Impak Maksima| Video| Pagari Bulan kisah wanita jadi pejuang! Akibat dijadikan santapan askar Jepun!
Published byMenonton trelernya sahaja sudah terasa ketidaksabaran untuk menyaksikan kesudahan filem 'Pagari Bulan' terbitan Eleven Field Creative Sdn Bhd ini yang tayangannya dijadualkan bermula pada 5 Oktober 2023 ini.
Begitulah kesimpulannya kesan di hati yang Kak Fas dapat rasakan ketika hadir pada majlis pelancaran Treler dan "Di Sebalik Pembikinan Filem Pagari Bulan' yang berlangsung pada 12 September 2023 lalu di TGV Pavilion Bukit Jalil.
Bagaimana dengan impak maksimanya jika ditonton sampai habis kelak?
Raja Mukhriz di samping pelakon utamanya, Nazeera Sardi (kiri) dan isterinya, Sharifah Shahora selaku penerbit filem 'Pagari Bulan'.
Kak Fas percaya filem ketiga terbitan syarikat milik Sharifah Shahora ini mampu duduk setanding dengan filem-filem terkini yang koleksinya pecah panggung.
Menariknya, 'Pagari Bulan' bukan dibarisi pelakon-pelakon ternama yang popular tetapi oleh barisan pelakon yang boleh dikira 'budak baru nak up' (BBNU) seperti Nazeera Sardi, Trisha Ooi, dan Aniq Durar mahupun muka-muka yang jarang ditemui dalam filem Melayu seperti Andy Teh dan Alvin Wong.Mereka adalah 'kekuatan' kejayaan filem berdasarkan sejarah ketika Tanah Melayu diserang oleh tentera Jepun pada awal tahun 40-an.
Nazeera Sardi. Foto: FAS.
Bagi Nazeera, walaupun pernah mengambil keputusan menolak tawaran berlakon yang diberi namun jika rezeki itu sudah tertulis miliknya, pemilik nama penuh, Siti Nazeera Sardi, 36, ini tetap menjadi pilihan pengarah Ts Raja Mukhriz yang yakin dengan kebolehannya.
“Sebenarnya setelah membaca skrip yang perlukan saya berdailog dalam loghat Kelantan dan juga kena beraksi lasak apabila menjadi mangsa askar Jepun, saya tidak yakin boleh melakukannya apatah lagi bila ada babak-babak di dalam sungai yang memang saya fobia terhadap air,” ujar Nazeera ketika ditemui selepas majlis pelancaran treler dan Di Sebalik Pembikinan filem “Pagari Bulan’ itu.
Nazeera akui fobia air sebab tidak tahu berenang dan pernah mengalami hampir lemas. Ini antara babak di sungai yang menjadi satu cabaran baginya.
Turut hadir meraikan majlis adalah Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman di samping Sharifah Shahora; suaminya, Raja Mukhriz; serta barisan pelakon terbabit antaranya Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong, Michael Ang, Laila Nasir, Azlan Komeng dan Chelsia Ng.
Bersama mereka memeriahkan majlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth sebagai pengedar filem, David Teo dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Ahmad Idham.
Dari kiri: Kamil Othman, Raja Mukhriz, Sharifah Shahora, Nazeera, Trisha dan Laila Nasir.
Berkongsi lanjut Nazeera memberitahu, ketika dihubungi penerbit dan diberikan skrip, beliau akui tidak yakin dapat menjiwai watak ‘Bulan’ yang perlu bercakap dalam loghat Kelantan sedangkan beliau berasal Negeri Sembilan.
“Tetapi yang paling utama saya menolaknya kerana takut dengan air malah tidak pernah beraksi lasak jadi saya menolak tawarannya’,” kenang Nazeera.
Namun tambahnya, Raja Mukhriz menghubunginya semula untuk bertanya apa sebab sebenar beliau menolak.
“Dan selepas kami bertemu dan berbincang, Raja Mukhriz menyakinkan saya yang beliau akan memberikan ruang untuk saya tidak dibebankan dengan babak dalam sungai dan terus yakin yang saya mampu menjiwai watak 'Bulan'.
"Dan kerana keyakinannya itulah saya akhirnya terima,” cerita Nazeera sambil menambah kata ini adalah filem paling mencabar buat dirinya malah ada satu ketika sewaktu babak dalam air beliau hampir 'angkat tangan' takut melakukannya.
Sehubungan itu, Kak Fas percaya watak 'Bulan' bakal meningkatkan lagi nama Nazeera sebagai antara pelakon setanding pelakon popular kini yang khabarnya ada beberapa nama yang terpaksa ditolak oleh pengarah memandangkan mereka enggan hadir untuk 'casting'.
“Tidak semestinya mereka yang dah hebat dalam lakonan boleh terus ditawarkan melalui panggilan telefon sahaja. Saya perlu melakukan 'casting' untuk mencari yang sesuai dengan karakter yang ingin saya tampilkan,” ujar Raja Mukhriz .
Mendapati Nazeera mempunyai wajah ‘Melayu’, beliau yakin pilihannya tepat apatah lagi Nazeera cepat menguasai loghat Kelantan dan dengan bimbingan, beliau juga mampu melakukan aksi lasak dengan jayanya.
“Begitu juga dengan barisan pelakon lain seperti Trisha Ooi, Andy Teh, dan Alvin Wong antaranya, mereka pun perlu menjalani ‘casting’ dan komitmen yang mereka berikan memang amat memuaskan,” tambah Raja Mukhr
Filem Pagari Bulan mengisahkan tentang Bulan, anak sulung kepada pengusaha tanaman dan pemburu yang cekap iaitu Ismail dan isterinya Hasnah berhadapan dengan kedatangan pihak Jepun ke Kelantan.
Penduduk kampung berdekatan dan kampung lain terpaksa mempertahan kampung mereka dalam apa cara sekalipun,
maka ramai yang didera dan dibunuh manakala anak gadis dijadikan sasaran ditahan dan dikurung menjadikan mereka 'Comfort Woman'.
Bulan bersama-sama adiknya Kasih dan sahabatnya Sui Li juga ditangkap, dikurung, dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu.
Kejahatan Jepun yang kejam terhadap wanita membuatkan Bulan mempertaruh nyawanya demi menyelamatkan bangsa dan tanah airnya.
‘Ini adalah sebuah filem bertemakan pemerkasaan wanita dan berdasarkan kepada kisah benar di mana wanita-wanita pada zaman Jepun ditangkap dan dijadikan sebagai ‘penghibur’ tentera mereka,” sambung Sharifah Shahora.
Menjawab kenapa beliau memilih genre epik, katanya: “Sudah dua kali saya hantar proposal memohon dana FINAS tetapi semua ditolak, Jadi saya terfikir perlu menghasilkan sebuah filem yang berlainan daripada kebiasaannya.
"Dan akhirnya pada kali ketiga ketika PKP saya mendapat berita gembira apabila dimaklumkan mendapat kelulusan dana FINAS bagi menerbitkan filem ‘Pagari Bulan’."
Dengan kos pembikinan melebihi dana RM2.5 juta yang diperoleh, ‘Pagari Bulan ’ bakal ditayangkan pada 5 Oktober 2023 ini di lebih daripada 60 pawagam di seluruh Malaysia dan Singapura.
Pendek kata, ia sebuah filem epik sejarah yang perlu ditonton anak-anak muda sekarang agar mereka tahu impaknya nilai semangat juang dan pengorbanan demi mempertahan maruah bangsa dan negara hingga ke titisan darah terakhir sekali pun!
Malah bila menontonnya, teringat cerita arwah ayah dan ibu yang pernah menceritakan pengalaman merekja sewaktu perang Jepun dan bagainana takutnya kaum wanita terutama anak-anak gadis era itu.
Beginilah agaknya yang dibayangkan. Memang kejam! Al-Fatihah! - KitaReporters