Pada 17 Januari 2024 lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan membuat kunjungan ke Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor.

Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan menerima sembah taklimat berkaitan operasi Media Prima dan dibawa melawat konti radio, Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek FM, Fly FM dan Eight FM.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan melawat Bilik Berita Media Prima yang menempatkan studio program berita terbitan TV3, TV9 dan 8TV. Malah, paling menarik adalah penampilan khas Seri Paduka berdua menyampaikan berita dalam Buletin Utama.



Kunjungan Diraja ini mendapat liputan meluas dan disambut penuh gembira oleh rakyat jelata apatah lagi para pekerja Media Prima. Rata-rata memuji dan suka melihat penampilan Seri Paduka berdua sewaktu membaca berita.

Antara kakitangan Media Prima yang bertuah dan teruja dapat berjumpa Agong dan Raja Permaisuri ialah penyampai radio Molek FM, Mat Dan atau nama penuhnya Mohammad Kareef Daniel.

Dia berkonsgi rasa gembira itu dalam Instagram (IG) miliknya. Menurut Mat Dan, dia tidak menyangka Agong dan Raja Permaisuri mengenalinya. Malah dia terharu apabila Raja Permaisuri bertitah agar memberitahunya sekiranya Mat Dan datang ke Kuantan, Pahang.



“Bukan setiap hari anda dapat bertemu dengan Agong dan Raja Permaisuri. Saya benar-benar tidak menjangkakannya. Sejujurnya Seri Paduka berdua sangat ramah dan merendah diri.

“Dalam bidang kerja saya, saya dapat bertemu dengan pelbagai jenis orang dan kadangkala bertemu dengan seseorang yang benar-benar memberi anda bintang. Saya seakan-akan tidak percaya Seri Paduka berdua kenal siapa saya dan mereka tahu kampung halaman saya di England. Oh selain itu, Agong juga menjemput ayah saya untuk tinggal bersama saya. 

“Namun kata-kata terakhir daripada Raja Permaisuri yang saya ingat sampai bila-bila ialah “Mat Dan datang Kuantan bagi tahu ya”.

“Sukacita dapat bertemu Seri Paduka berdua dan terima kasih kerana datang ke Molek FM dan Media Prima. Tak sabar bertemu dengan Seri Paduka berdua lagi dan saya akan maklumkan sekiranya datang ke Kuantan,” tulisnya.



Namun, ucapan Mat Dan ini menarik minat para pengikutnya dalam IG. Bukan isi ucapan itu yang menarik perhatian tetapi bahasa yang digunakan oleh penyampai radio ini. 

Benar, kali ini Mat Dan menggunakan sepenuhnya bahasa ibundanya iaitu bahasa Inggeris (BI). Justeru, ada segelintir mempersoalkan tindakan Mat Dan menulis dalam bahasa Inggeris. 

“Kenapa Mat Dan tulis dalam bahasa Inggeris?,” tanya salah seorang netizen. Manakala ada juga netizen yang mempertahankan tindakan Mat Dan itu. 



“Jadi nanti mak ayah Mat Dan yang mengikuti beliau di IG serta sahabat keluarganya yang English, boleh faham apa dia tulis. You follow

"Pelik saya kita belajar BI dari sekolah rendah dan menengah. Bila orang berbicara BI sikit macam-macam nak label. Tapi berebut nak hantar anak dapat tajaan belajar nun di seberang laut,” tulisnya.

Mat Dan dilihat tidak membalas apa-apa kritikan dan persoalan yang ditujukan kepadanya. Namun, secara kebetulan ketika penulis mendengar siaran langsung (18 Januari 2024) Molek FM dalam segmen Molek Petang yang dikendalikan oleh Mat Dan bermula jam tiga hingga enam petang, penyampai radio ini telah menjelaskannya.

Menurut Mat Dan, tujuannya menulis dalam bahasa Inggeris kerana tidak mahu berlaku sebarang kesilapan ejaan. Perlu diingat, bahasa ibunda Mat Dan ialah Inggeris. 

Memang benar dia fasih berbahasa Melayu tetapi dalam dialek Terengganu. Jadi, tidak hairan kalau dia kurang mahir menulis dalam bahasa Melayu formal. - KitaReporters


15
7
0
10
0

Copy Link: