Berita baik buat pemain teqball! Kejohanan MTA-Paradigm 2024 gamit anda! Medan pemilihan awal skuad!
Published bySEORANG pemain (kiri) melakukan libasan kaki sebagai penyudah daripada tiga sentuhan bola dalam acara beregu lelaki ke kawasan meja lawan untuk memburu mata. - Kredit foto: MTA
SEPERTI pingpong atau badminton, teqball turut boleh dimainkan secara satu lawan satu atau perseorangan lelaki mahupun wanita. - Kredit foto: MTA
HENDAK dikatakan bola sepak? Bolanya seakan-akan. Gaya permainannya pula? Macam sepak takraw pun ada! Mainnya pun di meja ala-ala pingpong! Cuma permukaannya yang melengkung atau berlurah.
Sehingga lima acara atau kategori ditawarkan dalam teqball seolah-olah pertandingan berpasukan campuran badminton Piala Sudirman iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.
Seperti sepak takraw atau bola tampar juga, tiga timangan
bola di awangan sama ada dengan kaki atau kepala sahaja yang dibenarkan.
Pukulan penyudahnya pula boleh dibuat secara rejaman deras atau tandukan tajam asalkan mesti mencecah meja lawan terlebih dulu untuk memungut mata.
BEREGU lelaki menjadi antara lima acara atau lima hingga tujuh pingat emas yang bakal dipertanding apabila teqball membuat penampilan sulung sukan pertandingan dalam Sukan SEA Thailand 2025. - Kredit foto: MTA
Inilah teqball – sukan yang tidaklah begitu baharu di Malaysia kerana telah diperkenal pada 2018 dan Hungary menjadi negara pengasasnya sejak 2012 dan ditadbir urus oleh Persekutuan Teqball Antarabangsa (Fiteq) yang berpangkalan di kota raya Budapest.
Anehnya pula ialah bekas bintang bola sepak pemenang Piala Dunia 2002 dengan Brazil, Ronaldinho turut dilantik sebagai Duta Teqball Antarabangsa Fiteq di samping dua legenda Perancis, Christian Karembeu dan William Gallas serta Luis Figo dari Portugal.
Sekalipun hanya sukan demonstrasi (pertunjukan) Sukan SEA Kemboja 2023, Shaul Hameed Al-Barilan dan Siti Asnidah Zamri tetap mengukir sejarah tersendiri buat Persatuan Teqball Malaysia (MTA) dengan mengalungi Malaysia, dua pingat gangsa acara perseorangan lelaki dan wanita teqball di Dewan Persekutuan Belia, Phnom Penh.
Terangsang dengan pencapaian tersebut, MTA yang ditubuhkan pada Disember 2018 dan beribu pejabat di Kuala Lumpur, mahu mencungkil lebih ramai bakat baharu sukan ini, sekali gus dengan misi menukar warna pingat akan datang yang lebih bersinar menerusi Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 pada 20 hingga 21 Julai 2024.
BOLA dan meja gelanggang teqball yang menepati spesifikasi peraturan yang ditetapkan oleh Fiteq. - Kredit foto: MTA
Dengan Paradigm Mall di Petaling Jaya, Selangor sebagai venue, pendaftaran dan penyertaan Kejohanan Teqball MTA-Paradigm turut terbuka secara percuma sambil hadiah wang tunai berjumlah hampir RM3,000 ditawarkan oleh MTA selaku penganjur buat empat beregu terbaiknya.
Tiga acara dipertandingkan iaitu beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dengan juaranya bakal mengaut RM500 selain piala dan pingat, naib juara beroleh RM200 dan masing-masing RM100 untuk dua pasangan pemenang tempat ketiga bersama atau kalah separuh akhir.
Kejohanan ini juga dijangka menjadi medan pemilihan awal skuad lelaki dan wanita kebangsaan yang disasarkan ke dua tugasan antarabangsa – Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia 2024 di Bangkok dan Chonburi, Thailand dari 22 hingga 29 November 2024 dan Sukan SEA Thailand dari 7 hingga 19 Disember 2025.
POSTER Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 telah diedarkan menerusi pelbagai pelantar media sejak 9 Julai 2024. - Kredit foto: MTA
MTA juga sedang merancang melangsungkan Liga Teqball
Malaysia 2024 yang mungkin satu lagi medannya menyaring lebih ramai bakal
tonggak kebangsaan ke kedua-dua temasya pelbagai sukan tersebut.
Sudah lapan negeri dan Wilayah Persekutuan menjadi ahli gabungan MTA setakat ini iaitu Kedah, Perak, Melaka, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan tiga lagi masih menanti kelulusan Pesuruhjaya Sukan.
Liga Teqball Malaysia yang buat julung-julung kalinya berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2023 di sebuah pusat beli-belah di ibu kota dan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 telah dijuarai DBKL Hunters yang menewaskan Negeri Sembilan Stags 3-2.
Liga ini juga sebagai gelanggang pemilihan pasukan negara ke Kejohanan Teqball Dunia Keenam, 2023 di Stadium Hua Mak dan Arena Bangkok pada 29 November hingga 3 Disember 2023.
SKUAD lelaki dan wanita negara yang dikendalikan MTA kini bersedia menghadapi Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia 2024 dan Sukan SEA Thailand 2025 yang mempertandingkan teqball. - Kredit foto: MTA
MTA mengutus lima atlet pilihan terhandal Malaysia ke ibu kota Thailand itu dengan pencapaian terbaik mereka ialah Azza Harmiza Basharudin yang menduduki tempat ke-17 daripada 33 atlet acara perseorangan wanita.
Azza juga yang bergandingan dengan Asnidah untuk meraih pencapaian sama daripada 25 peserta acara beregu wanita dan ke-17 beregu campuran dengan Eizlan Rakhil Rahman. - KitaReporters
DBKL Hunters meraikan kejayaan muncul juara Liga Teqball Malaysia edisi sulung pada 29 Oktober 2023 selepas menewaskan Negeri Sembilan Stags 3-2 dalam final di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. - Kredit foto: MTA