Video| Hausmania tempat punk rockers tua melepak dan buat show di Oslo! Tarik penonton tua dan muda!

Published by
KitaReporters


DI kebanyakan dinding di Hausmania memaparkan banyak lukisan grafiti hasil sentuhan bakat-bakat tempatan.


MUNGKIN akan terasa bosan jika pada usia emas kesemua masa dihabiskan bersama anak-anak dan cucu-cicit di rumah semata-mata. Sebaliknya, perlu ada juga sekelumit masa diluangkan bersama rakan-rakan sebaya, apatah lagi bagi mereka yang pernah sama-sama meminati muzik punk rock sejak zaman muda remaja lagi.

Justeru, Hausmania yang terletak di pusat bandar Oslo menjadi salah satu tempat pertemuan buat para punk rockers tua untuk saling bertanya khabar sambil menikmati muzik-muzik bingit yang mereka minati termasuk pada hujung minggu di ibu negara Norway itu.


POSTER persembahan Boyen Beng dan kumpulan-kumpulan lain yang diadakan di Hausmania, Oslo pada 22 Jun 2024 lalu.


Terletak di Hausmanns Gate 34, Oslo, Hausmania yang juga merupakan pusat sosial dan kebudayaan setempat yang dibuka sejak 1999 itu semakin menarik ramai warga emas setiap kali diadakan persembahan terutama yang membabitkan rakan-rakan yang sebaya usia dengan mereka. 

“Terima kasih kerana sudi datang ke tempat kami ini. Jangan risau, anda tidak akan tua apabila bersama-sama dengan kami pada petang ini,” kata Harald Lange secara berseloroh kepada KitaReporters semasa menyambut kedatangan penulis di pintu masuk Hausmania, baru-baru ini.

Harald yang telah pun berusia lebih separuh abad merupakan vokalis utama kumpulan punk rock veteran, Boyen Beng yang ditubuhkan di Asker, Norway pada 1987 dan dia sempat merakamkan 13 album termasuk album single sejak bersama kumpulannya itu.


SILJA Starbo (kiri) pemain biola kumpulan Boyen Beng sudah pun berusia 67 tahun tetapi masih ligat menggesek instrumennya itu di atas pentas.


Pada petang itu, beliau telah mengadakan persembahan bersama anggota-anggota Boyen Beng yang lain termasuklah pemain biola mereka iaitu Silja Starbo yang berusia 67 tahun dan merupakan anggota yang paling tua dalam kumpulan tersebut.

Selain Boyen Beng, turut beraksi pada petang sehingga ke lewat malam itu adalah kumpulan Lazy Sodz, The Fects, Homer, Krumpznylt, Dromedary dan Sankung & Simon. 

Tiket bagi menyaksikan kesemua kumpulan tempatan itu berharga 200 Kroner (lebih kurang RM100) bagi setiap penonton.


KUMPULAN Homer antara kumpulan yang popular di Oslo mencuri tumpuan ramai kerana muzik punk yang dipersembahkan turut menyelitkan elemen muzik ska.


Kira-kira 60 orang warga emas termasuklah lelaki dan wanita telah berada di Hausmania sejak awal petang lagi. Mereka yang kebanyakannya datang dari sekitar Oslo begitu rancak berbual sesama mereka sambil minum di Kafe Haerverk yang terletak berhampiran dengan pentas persembahan.

Banyak isu semasa yang diperbual dan isu Palestin mungkin antara yang diperkatakan berdasar banyak bendera Palestin yang dikibarkan di Hausmania sebagai tanda simpati serta sokongan mereka terhadap penderitaan rakyat negara tersebut.

Biarpun hujan turun renyai-renyai sejak awal persembahan dan suhu pula sekitar 16 darjah selsius tetapi ia tidak menghalang mereka menyanyi dan menari beramai-ramai bagi menghayati lagu-lagu yang dipersembah oleh kumpulan-kumpulan terbabit.


PENULIS (tengah) bersama-sama dua remaja yang turut serta menyaksikan persembahan kumpulan-kumpulan punk rock warga emas di Oslo, Norway. 


Malah, terdapat juga beberapa orang remaja belasan tahun yang turut serta menyaksikan persembahan pada petang itu yang mana ia telah menyaksikan bahawa jurang usia tidak menghalang mereka untuk sama-sama bergaul serta berhibur sesama sendiri. 

Selain pentas persembahan untuk para pemuzik eksperimental dan indie, Hausmania yang berkeluasan 5000 meter persegi itu turut menyediakan ruang pementasan teater buat para aktivisnya yang dikenali sebagai Grusomhetens, kafe Internet, ruang pameran dan kafe makanan berasaskan vegan yang dikenali sebagai Blackeyedbean. - KitaReporters

8
12
0
10
0

Copy Link: