut.
Daripada foto yang diambil, keterujaannya menerima gitar istimewa itu sudah cukup membayangkan jiwanya yang amat gembira apatah lagi menerimanya sendiri daripada dua artis idolanya itu.
Pemenang bertuah, Chiew Yik Yang bersama gitar bertandatangan yang dimenangi.
Dan sudah tentu juga ‘Sentuhan Nadi’ menjadi detik manis buat Jobranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 55, dan Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 26, mendekati peminat setia mereka.
Jika selama ini mereka cuma mampu melihat peminat dari atas pentas, pertemuan sebegini sememangnya satu peluang keemasan cukup bermakna waima ‘Sentuhan Nadi’ jadi ruang intim untuk berkongsi rasa dengan peminat.
Demikian juga peminat yang benar-benar ingin bersemuka dan mengenali mereka lebih mendalam. Pertemuan ini membuka ruang untuk mereka merungkai persoalan yang sekian lama ingin ditanyakan selain menimba ilmu Jo Branko dan Yonnyboii.
Lanjutan daripada itu, melengkapkan majlis, Yonnyboi dan Jo Branko mengadakan persembahan eksklusif ditemani penyanyi yang tidak kurang hebatnya, Asyraf Nasir untuk ‘memanaskan’ pentas dengan beberapa lagu.
Dari kiri: Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf bergabung pada lagu asal 'Tak Sangka'.
Yonnyboii mempersembahkan lagu solonya ‘Salahku’ disusuli berduet dengan Asyraf menerusi lagu ‘Tak Sangka’ tanpa Zynakal yang sebenarnya turut menyanyi dalam lagu tersebut, serta mengakhiri persembahannya berpadu tenaga bersama Jo Branko dan kugirannya untuk lagu 'Nadi'.
Untuk rekod, selepas lebih dua bulan ‘Nadi' dilancarkan, muzik video (MV) rasmi 'Nadi' di YouTube berjaya meraih lebih 211,000 tontonan. manakala dalam platform-platform penstriman muzik, jumlah pendengarnya meningkat hari demi hari.
Cetusan ilham daripada perasaan peribadi, Yonnyboii percaya lagu dicipta bersama Amy Bong itu mampu menyentuh hati ramai malah dapat menyalurkan pengalaman peribadi dalam single itu juga memberinya satu kelegaan. - KitaReporters