Terima kasih PM! Tambah RM15j untuk bola sepak! Jadi RM30j! Pastikan Harimau Malaya jadi gergasi Asia!
Published byPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan RM15 juta untuk pembangunan bola sepak negara termasuk mempersiap Harimau Malaya agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertainya.
"Kerajaan Madani akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.
"Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiap pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai," jelas Perdana Menteri.
Menurutnya, sukan bola sepak amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk dirinya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung terkait situasi melibatkan pasukan Harimau Malaya.
Sehubungan itu, pelbagai usaha berterusan dilakukan oleh Kerajaan Madani bersama beberapa pihak lain dalam memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh, sekali gus muncul sebagai gergasi bola sepak Asia.
Dana berjumlah RM30 juta ini, kata Anwar, juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.
Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 (B-23) negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman, tambah Anwar.
"Selain daripada ikhtiar yang dilakukan oleh Kerajaan Madani dan FAM, saya juga berharap Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas baginda dalam industri bola sepak.
"Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya," katanya lagi.
Perdana Menteri juga berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa. - KitaReporters/Kenyataan Media